Jiwa Murni perkasa semangat kesukarelawan, komuniti! Disertai 1k pelajar, pegawai dari 19 politeknik!
Published byProgram Jiwa Murni Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC 17/2026) anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Rejimen Askar Wataniah menjadi manifestasi komitmen berterusan dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan, pasukan keselamatan dan komuniti setempat.

Bertemakan
slogan "Bersama Kita Bersih, Bersama Kita Harmoni", program berimpak
tinggi ini menghimpunkan penyertaan seramai 1,000 orang penuntut dan pegawai
daripada 19 buah politeknik seluruh Malaysia yang terlibat dalam pasukan
Rejimen Askar Wataniah (Rej AW) di bawah naungan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej
Komuniti (JPPKK).
Program yang
diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang pada 13 Jun 2026 itu memberi tumpuan
kepada pelaksanaan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di 11 lokasi
terpilih di sekitar Gugusan Manjoi, Bandar Baru Bercham dan BandarRaya Ipoh.
Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah kerja-kerja pembersihan kawasan dalam dan luar masjid serta surau, di samping aktiviti mengecat bagi menceriakan dan memperindah fasiliti rumah ibadat yang terlibat.

Secara keseluruhannya, program ini melibatkan ratusan peserta daripada pelbagai Rejimen Askar Wataniah Politeknik Malaysia termasuk Rej 501 AW, Rej 502 AW, Rej 503 AW, Rej 505 AW, Rej 506 AW, Rej 510 AW, Rej 513 AW dan Rej 514 AW.
Para peserta ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan mencapai objektif yang disasarkan.
Antara
lokasi yang terlibat ialah Masjid Gufran Kampung Manjoi, Surau
Al-Husseiniah, Surau Al-Hasaniah, Masjid As-Saadah, Masjid Jamek KDAS 3, Surau
Al-Ihsaniah, Surau Ahmadiah, Masjid Al-Ittihadiah, Surau Al-Muttaqin, Masjid
Sultan Azlan Shah dan Politeknik Ungku Omar.
Program Jiwa
Murni ini merupakan antara pengisian utama sempena MALPTAAC Ke-25 (Jubli Perak)
dan ia bukan sahaja menjadi platform khidmat bakti kepada masyarakat, malah
turut menyemai nilai kepimpinan, disiplin, semangat kesukarelawanan serta
perpaduan dalam kalangan peserta.
MALPTAAC merupakan singkatan bagi Malaysian Polytechnics Territorial Army Annual Camp, iaitu perkhemahan tahunan Askar Wataniah melibatkan pelajar politeknik dari seluruh Malaysia.
Program ini adalah kolaborasi antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama Askar Wataniah (AW) dalam membentuk jati diri, disiplin serta semangat patriotisme.

Program tersebut
berlangsung dari 1 hingga 15 Jun 2026 di Politeknik Ungku Omar. Kira-kira 1,000
orang pelajar dan urus setia dari seluruh Malaysia terlibat sepanjang dua
minggu program ini.
Antara acara utama ialah kawad kaki, merentas halangan, ujian menembak, multirelay serta sukan.
Merentas halangan merupakan acara paling mencabar. Peserta perlu mengharungi sembilan halangan sejauh 1 kilometer sambil membawa beban kira-kira 8 kilogram serta senjata seberat 2.5 kilogram.
Pada masa yang sama, nilai kepimpinan dan perancangan oleh seseorang ketua akan dapat dinilai semasa disiplin ini dilaksanakan dalam keadaan penat dari segi mental dan fizikal.

Bagi lawatan dan pendedahan pula, peserta dipecahkan kepada 3 kumpulan yang mana
lokasi lawatan ke unit VAT69 atau 69 Komando di Ipoh, pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Batalion Kedua
Rejimen Renjer Diraja (Bn 2 RRD) di
Kem Gua Permai.
Manfaat
lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada tatacara pengurusan
organisasi sesuatu jabatan dalam bekerjasama untuk operasi sebenar pertahanan
negara.
Majlis penutup MALPTAAC 17/2026 disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad. – KitaReporters

