Video| Pulang ke akar umbi! Cinta Salomé Das terhadap Malaysia terakam indah dalam Back 2 Malaysia!
Published byIndustri muzik tanah air kini semakin meriah dengan kehadiran sebuah naskhah yang cukup sentimental apabila artis pop sensasi, Salomé Das, memilih untuk mendedikasikan single solo sulungnya, Back 2 Malaysia, sebagai tanda penghargaan buat negara yang telah membentuk jati dirinya sejak kecil.
Lagu yang dilancarkan ini bukan sahaja disifatkan sebagai sebuah anthem pop musim panas yang penuh dengan rasa nostalgia, malah menjadi simbol penyatuan identiti buat Salomé yang dilahirkan di Munich dan dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia tiga bulan.
Sebagai seorang individu yang membesar dengan pengaruh tiga budaya serentak iaitu Perancis, India, dan Malaysia, Salomé atau lebih dikenali sebagai seorang "third culture child", mengakui bahawa lagu ini adalah titik pertemuan bagi segala perjalanan hidupnya yang mencabar namun penuh warna.
Gabungan elemen instrumen tradisional Malaysia dan Asia disuntik dengan produksi pop global yang segar menjadikan karya ini begitu istimewa.
Lagu ini membawa pendengar menyelami kehangatan zaman kanak-kanak di kawasan tropika, disulami dengan gambaran makanan, keindahan laut, serta semangat kebebasan yang sering dirinduinya.
Bagi Salomé, karya ini adalah sebuah penceritaan yang sangat peribadi tentang maksud "rumah" yang sebenarnya, di mana ia bukan sekadar tempat asal, tetapi sebahagian daripada jiwa yang dibawa ke mana sahaja dia melangkah.

Perjalanan artistik Salomé menuju detik ini tidaklah semudah yang disangka.
Bekas model Elite yang pernah menghabiskan masa selama lima tahun di London itu mula memperkenal suaranya menerusi lagu Life is Simple, yang mencatatkan kejayaan luar biasa dengan lebih 90 juta strim di Spotify sehingga memberikannya peluang untuk beraksi di stadium Mumbai di hadapan 8,000 penonton.
Walau bagaimanapun, beliau mengambil masa selama dua tahun untuk mencari kolaborator serta visi kreatif yang benar-benar mencerminkan jiwanya sebelum Back 2 Malaysia dirakamkan di Los Angeles pada tahun 2026.
Menurut Salomé, ke mana sahaja dia pergi di dunia ini, Malaysia akan sentiasa dibawa bersama menerusi makanan, budaya, kehangatan, alam semula jadi dan semangat bebas yang sentiasa dirinduinya.
“Tak kira ke mana saya pergi di dunia ini, saya sentiasa membawa Malaysia bersama saya,” kata Salomé.
Beliau menegaskan bahawa lagu ini menangkap perasaan tersebut dengan tepat, tentang cahaya matahari dan kepulangan ke tempat yang akan sentiasa kekal dalam dirinya.

“Melalui makanan, budaya, kehangatan, alam semula jadi dan semangat bebas yang sentiasa saya rindui.
"Bagi saya, Malaysia sentiasa terasa seperti kegembiraan, warna, nostalgia dan rumah. Lagu ini menangkap perasaan itu, tentang kebebasan, cahaya matahari dan pulang ke tempat yang akan sentiasa kekal dalam diri kita,” akuinya.
Selain keunikan muziknya, identiti visual Salomé juga sering mencuri tumpuan dengan penggunaan barang kemas India, batik, dan bindi yang dipakainya dengan penuh bangga di setiap pentas.
Sebagai seorang gadis tropika abad ke-21 dengan aura yang luar biasa, Salomé membawa misi besar untuk memperjuang representasi Asia dalam industri muzik global serta berhasrat menjadi bintang pop India pertama di pentas dunia, sekali gus membuka jalan buat lebih ramai bakat Asia untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Salomé Das kini mempunyai pengikut setia dalam media sosial dengan 540,000 pengikut di TikTok dan 3.1 juta pendengar bulanan di Spotify.
Back 2 Malaysia yang diedarkan oleh Def Jam Malaysia sudah boleh mula didengari pada semua platform penstriman digital sebagai pembuka era baharu bagi perjalanan seni beliau. - KitaReporters
.
