Kaki palsu lebih murah, selamat dan selesa! Hasil ciptaan penyelidik UTM! Guna teknologi cetakan 3D!
Published byUntuk mendapatkan satu kaki palsu bukan suatu perkara yang mudah, apalagi jika ia melibatkan kos yang tinggi.

Atas kesedaran dan kepedulian inilah inisiatif diambil oleh sekumpulan penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan satu solusi.
Para penyelidik UTM itu bekerjasama dengan beberapa pihak industri bagi menghasilkan kaki palsu menggunakan teknologi cetakan tiga dimensi (3D) ternyata menjadi realiti.
Usaha sama serius ini mampu mengurangkan kos pembuatan sehingga 30 peratus, sekali gus membolehkan harga kaki palsu lebih berpatutan berbanding harga pasaran sedia ada.
Inovasi ini telah diiktiraf secara rasmi setelah enam harta intelek berjaya didaftarkan bagi kaki palsu tiga dimensi.
Ia turut merangkumi satu paten yang telah diluluskan, empat hak cipta serta satu reka bentuk industri.

Keistimewaan utama inovasi kaki palsu tiga dimensi UTM ini terletak pada bahagian soket dan juga parameter pencetakan 3D.
Proses penghasilan soket ini turut melibatkan pelbagai fasa ujian.
Selepas soket pertama dicetak dan dicuba oleh pengguna, penyelidik akan mengumpulkan maklum balas terperinci tentang bahagian yang kurang selesa sebelum melakukan rekaan dan cetakan semula sehinggalah versi paling selesa dapat dihasilkan.
Proses imbasan sehinggalah pemasangan lengkap biasanya mengambil masa sekitar dua hingga empat minggu.
Kaki palsu jenis ini mempunyai had dalam aktiviti lasak seperti berlari atau mendaki gunung yang memerlukan daya tahan bahan yang lebih kuat dan lebih tinggi.

Secara keseluruhannya inovasi kaki palsu tiga dimensi ini membuktikan bahawa teknologi canggih mampu menjadi alat bantuan kemanusiaan yang berkesan.
Dengan kejayaan kaki palsu tiga dimensi ciptaan UTM ini adalah diharapkan teknologi tersebut dapat dikomersialkan sepenuhnya agar tiada lagi golongan yang terpinggir dari arus perdana masyarakat kerana kekangan kewangan dan keterbatasan fizikal diri setiap individu. - KitaReporters
