Cipta sejarah! Festival Teater JKKN Zon Tengah terima penyertaan menggalakkan! Luar dugaan penganjur!
Published byZon Tengah yang meliputi Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya mencipta sejarah tahun ini (2026) apabila Festival Teater Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menerima 22 penyertaan bagi menyertai festival tersebut.

Ia adalah penyertaan luar dugaan memandangkan kumpulan yang menyertainya juga pernah mencipta nama dan produksi besar dalam persembahan teater peringkat nasional dan luar negara.
Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kuala Lumpur (JKKNKL), Hidayatul Ein Mohamad Azmi, penyertaan yang pelbagai generasi dan genre itu sudah pasti merancakkan lagi persembahan teater dalam festival tersebut.
Bagaimanapun, bagi memastikan keadilan kepada semua kumpulan yang telah menghantar permohonan, maka satu sesi pitching atau saringan telah diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur.
“Sesi saringan yang diadili oleh saya, Hasnimizan Ishak, Christopher Ling dan Mohamed Fauzi Ahmad adalah bertujuan bagi memilih lima kumpulan terbaik yang akan bertanding pada pertengahan Julai 2026 di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kumpulan yang telah dipilih pula harus mengekalkan anggota mereka seramai 20 orang sehingga pertandingan peringkat kebangsaan diadakan pada tahun depan,” katanya. dalam satu kenyataan bertarikh 10 Jun 2026, selepas sesi saringan tersebut di Kuala Lumpur.


Antara kumpulan yang menghantar penyertaan ialah FITA Theatre Priduction UiTM, Kelab Anak Seni, Gabungan KSSK & IPGKBM, Puspakarya, Persatuan Arena Anak Seni, Tamu Lestari Production dan Persatuan Kebudayaan Suara Alam.
Bagi Hidayatul Ein yang paling menarik kali ini adalah penyertaan sesi saringan itu turut dihadiri kumpulan aktivis teater yang telah establish seperti Dr Zainatul Aida Abdul Rahman yang mewakili Persatuan Seni Sezaman dan Rosli Rahman Adam bersama kumpulannya, Dramatis Studio.
“Mereka yang telah berjaya ini berkongsi pengalaman dan ilmu bersama generasi muda terutama yang melibatkan konsep teater lama seperti purbawara dan zaman 50-an.
“Ini secara langsung memberi galakan dan inspirasi kepada generasi baru teater untuk terus berkarya dan menyemarakkan lagi seni persembahan pentas di ibu kota,” tambahnya.

Bagi tujuan pertandingan, kumpulan yang terlibat dikehendaki mengadakan pementasan berdurasi antara 60 sehingga 90 minit dengan menghasilkan skrip baharu yang meliputi konsep manusia, kota dan kuasa.
Penilaian akan dibuat berdasarkan Konsep dan Kandungan (20 peratus), Skrip dan Dramatari (20 peratus), Pengarahan (20 peratus), Lakonan dan Persembahan (20 peratus), manakala Reka Bentuk Produksi (20 peratus).
“Pertandingan kali ini amat bertuah kerana satu anugerah baharu diperkenal iaitu Anugerah DrRos yang diselenggarakan oleh Grup DrRos-Together/ CTRA Production yang menawarkan wang tunai RM500, Piala Pusingan, Sijil dan hadiah iringan.
“Hadiah yang sedia ada ialah Johan, Naib Johan, Ketiga, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Terbaik,” tambah beliau.
Program ini dianjurakan oleh JKKN dengan kerjasama rakan strategik DBKL dan CTRA Production. - KitaReporters/Kenyataan Media

