Orang ramai dirayu membantu seramai 84 orang anak asnaf di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Permai, Ampang Jaya menyertai Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) sempena promosi pemakanan sihat di sekolah itu selama 100 hari persekolahan.


Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun PIBG SEK MEN KEB TASEK PERMAI nombor akaun Malayan Banking Berhad 0122 4060 0193. 


Antara juadah yang dihidangkan pada Program HiTS.


Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut, Mohd Rashdan Abd Rashid berkata, HiTS dianjurkan atas kesedaran pihak sekolah yang melihat remaja rata-rata dipengaruhi apa yang dilihat dalam media sosial mengakibatkan mereka tenggelam dengan makanan viral yang tandus nutrisi.

“HiTS menawarkan hidangan makanan seimbang dalam bentuk pakej menu yang mengandungi sumber alami dari asas kumpulan makanan karbohidrat, protein, sayur-sayuran dan buah-buahan.

"Ia disediakan seiring dengan cita rasa remaja yang digarap oleh pegawai pemakanan dalam pelbagai variasi dalam menu berlainan setiap hari. Ia program makanan berbayar, bukannya percuma.

“Walaupun berharga RM5 satu pek sehari, malangnya hanya pelajar daripada keluarga berkemampuan sahaja mendapat manfaat daripada HiTS sedangkan pelajar asnaf dan mereka daripada kalangan keluarga B40 ketinggalan,” ujar beliau.

Menurut Mohd Rashdan, SMK Tasek Permai ialah sekolah menengah kebangsaan pertama di Hulu Langat yang menyediakan HiTS. 

Ia anjuran bersama Unit Hal Ehwal Murid (HEM), PIBG SMK Tasek Permai; dan Sekretariat Sumber Manusia dan Jalinan NGO PEMADAM Kebangsaan dengan bimbingan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat, Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Program ini dilihat berpotensi menyokong kesihatan murid dari segi tumbesaran sistem badan sehinggalah ke perkembangan mental yang kental, intelektual yang tinggi dan spiritual yang sempurna sebagai manusiawi memberi nilai khusus kepada sekolah, masyarakat, bangsa, agama dan negara.

“PIBG mengambil langkah proaktif mempromosi usaha ini dalam kalangan ibu bapa dan komuniti dalam usaha memastikan kemenjadian pelajar SMK Tasek Permai selaras dengan hasrat kerajaan membentuk dasar pendidikan yang lebih holistik dengan aspek kesihatan diberi keutamaan bagi memastikan keberhasilan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035," katanya.


Juadah HiTS mengandungi sumber protein, karbohidrat, sayur dan buah-buahan


Pek HiTS yang disediakan di kantin SMK Tasek Permai Ampang Jaya.


Mohd Rashdan berkata, HiTS tidak sahaja terhad kepada pemakanan yang sihat tetapi juga menjangkau kepada pemulihan psikologi anak-anak asnaf  di SMK Tasek Permai yang sebahagian besar lebih berminat untuk bekerja bagi membantu menyara keluarga daripada hadir ke sekolah.

“Akibat daripada tekanan hidup dan ketidakmampuan ekonomi, ada ibu bapa yang tidak mampu menghantar ke sekolah. 

"Bayangkan, ada keluarga yang menyewa bilik sahaja, jadi mereka tidak risau anak tidak hadir ke sekolah dan pada masa yang sama membiarkan akan-anak mereka bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.  

“Dibelenggu faktor kemiskinan, kalangan pelajar dan ibu bapa itu melihat kehadiran ke sekolah ialah sesuatu yang membebankan. 

"Saya pernah melihat anak-anak ini mengira-ngira wang pada tangan sebelum membeli makanan di kantin dan akhirnya memilih untuk minum daripada dispenser air, itu pun kalau air itu sejuk seperti air ais.

“Ada murid terutama yang tinggal di Bukit Belacan perlu mengambil 2 bas untuk ke sekolah. Pergi balik, tambang bas sahaja ialah RM4.00 sehari. 

"Tidak hairanlah kami mendapat laporan, pelajar tingkatan 3 sudah mula bekerja dengan pendapatan antara RM70.00 sehingga RM100.00 sehari,” katanya dengan perasaan sedih kerana ibu bapa dan anak-anak terpaksa bertindak demikian demi kelangsungan hidup.


Mohd Rashdan Abd Rashid (kanan) bersama seorang pelajar yang bersedia mengambil pek HiTSnya. 


Pada masa yang sama, Mohd Rashdan turut melahirkan kebimbangan tentang keupayaan para pelajar itu mengurus kewangan masing-masing tambahan lagi dengan tekanan rakan sebaya serta pengaruh media sosial yang negatif mereka akan berbelanja secara tidak berhemat dengan mengutamakan gaya hidup, antaranya menghisap rokok dan vape melebihi daripada amalan berjimat cermat. 

Beliau berkata, walaupun anak-anak itu menerima Biasiswa Persekutuan setahun sekali yang sememangnya membantu tetapi perlu ada gerak kerja daripada komuniti, badan bukan kerajaan dan pihak swasta mengumpul dana bagi membantu golongan miskin bandar serta menggalakkan para pelajar dari golongan tersebut membina keupayaan dengan mempelajari kemahiran tertentu. 

Menurut beliau, sebagai langkah menarik minat para pelajar itu ke sekolah, PIBG Tasek Permai sedang merancang untuk mengajar kemahiran teknikal dengan memperkenal bidang pertanian di sekolah bagi pelajar tingkatan 3 dan 4 di samping mengenal pasti mereka yang boleh dihantar ke sekolah vokasional.

“Kita perlu menyemai dalam pemikiran mereka bahawa pendidikan sama ada secara akademik mahupun vokasional mampu mengubah taraf hidup mereka. 

"Kita mahu menunjukkan ilmu penting dalam kehidupan apatah lagi ilmu pertanian yang mereka pelajari di sekolah termasuk mengitar semula sisa dapur untuk dijadikan kompos boleh membantu mereka menjana pendapatan,” tegasnya.

Beliau menyeru orang-ramai bersama-sama menyumbang kepada tabung program HiTS itu bagi membolehkan para pelajar asnaf dan B40 sekolah itu mendapat manfaat daripada makanan berkhasiat dan seimbang. 



Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun PIBG SEK MEN KEB TASEK PERMAI nombor akaun Malayan Banking Berhad 0122 4060 0193. - KitaReporters

18
16
0
16
0

Copy Link: