Keheningan kariah Kampung Bukit di Pokok Sena, Kedah bertukar ceria apabila Masjid Ar-Rayyan dipilih menjadi medan transformasi rohani dan jati diri buat 96 generasi muda menerusi Program TVET Star Future Leader pada 16 Mei 2026.


Pelajar mendengar ceramah oleh seorang penceramah pada Program TVET Star Future Leader di Masjid Al-Rayyan, Pokok Sena, Kedah pada 16 Mei 2026.

Program berimpak tinggi ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Zakat Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) serta Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (JHEPP) POLIMAS. 

Penganjuran program dalam khariah masjid berkenaan bertujuan memanfaatkan institusi ibadah sebagai pusat penyebaran ilmu, sahsiah, dan kepimpinan berteraskan ajaran Islam, sekali gus mempromosikan peluang pendidikan TVET di POLIMAS.

Menurut Ketua JHEPP POLIMAS, Saiful Nizam Sa’ari, pemilihan Masjid Ar-Rayyan sebagai lokasi program adalah langkah strategik untuk mendekatkan pelajar dengan rumah ibadah.

"Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cintakan ilmu, tetapi mempunyai ikatan hati yang kuat dengan masjid. 

"Di sini, mereka belajar meningkatkan penghayatan ibadah harian, disiplin, dan nilai kepimpinan untuk menjadi modal insan yang seimbang," ujar beliau dalam kenyataan pada 23 Mei 2026..


Sebahagian pelajar membuat aktiviti riadah pada program anjuran POLIMAS. 


Pengarah Program, Afzanizam Alias pula ketika ditemui berkata, pihak masjid, peserta dan semua jawatankuasa telah memberikan kerjasama yang amat baik sepanjang program berlangsung sehingga segala aktiviti dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancang.

Beliau berkata, program tersebut berjaya membentuk pemimpin muda yang berdaya saing, berintegriti dan mampu membuat keputusan secara strategik di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan keyakinan diri peserta dalam memimpin organisasi.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Ar-Rayyan, Muhamad Nasir Zain menzahirkan rasa bangga apabila masjid pimpinannya dipilih menjadi tuan rumah kepada program murni ini.

Menurut beliau, masjid adalah nadi komuniti. Kehadiran anak-anak muda memenuhi ruang Masjid Ar-Rayyan sepanjang program ini menghidupkan syiar Islam.

“Ukhuwah Islamiah yang terbina membuktikan pihak masjid dan institusi pendidikan seperti POLIMAS mampu bekerjasama erat demi memandu masa depan remaja kita," katanya.


Pelajar mendengar ceramah motivasi yang disampaikan di dewan Masjid Al-Rayyan.


Sepanjang program, seramai 40 pelajar sekolah rendah dan 56 pelajar sekolah menengah di sekitar daerah ini -- melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, SK Bukit Payung, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Payung, dan SMK Naka -- berkampung di Masjid Ar-Rayyan.

Pelajar terlibat berumur di antara 10 hingga 17 tahun mengikuti pelbagai aktiviti yang mencabar fizikal dan mental seperti ceramah Motivasi Islam yang menyuntik kesedaran dan inspirasi membina jati diri, Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang menguji semangat kerja berpasukan di persekitaran masjid, Aktiviti Riadah Sunah yang membina kecergasan fizikal berlandaskan syiar Islam, serta Aktiviti Kerohanian yang melatih kekusyukan ibadah dan solat berjemaah di dewan solat utama.


Para peserta Program TVET STAR Future Leader menunjukkan sijil penyertaan masing-masing. 

Bagi pelajar Tingkatan 3 dari SMK Naka, Nur Soffa Huda Hambali, pengalaman mengikuti program di masjid ini memberi impak mendalam terhadap pengurusan dirinya.

"Suasana di Masjid Ar-Rayyan sangat tenang dan membantu saya fokus. Saya belajar banyak tentang erti disiplin dan betapa pentingnya menjaga ibadah harian jika mahu berjaya dalam pelajaran," katanya.

Rakan sekolahnya, Muhammad Awal Syawal Azizan, pula berkata, aktiviti LDK dan riadah sunah di kawasan masjid mengajar beliau menjadi ketua yang bertanggungjawab.

“Program ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk menerokai peluang menyambung pengajian di POLIMAS pada suatu hari nanti," katanya.

Langkah proaktif Jawatankuasa Zakat POLIMAS ini membuktikan bahawa pelaburan terbesar negara adalah dengan membentuk acuan rohani anak muda sekalian, bermula dari institusi masjid. - KitaReporters

13
12
0
10
0

Copy Link: