Jom terbang tinggi! Graduan TVET IKBN Pekan pilihan industri penerbangan! Kerjaya bergaji premium!
Published byBidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuktikan kemampuannya sebagai laluan kerjaya masa depan apabila graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan mendapat perhatian industri penerbangan menerusi peluang pekerjaan berpendapatan premium.

Kerjasama strategik antara IKBN Pekan dan Skyways Technics Asia Sdn Bhd melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai sejak 2023 terus memberi impak positif terhadap kebolehpasaran graduan khususnya dalam bidang Pembaikan Struktur Pesawat Komposit dan Sheet Metal.
Menerusi kerjasama itu, Skyways Technics Asia membuka ruang lebih luas kepada pelajar IKBN Pekan untuk menjalani program perantisan dan latihan industri sebelum diserap ke alam pekerjaan sebenar.


Pada 10 Jun 2026, wakil Skyways Technics Asia hadir ke IKBN Pekan bagi mengadakan sesi temu duga bersama pelajar menggunakan pendekatan berbeza melalui penyelesaian kajian kes, perbincangan serta pembentangan secara berkumpulan.
Kaedah berkenaan memberi peluang kepada pelajar mempamerkan kemahiran membuat perancangan, menyelesaikan masalah, membuat keputusan dan menganalisis situasi sebenar yang bakal dihadapi dalam dunia pekerjaan.

PELAJAR membentangkan hasil perbincangan kajian kes ketika sesi latihan bersama pihak industri bagi mengasah kemahiran teknikal, komunikasi dan persediaan kerjaya aeroangkasa. – Foto ihsan penganjur.
Turut mencuri perhatian ialah perkongsian pengalaman alumni IKBN Pekan, Mohamad Afzan Mohd Afendi yang kini membina kerjaya sebagai Juruteknik Komposit di Skyways Technics Asia.
Kejayaan beliau menjadi bukti bahawa bidang kemahiran mampu membawa graduan TVET melangkah lebih jauh dalam sektor berteknologi tinggi termasuk industri penyelenggaraan pesawat.
Sehingga suku kedua tahun 2026, hampir 20 lepasan IKBN Pekan berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan premium bersama Skyways Technics Asia.
Pencapaian itu sekali gus memperkukuh kedudukan TVET sebagai pilihan utama anak muda dalam membina kerjaya profesional, selain membuktikan graduan kemahiran tempatan mempunyai keupayaan bersaing dalam industri bertaraf global.

WAKIL industri berkongsi pengalaman dan taklimat kerjaya kepada pelajar sebagai pendedahan awal terhadap peluang pekerjaan dalam sektor aeroangkasa. – Foto ihsan penganjur.
TVET bukan lagi sekadar alternatif pendidikan, sebaliknya menjadi laluan strategik melahirkan tenaga mahir negara untuk masa depan. - KitaReporters


