Usaha memperkukuh akses pendidikan berkualiti dalam kalangan komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan membuahkan hasil apabila seramai 267 pelajar berjaya menamatkan Program Kelas Tuisyen SPM & 3M anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Yayasan Hasanah.



Pencapaian membanggakan itu membuktikan bahawa sokongan akademik berterusan mampu memberi impak besar terhadap perkembangan pelajar apabila sebahagian peserta berjaya mencatat peningkatan dalam penguasaan subjek utama termasuk Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Majlis Penutup Program berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan, Dr. Abdul Basir V. Kunhimohamed (gambar bawah, tengah) di Kompleks Arena Sukan, Kuala Lumpur pada  27 Jun 2026, sebagai penghargaan terhadap komitmen pelajar, tenaga pengajar serta semua pihak yang menjayakan inisiatif tersebut. 



Program yang berlangsung dari Disember 2024 hingga Mac 2026 itu merupakan antara usaha strategik YWP dalam memperkasakan pembangunan modal insan menerusi penyediaan kelas tuisyen, modul pembelajaran komprehensif serta bimbingan akademik secara berterusan kepada golongan pelajar yang memerlukan.

Melibatkan enam Pusat Pendidikan dan Komuniti (PREPKOM) YWP di Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Setiawangsa, Cheras dan Wangsa Maju, program tersebut disertai 113 pelajar SPM dan 154 pelajar Program 3M (Membaca)


.


Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan program, sebanyak RM498,000 diperuntukkan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa rakan strategik lain dalam menyediakan pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif.

Hasil pelaksanaan program itu menyaksikan 86 peratus peserta Program 3M berjaya mencapai KP32 Bahasa Melayu, manakala 84 peratus pelajar SPM mencapai KP9 Matematik. Selain itu, semua peserta SPM berjaya memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia, dengan 55 peratus mencatat sekurang-kurangnya Gred C bagi Bahasa Inggeris dan 40 peratus memperoleh sekurang-kurangnya Gred C bagi Matematik.





Malah, beberapa peserta tuut melakar kejayaan lebih besar apabila berjaya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan pembelajaran yang menggabungkan sokongan akademik, bimbingan guru serta penglibatan ibu bapa.

Kejayaan program ini turut mencerminkan komitmen berterusan YWP dalam memastikan anak-anak Wilayah Persekutuan, khususnya daripada komuniti PPR dan PA, mendapat peluang pendidikan yang mampu membantu mereka meningkatkan potensi diri.



Sejak ditubuhkan pada 1986, Yayasan Wilayah Persekutuan terus memainkan peranan dalam pembangunan modal insan menerusi pelbagai program pendidikan dan kebajikan bagi meningkatkan taraf hidup warga Wilayah Persekutuan.

Komitmen itu turut diperkukuh menerusi tadbir urus dana yang telus seperti yang dibuktikan melalui Laporan Audit Tahun Kewangan 2024 dan 2025.

YWP berharap program seumpama itu dapat diperluaskan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai generasi muda Wilayah Persekutuan yang berilmu, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara. - KitaReporters


4
1
0
7
0

Copy Link: