Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat melalui TVET! KKBSe anjur Karnival Sinergi Komuniti Madani!
Published byKetika negara terus memperkukuh agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu pembangunan ekonomi Madani, hampir 400 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat membuktikan bahawa pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan.

Menerusi 25
kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang ditawarkan sepanjang Karnival
Sinergi Komuniti Madani 2026, Kolej Komuniti Bagan Serai (KKBSe) terus memainkan
peranan sebagai institusi TVET yang membawa ilmu, kemahiran dan peluang ekonomi
secara terus kepada komuniti.
Karnival
yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Julai 2026 lalu itu menghimpunkan
pelbagai program berimpak tinggi yang memfokuskan kepada pembangunan modal
insan, pemerkasaan komuniti, keusahawanan serta pengukuhan jaringan strategik
antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan industri.
Seramai 395 peserta telah menyertai kursus-kursus pendek yang ditawarkan. Mereka terdiri daripada pelajar sekolah sekitar Daerah Kerian, guru-guru kaunseling sekolah, komuniti setempat, pelajar institusi tahfiz, warga Pejabat Daerah dan Tanah Kerian serta ahli Kelab Warga Emas.
Penyertaan pelbagai kelompok ini membuktikan bahawa TVET semakin diterima sebagai medium terbaik untuk meningkatkan kemahiran, memperkasa diri, menambah peluang pekerjaan dan menjana pendapatan.
Karnival turut dimeriahkan dengan penganjuran Hair Cut Challenge (Cabaran Potong Rambut) dan Flower Bouquet Competition (Cabaran Gubah Bunga) yang menjadi platform mengetengahkan kreativiti, inovasi dan kompetensi peserta dalam bidang kemahiran yang mempunyai potensi tinggi dalam industri serta keusahawanan.
Penganjuran karnival ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses kepada pendidikan sepanjang hayat serta meningkatkan penyertaan masyarakat dalam program peningkatan kemahiran.
TVET hari ini bukan lagi tertumpu kepada golongan lepasan sekolah, malah berkembang sebagai platform pembangunan bakat yang inklusif bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, latar belakang mahupun bidang pekerjaan.
Pendekatan ini turut menyokong usaha negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta memperkukuhkan daya saing ekonomi negara.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian telah diadakan termasuk 25 Kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), Pelancaran Port Rezeki KKBSe, Majlis Jalinan Kolaborasi KKBSe 2026, CEO Talk & Industry Insights bersama Iylia Malek Empire Sdn. Bhd., Hari Bertemu Pelanggan, Jualan Rahmah serta Jualan Keusahawanan PolyCC Zon Perak yang melibatkan usahawan daripada Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Perak.
Sebagai usaha memperkukuh ekosistem TVET, KKBSe turut menjalin kolaborasi strategik bersama enam rakan industri dan agensi iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Kerian, Iylia Malek Empire Sdn. Bhd, Hakak Maneh, CTNoor Worldwide Resources, Rosri Enterprise dan PHR Manufacturing.
Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan komuniti dalam aspek latihan industri, pembangunan kemahiran, pemindahan teknologi, keusahawanan serta kebolehpasaran.
Sementara itu, Pengerusi
Jawatankuasa Pendikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Datuk Khairudin Abu Hanipah pada majlis penutupan berkata,
TVET kini memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negeri dan
negara.
"TVET bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya pilihan utama dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan industri.
"Apa yang lebih penting, pendidikan TVET hari ini bukan sekadar melahirkan graduan untuk mendapatkan pekerjaan, malah membentuk usahawan, mencipta peluang ekonomi baharu dan memperkasa komuniti melalui ilmu serta Kemahiran," katanya di KKBSe pada 9 Julai 2026.
Beliau
berkata, pendekatan yang dilaksanakan oleh Kolej Komuniti Bagan Serai menerusi
Karnival Sinergi Komuniti Madani membuktikan bahawa institusi TVET mampu
membawa latihan kemahiran secara terus kepada masyarakat.
Sehubungan
itu beliau menyeru agar lebih banyak institusi pendidikan dan rakan industri memperluas kerjasama strategik dalam usaha memperkukuh ekosistem TVET negara agar terus
relevan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, transformasi digital dan
ekonomi masa hadapan.
“Lebih daripada sekadar sebuah karnival, program ini menjadi platform yang menghimpunkan institusi pendidikan, industri, agensi kerajaan dan komuniti dalam satu ekosistem yang saling melengkapi.
“Pendekatan ini bukan sahaja memperluaskan akses kepada latihan kemahiran, malah menyokong usaha meningkatkan kebolehpasaran, menggalakkan keusahawanan serta membantu Masyarakat menjadikan kemahiran sebagai sumber pendapatan baharu,” katanya.

Khairudin
berkata, penganjuran Karnival Sinergi Komuniti Madani 2026 membuktikan komitmen
Kolej Komuniti Bagan Serai dalam memperkasa agenda TVET negara melalui pendendekatan
yang inklusif, responsif dan berorientasikan komuniti.
“Selaras
dengan aspirasi Malaysia Madani, kolej komuniti akan terus menjadi institusi
yang bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah menjadi pemangkin kepada
pembangunan masyarakat yang berdaya saing, berkemahiran dan berpendapatan tinggi,”
katanya. -KitaReporters
