Daripada pelajar untuk pelajar! Gerobok Rezeki PUO diteruskan! Agih nasi lemak percuma setiap Jumaat!

Published by
KitaReporters

Gerobok Rezeki 5.0, yang memasuki edisi kelima itu, merupakan sebuah inisiatif yang menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar-pelajar Politeknik Ungku Omar (PUO) pada setiap hari Jumaat sepanjang semester tahun 2026 ini.


Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyerahkan bungkusan nasi lemak kepada sekumpulan pelajar di Kampus PUO di Ipoh.

Keprihatinan terhadap kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh apabila Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melancarkan Gerobok Rezeki 5.0, sebuah inisiatif yang menyediakan sarapan pagi percuma kepada pelajar-pelajar pada setiap hari Jumaat sepanjang semester.

Program yang memasuki edisi kelima itu dimulakan pada 3 Julai 2026 dengan pengagihan 100 pek nasi lemak kepada pelajar di dua kampus, masing-masing 70 pek di Kampus Utama, Dewan Warisan dan 30 pek di Kampus Bercham di Ipoh.


Dua orang pelajar menerima bungkusan nasi lemak setelah disantuni ahli kumpulan Majlis Perwakilan Pelajar PUO.

Inisiatif yang diasaskan sejak kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 itu akan diteruskan sehingga Minggu Ke-14 sebagai usaha membantu pelajar, khususnya golongan pelajar  yang memerlukan.

Ia bagi memastikan mereka memulakan sesi pembelajaran dalam keadaan lebih selesa dan bertenaga.

Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh berkata, Gerobok Rezeki bukan sekadar program kebajikan, malah menjadi lambang budaya penyayang yang mahu terus diperkasakan di kampus.

"PUO bukan sahaja komited melahirkan graduan TVET yang cemerlang, malah mahu memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberikan perhatian.

“Gerobok Rezeki membuktikan bahawa semangat kebersamaan dan sikap saling membantu mampu membentuk ekosistem kampus yang lebih sejahtera serta inklusif," katanya dalam kenyataan media pada 4 Julai 2026.


Dua ahli MPP menyerahkan nasi lemak kepada seorang pelajar di PUO, Ipoh

Salmi percaya kejayaan program itu turut membuktikan sinergi erat antara institusi pendidikan, agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat dalam memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.

"Saya berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan sumbangan dan bekerjasama dengan PUO agar manfaat program ini dapat diperluaskan kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang," ujarnya.

Pelaksanaan Gerobok Rezeki 5.0 mendapat sokongan daripada beberapa penyumbang strategik iaitu TepiHaus Taman Cempaka, Majlis Belia Perak, Masjid Sultan Azlan Shah, Dellamar Coffee serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Program itu jelas mencerminkan komitmen berterusan PUO dalam memperkukuh agenda kebajikan pelajar selaras dengan aspirasi Politeknik APEX, sekali gus mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif, inklusif dan berteraskan nilai ihsan. - KitaReporters


8
14
0
16
0

Copy Link: