Komputer riba untuk pelajar B40 UMT! Demi pendidikan tinggi yang inklusif! Sumbangan MITRA dan YDN!
Published byUniversiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh komitmennya dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang inklusif melalui pengagihan 84 komputer riba kepada pelajar berbangsa India daripada keluarga B40 menerusi sumbangan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) dengan kerjasama Yayasan Didik Negara (YDN).

Antara pelajar berbangsa India daripada keluarga B40 dari UMT yang menerima komputer riba yang baharu.
Program yang diselaraskan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT itu bertujuan memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir daripada mengikuti proses pembelajaran digital, selaras dengan usaha memperkasakan pembangunan modal insan dan merapatkan jurang pendidikan dalam era pendigitalan.
Majlis simbolik penyerahan bantuan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, yang menyampaikan komputer riba kepada wakil penerima sebagai simbol komitmen universiti terhadap agenda kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.

Dr. Mohd Izani Mohd Zain (kanan) menyampaikan komputer riba kepada wakil penerima.
Beliau berkata, kebajikan mahasiswa bukan sekadar agenda kebajikan semata-mata, sebaliknya merupakan pelaburan strategik yang mampu melahirkan graduan berdaya saing, berkemahiran tinggi dan bersedia memenuhi keperluan negara pada masa hadapan.
“UMT amat menghargai keprihatinan serta komitmen yang dizahirkan oleh MITRA dan Yayasan Didik Negara dalam membantu mahasiswa tahun 1 dan tahun 2 daripada keluarga berpendapatan rendah.
"Sumbangan komputer riba ini bukan sekadar menyediakan sebuah peranti pembelajaran, malah membuka peluang kepada pelajar untuk mengakses ilmu, memperkukuh kompetensi digital dan meningkatkan prestasi akademik tanpa dibatasi kekangan ekonomi.
“Kami percaya setiap mahasiswa berhak menikmati peluang pendidikan yang adil dan saksama.
"Justeru, UMT akan terus memperluas kerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, industri dan rakan strategik bagi memperbanyak inisiatif kebajikan serta bantuan pembelajaran demi memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus kecemerlangan,” katanya.
Menurutnya lagi, pemilikan komputer riba kini bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya menjadi keperluan asas bagi membolehkan mahasiswa mengikuti kuliah, menjalankan penyelidikan, menyiapkan tugasan serta menguasai pelbagai aplikasi digital yang menjadi teras sistem pendidikan tinggi masa kini.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Dinesh a/l Ravindra Singh, berkata sumbangan berkenaan memberikan kelegaan besar kepada keluarganya yang sebelum ini berdepan kekangan kewangan untuk menyediakan komputer riba baharu.
“Saya amat bersyukur atas bantuan yang diterima. Sebelum ini saya menggunakan komputer riba lama yang sering mengalami kerosakan sehingga menjejaskan urusan menyiapkan tugasan dan mengikuti pembelajaran.
"Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah menjadi pembakar semangat untuk saya belajar dengan lebih gigih dan membuktikan bahawa kekangan kewangan bukan penghalang untuk berjaya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UMT, MITRA dan Yayasan Didik Negara kerana sentiasa prihatin terhadap kebajikan mahasiswa yang memerlukan.

Program tersebut mencerminkan sinergi kukuh antara institusi pendidikan tinggi, agensi kerajaan dan badan berkaitan dalam memperluas akses kepada pendidikan berkualiti, khususnya kepada golongan yang memerlukan.
UMT yakin kerjasama strategik bersama MITRA dan Yayasan Didik Negara akan terus diperkasakan pada masa hadapan bagi memperluas manfaat kepada lebih ramai pelajar, sekali gus memperkukuh agenda keterangkuman pendidikan tinggi serta melahirkan graduan yang kompeten, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. - KitaReporters/Kenyataan Media
