Status sebagai individu berkeperluan khas dalam spektrum autisme tidak menjadi penghalang buat Dzarif Irqin Dzuldzaimy untuk melakar masa depan apabila memilih bidang Sijil Animasi 2D di Kolej Komuniti Kuala Langat (KKKL).


LANGKAH BAHARU… Dzarif Irqin Dzuldzaimy (dua dari kiri) membuktikan autisme bukan penghalang mengejar impian apabila melanjutkan pengajian dalam bidang Animasi 2D di KKKL.


Dzarif Irqin Dzuldzaimy membuktikan autisme bukan penghalang untuk mengejar impian.


Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Seri Kembangan, Selangor itu menunjukkan minat mendalam dalam seni lukisan doodle sejak berusia enam tahun, sekali gus menjadi asas kepada kecenderungannya dalam bidang kreatif dan animasi.

Ibunya, Rahayu Ruzli, yang bekerja sendiri dan berniaga berkata, minat mendalam Irqin terhadap dunia animasi mendorong anaknya membuat permohonan kemasukan melalui sistem UPU secara dalam talian sebelum berjaya ditawarkan tempat di KKKL.

Menurut Rahayu, beliau pada awalnya tidak menyangka anaknya mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri jauh daripada keluarga, namun sokongan serta bimbingan pihak KKKL memberi keyakinan bahawa Irqin mampu menyesuaikan diri dalam suasana pembelajaran baharu.

“Sebagai seorang ibu, saya berharap Irqin dapat mengikuti proses pembelajaran dengan baik dan terus mengembangkan bakat yang ada pada dirinya.

“Saya amat berterima kasih kepada pihak KKKL kerana membuka ruang dan memberi peluang kepada anak saya menyambung pengajian,” katanya.


Ts. Dr. Aminuddin Hassim bersama delegasi KPT meninjau produk pelajar KKKL yang mengetengahkan kreativiti dan kemahiran TVET sempena lawatan ke kolej berkenaan.

Ts. Dr. Aminuddin Hassim beramah mesra dengan pelajar KKKL ketika meninjau hasil kerja serta kemahiran pelajar dalam bidang TVET.


Kisah inspirasi Irqin turut mendapat perhatian semasa kunjungan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts. Dr. Aminuddin Hassim ke KKKL dalam program bersama pelajar baharu Sesi I 2026/2027 pada 24 Jun 2026 lalu.

Irqin menjadi antara pelajar yang menerima kad matrik sebagai simbolik permulaan perjalanan sebagai warga KKKL, sekali gus membuktikan pendidikan TVET bersifat inklusif dan memberi peluang kepada semua golongan menggilap potensi diri.

Lawatan itu turut disertai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah serta Penasihat KKKL, Datuk Zurihan Yusop.

Dalam amanatnya, Aminuddin menyeru pelajar baharu supaya merebut peluang pendidikan TVET bagi meningkatkan kemahiran, membina keyakinan diri dan mencipta masa depan lebih cerah.


Pelajar KKKL menerima sumbangan hasil kerjasama PUSPANITA KPT dan PTPTN bagi membantu meringankan keperluan pelajar dalam meneruskan pengajian TVET.


Barisan kepimpinan KPT, JPPKK dan warga KKKL bergambar kenangan selepas sesi lawatan yang memberi fokus kepada pembangunan TVET, inovasi serta peluang pendidikan untuk semua golongan.


Kunjungan itu mencerminkan komitmen KPT dalam memperkasa pendidikan TVET inklusif agar setiap individu diberi ruang untuk berjaya berdasarkan bakat dan kemampuan masing-masing. - KitaReporters

10
9
0
10
0

Copy Link: