Hebat! Saintis muda UiTM! Harumkan nama negara! Buat eksperimen di pusat neutron terkemuka dunia!
Published byTiga saintis muda Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pulau Pinang telah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya menjalankan eksperimen di ISIS Neutron and Muon Source, United Kingdom (UK) yang merupakan antara fasiliti penyelidikan neutron paling berprestij di dunia.

Tiga penyelidik UiTM Pulau Pinang telah berjaya mengharumkan nama negara di United Kingdom.
Eksperimen ini bukan calang-calang. Ia berkait rapat dalam usaha membangunkan teknologi baharu bagi menangani ancaman mikroplastik dan meningkatkan nilai sisa plastik.
Lebih membanggakan lagi, apabila saintis muda terbabit Nur Lina Syahirah Mustapa dan Anis Syuhada Saufi serta Ir Ts Mohamed Syazwan Osman terlibat secara langsung dalam mengendalikan eksperimen menggunakan Larmor Sans.
Ia merupakan kemudahan bertaraf dunia yang menjadi tumpuan saintis dari pelbagai negara bagi mengkaji bahan pada skala nanometer,namun begitu Malaysia telah berjaya mendapat peluang tersebut.
Sebenarnya bukan mudah untuk mendapat akses fasiliti terbabit. Akses kepada fasiliti bertaraf dunia tersebut hanya diperoleh selepas melalui proses penilaian saintifik antarabangsa yang kompetitif.
Sekali gus ia membuktikan kemampuan penyelidik tempatan untuk bersaing dan menyumbang dalam ekosistem penyelìdikan global.
Kejayaan ini membuktikan anak muda Malaysia mempunyai potensi besar apakala diberikan peluang dan pendedahan yang sewajarnya.
Kajian tersebut sebetulnya memberi tumpuan kepada pembangunan bahan pemangkin yang mampu membantu memecahkan mikroplastik dengan lebih berkesan, selain meneroka pendekatan 'upcycling' untuk menukarkan sisa plastik kepada bahan atau produk yang mempunyai nilai tambah.

Isu mikroplastik kini menjadi kebimbangan global berikutan kewujudannya dalam sungai, lautan dan hidupan marin.
Malah Malaysia juga tidak terkecuali berdepan cabaran pencemaran plastik, justeru negara perlu membangunkan kepakaran dan teknologi sendiri agar ia tidak hanya bergantung kepada penyelesaian atau teknologi yang dibangunkan dari luar negara.
Melalui penggunaan neutron, penyelidik dapat memahami struktur dalaman bahan sehingga ke peringkat nanometer.
Pengetahuan ini amat penting untuk mereka bentuk bahan pemangkin yang lebih cekap serta berpotensi diaplikasikan dalam teknologi rawatan mikroplastik pada masa hadapan.
Sehubungan itu pendedahan dan peluang yang diberikan sebegini seharusnya diteladani kerana ia memberi impak positif bukan sahaja kepada saintis muda terbabit sebaliknya menobatkan nama Malaysia ke persada antarabangsa. - KitaReporters

