Nak tahu tak? Ada laluan pintar ke menara gading! Program Asasi Kejuruteraan POLIMAS jadi rebutan!
Published by
Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Jitra, Kedah mencatatkan sejarah tersendiri apabila menerima lonjakan luar biasa pendaftaran pelajar baharu bagi program Asasi Kejuruteraan Sesi 1-2026/2027, sekali gus membuktikan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu terus menjadi buruan.

Ini kerana kehadiran
seramai 122 pelajar berbanding kemasukan asal yang ditetapkan iaitu hanya 100
orang, mencerminkan kepercayaan tinggi masyarakat terhadap kebolehpasaran
graduan yang dilahirkan di
POLIMAS.
Program
Asasi Kejuruteraan POLIMAS merupakan antara laluan pintar yang ditawarkan
kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melangkah terus ke
peringkat ijazah sarjana muda dengan pengisian kurikulum yang dinamik serta
berdaya saing.
Justeru itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik POLIMAS, Hamizi Yahya berkata, peningkatan angka tersebut bukan sahaja satu pencapaian membanggakan, malah menjadi penanda aras baharu terhadap komitmen institusi dalam melahirkan modal insan berkualiti.
“Lonjakan
angka pendaftaran ini mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap kualiti
kebolehpasaran graduan kami.
“POLIMAS komited menyediakan ekosistem pembelajaran terbaik demi melahirkan teknokrat masa hadapan,” katanya ketika menyampaikan Sesi Taklimat Waris di POLIMAS pada 14 Jun 2026.

Sebahagian daripada 122 pelajar berbanding kemasukan asal yang ditetapkan iaitu hanya 100 orang.
Sementara
itu, tinjauan di lokasi pendaftaran mendapati rata-rata pelajar baharu amat
teruja dan tidak sabar untuk memulakan lembaran baharu dalam fasa kehidupan
kampus mereka.
Bagi bekas
pelajar Sekolah Menengah Agama Annajah, Baling, Muhammad Adam Hanif Zulkipeli,
peluang melanjutkan pengajian di POLIMAS dianggap sebagai platform terbaik
untuknya melangkah lebih jauh.
"Saya
sangat seronok dapat masuk belajar di POLIMAS dan tidak sabar untuk meneroka
bidang baharu yang mencabar ini," ujarnya.
Nurul
Syakinah Zainul Abidin dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa, Kedah menyifatkan sistem pengajian di institusi berkenaan mempunyai keunikan
tersendiri.
"Saya
sangat teruja kerana di sini kami boleh mempelajari kedua-dua elemen iaitu
teori dan praktikal secara serentak dalam satu masa," katanya.
Bagi Nur
Rahmuna Yafis Nawawi dari SMK Guar Chempedak pula, dia mengakui ada perasaan
gementar namun semangatnya untuk bergelar mahasiswa jauh lebih tinggi.
"Walaupun saya ada rasa gementar, tetapi pada masa sama sangat teruja untuk memulakan perjalanan pengajian di peringkat asasi ini," katanya.

Program Asasi Kejuruteraan POLIMAS merupakan antara laluan pintar yang ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melangkah terus ke peringkat ijazah sarjana muda dengan pengisian kurikulum yang dinamik serta berdaya saing. - KitaReporters
