Simulasi ibadah haji! Lebih 3,000 kanak-kanak Al Kauthar Eduqid sertai program AKE Kids Hajj 2026!
Published byLebih 3,000 kanak-kanak daripada rangkaian Al Kauthar Eduqids (AKE) seluruh Lembah Klang menyertai program AKE Kids Hajj 2026 yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Sabtu, 13 Jun 2026 -- menjadikannya antara simulasi pendidikan Islam kanak-kanak terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

Program AKE Kids Hajj 2026 yang menghimpunkan lebih 3,000 kanak-kanak daripada rangkaian Al Kauthar Eduqids memberi pendedahan awal mengenai ibadah haji melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman sambil memupuk akhlak, disiplin dan semangat persaudaraan.
Program berskala besar yang diadakan sempena bulan Zulhijah itu memberi peluang kepada peserta cilik memahami perjalanan ibadah haji secara lebih dekat sambil memupuk nilai disiplin, kesabaran, kepatuhan, pengorbanan dan semangat persaudaraan menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang disesuaikan dengan peringkat usia dan perkembangan mereka.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids, Datin Dr. (hc) Nor Fadilah Alias, berkata program tersebut mencerminkan komitmen berterusan AKE dalam memperkukuh pendidikan awal Islam kanak-kanak melalui pendekatan pembelajaran yang lebih interaktif dan bermakna.
“Kami percaya pendidikan terbaik bukan sekadar apa yang diajar di dalam kelas, tetapi apa yang dapat dirasai dan dialami oanak-anak.
"Melalui AKE Kids Hajj, mereka bukan sahaja mengenali ibadah haji, malah memahami nilai kesabaran, disiplin, kepatuhan, pengorbanan dan semangat persaudaraan.
“Nilai-nilai ini penting dalam membentuk generasi yang mempunyai akhlak mulia, keyakinan diri dan rasa tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dr (hc) Nor Fadilah Alias
Nor Fadilah berkata Malaysia memerlukan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik dan kreatif dalam pemikiran, tetapi turut mempunyai asas moral dan akhlak yang kukuh.
“Pembentukan nilai dan karakter perlu bermula sejak usia muda kerana pada peringkat inilah asas kehidupan seseorang insan dibentuk,” katanya.
Beliau berkata pendidikan awal kanak-kanak di AKE tidak tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembangunan sahsiah, hafazan, doa, zikir dan penghayatan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Nor Fadilah turut menegaskan komitmen AKE terhadap pendidikan inklusif dengan menerima kanak-kanak tipikal dan kanak-kanak berkeperluan khas tanpa diskriminasi.
Menurut beliau, kemudahan khas termasuk laluan keutamaan turut disediakan sepanjang program bagi membantu kanak-kanak yang mempunyai autisme, kelewatan pertuturan (speech delay), cerebral palsy dan mereka yang menggunakan kerusi roda.
“Kami percaya setiap kanak-kanak berhak mendapat peluang yang sama untuk belajar dan menyertai aktiviti.
"Pendidikan inklusif bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan dalam landskap pendidikan masa kini,” katanya.
Beliau berkata AKE yang kini mempunyai lebih 200 pusat pendidikan di seluruh negara akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti pendidikan, pembangunan tenaga pengajar dan kecemerlangan operasi di seluruh rangkaiannya.
“Kita sudah mempunyai rangkaian yang kukuh dan meluas di seluruh negara.
"Fokus kami kini adalah mempertingkat kualiti kurikulum, latihan guru dan sistem penyampaian supaya apa yang baik hari ini menjadi lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Siti Shafizah Sharani
Sementara itu, Siti Shafizah Sharani, Pengetua Al Kauthar Eduqids Cawangan Southville City, Dengkil, berkata AKE Kids Hajj merupakan program tahunan yang direka khas untuk memperkenal ibadah haji kepada kanak-kanak seawal usia tiga tahun.
Menurut beliau, peserta melalui lapan checkpoint simulasi yang menggambarkan perjalanan sebenar ibadah haji, bermula dengan ihram, diikuti wukuf di Arafah, mabit di Muzdalifah, melontar jamrah di Mina, tawaf Kaabah, saie antara Safa dan Marwah, tahallul dan ibadah korban.
“Melalui simulasi ini, anak-anak dapat memahami rukun Islam kelima dengan lebih jelas dan menyeronokkan kerana mereka belajar melalui pengalaman sendiri.
“Program ini juga mengeratkan hubungan antara ibu bapa, guru dan anak-anak melalui penyertaan bersama dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata pendedahan kepada ibadah haji pada usia muda membantu memperkukuhkan kefahaman agama dan melengkapkan pendidikan Islam yang diterima oleh kanak-kanak di sekolah. - KitaReporters/Kenyataan Media

Peserta cilik berpakaian ihram mengambil bahagian dalam AKE Kids Hajj 2026 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 Jun 2026.
