Cipta sejarah! Mithraa FC bawa bakat muda Malaysia beraksi di China! Terdiri daripada pelajar SJKT!

Published by
KitaReporters

Impian sekumpulan pemain bola sepak cilik dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) kini menjadi kenyataan apabila mereka mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama dari sekolah berkenaan dibawa ke China untuk menyertai kejohanan bola sepak peringkat antarabangsa.


Pemain bola sepak Mithraa FC bergambar bersama Jalur Gemilang dan bendera kelab.

Pemain Mithraa FC bersama barisan jurulatih dan pegawai bergambar di KLIA sebelum berlepas ke China bagi menyertai kejohanan bola sepak antarabangsa.

Kejayaan itu direalisasikan oleh Mithraa FC yang terus komited membuka ruang kepada bakat muda tempatan menimba pengalaman di pentas antarabangsa sejak usia sekolah.

Menurut kenyataan Mithraa FC, penyertaan tersebut bukan sekadar memberi peluang kepada pemain menguji kemampuan menentang pasukan luar negara, malah membolehkan mereka mempelajari budaya baharu, disiplin latihan dan corak permainan yang lebih kompetitif.

"Impian tidak mengenal sempadan. Program ini bukan sekadar menyertai kejohanan, tetapi memberi pengalaman berharga, membina keyakinan diri serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa," menurut kenyataan itu.


Pemain Mithraa FC bergambar sebaik tiba di China bagi menyertai kejohanan bola sepak antarabangsa, sekali gus mencipta sejarah sebagai pasukan pertama melibatkan murid SJKT beraksi di pentas berkenaan. – Foto Mithraa FC.

Sepanjang berada di China, para pemain bukan sahaja beraksi dalam kejohanan, malah berpeluang menjalinkan persahabatan dengan peserta dari pelbagai negara, sekali gus memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan dan kepimpinan.

Mithraa FC percaya pendedahan pada peringkat antarabangsa mampu mempercepat perkembangan pemain muda selain menyemarakkan lagi minat kanak-kanak terhadap sukan bola sepak.

Inisiatif berkenaan turut dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam memperkasakan pembangunan bola sepak akar umbi negara, khususnya dalam kalangan murid SJKT, sekali gus membuktikan bakat muda Malaysia mampu berdiri sama tinggi dengan pemain dari negara lain apabila diberikan peluang yang sewajarnya.


Pengurusan Mithraa FC bergambar bersama wakil penganjur sebaik tiba di Changsha, China sempena penyertaan pasukan dalam kejohanan bola sepak antarabangsa.

Program bersejarah itu diharapkan menjadi inspirasi kepada lebih banyak akademi dan kelab bola sepak untuk terus membuka laluan kepada pemain muda Malaysia menimba pengalaman di pentas antarabangsa. – KitaReporters


Rombongan pemain Mithraa FC bersama ibu bapa, jurulatih dan pegawai bergambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke China bagi menyertai kejohanan bola sepak antarabangsa.
6
6
0
13
0

Copy Link: