Jadi pasukan 5 terbaik! Sasaran awal skuad ragbi UC TATI! Temasya dwitahunan SUKIPT! Edisi ke-7!
Published byOleh KARIM DAUD
Skuad ragbi Kolej Universiti TATI (UC TATI) yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu kini giat mempersiap pasukan untuk kembali berentap pada temasya dwitahunan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) edisi ke-7 yang akan membuka tirai pada Ogos 2026.

UC TATI Rhino merupakan antara pasukan ragbi peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) yang berpangkalan di Kolej Universiti TATI (UC TATI), Kemaman, Terengganu yang kembali hadir memberi cabaran di temasya SUKIPT edisi ke-17 pada Ogos 2026.
Walaupun berdepan dengan kekangan jadual semester pengajian yang baru bermula, UC TATI Rhinos yang kini dalam misi untuk memperbaiki rekod kekal gigih untuk meneruskan program latihan pada waktu luar kelas pengajian mereka.
Menurut pengurus pasukan, Ahmad Farid Ridhwan Zakaria, Rhinos meletakkan sasaran awal untuk berada dalam kelompok 5 terbaik daripada keseluruhan 65 pasukan yang bertanding nanti.
"SUKIPT yang berlangsung dalam tempoh dwitahunan memberi tempoh masa yang baik untuk persediaan setiap pasukan yang bertanding.
"Namun hakikatnya, setiap pemain ini adalah pelajar yang perlu menghabiskan pengajian masing-masing malah pasukan ini bukanlah pasukan pilihan untuk merebut kejuaraan berbanding IPT-IPT lain yang dibarisi pemain-pemain yang pernah beraksi pada pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.
"Walaupun sedemikian, kami optimis untuk berada dalam kelompok 5 terbaik pasukan dalam kalangan pasukan-pasukan bertanding," ujarnya yang menjadi pengurus pasukan sejak 2016.
Manakala bagi kapten pasukan, Muhammad Daniell Aqtar Uzir, yang membuat penampilan ke-3 bersama pasukan untuk musim ini, beliau meletakkan harapan yang tinggi untuk menaiki podium SUKIPT 2026.
"Mungkin ini adalah penampilan terakhir saya bersama pasukan sejak 2026 memandangkan saya akan tamat pengajian tidak lama lagi.
"Saya amat berharap kami sama-sama dapat memperbaiki rekod pasukan, sekali gus sekurang-kurangnya ia menjadi sesuatu yang terbaik untuk saya meninggalkan pasukan ini nanti," ujar kapten pasukan yang juga merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuteraan Elektrik di Kolej Universiti TATI ini.

Untuk rekod pada edisi 2024 lalu, bagi acara ragbi 7 sepasukan lelaki, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan rekod tanpa kalah muncul juara setelah menewaskan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berkesudahan 21-00.
Edisi ke-7 bagi musim ini dijadualkan bermula pada 28 Ogos 2026 nanti bertempat di Universiti Malaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melibatkan 65 kontinjen yang terdiri institusi pendidikan tinggi (IPT) seluruh negara. - KitaReporters
