Video| Guru sejati! Kaki cacat tak halang bakti! 18 tahun panjat tangga sekolah tanpa lelah di hati!
Published byJusteru sebagai penghormatan kepada guru-guru, kerajaan menetapkan tarikh 16 Mei setiap tahun sebagai Hari Guru sejak 1972.

Terdapat sejumlah guru yang bertugas di kawasan pedalaman mempunyai pengalaman kurang selesa demi mendidik murid dan pelajar. Antaranya perlu menaiki perahu atau mengharungi jalan berlumpur dengan motosikal, mengharungi banjir hingga kadangkala terpaksa datang lewat ke sekolah.
Namun pengorbanan seorang guru yang cacat kedua-dua kakinya, terpaksa naik turun tangga sekolah empat tingkat selama 18 tahun harus menjadi inspirasi para guru.
Kisah menyentuh hati yang dikongsikan oleh seorang guru Orang Kurang Upaya (OKU), Cikgu Mohd Firdaus Abdullah menerusi laman TikTok miliknya @Firdaus.Ebataj.
Sebuah video yang memperlihatkan Cikgu Firdaus naik turun tangga sekolah tular dengan sudah mencapai lebih 1.1 juta tontonan.


Dan kerana kisahnya sudah tular, program Malaysia Hari Ini (MHI), TV3 pada Jumaat, 15 Mei 2026 lalu mengundang Cikgu Firdaus sebagai salah seorang tetamu bersama Cikgu Ahmad Haikal Hafifi Azman dari Kuala Terengganu yang menarik minat pelajar belajar Bahasa Inggeris dengan cara menyanyi.
Cikgu Firdaus juga dipanggil ustaz kerana dia mengajar Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Pegoh, Ipoh, Perak.
Cikgu Firdaus mengalami kecacatan pada kaki kanan sejak lahir, manakala kaki kirinya pula berlaku kecederaan akibat terjatuh ketika masih kecil.
Walaupun berdepan kesukaran untuk bergerak, semangatnya sebagai seorang pendidik nyata tidak pernah luntur.

“Alhamdulillah, 18 tahun guru OKU turun naik tangga yang sama demi mendidik anak bangsa berjaya di dunia dan akhirat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Video tersebut nyata menyentuh hati ramai warganet yang kagum melihat ketabahan dan dedikasi dia dalam mendidik anak-anak murid selama hampir dua dekad.
Cikgu Firdaus turut membersih kelas seperti menyapu sampah selepas kelas berakhir. Ia bertujuan mendidik para pelajar sama-sama menjaga kebersihan.

Sikap mesranya juga membuat dia disenangi para pelajar, rakan guru dan petugas pelbagai peringkat di sekolah itu.
Ruangan komen turut dibanjiri dengan ucapan penghargaan dan doa daripada orang ramai.
“Cikguuu. tiada kata saya dapat ucapkan selain terima kasih atas segala pengorbanan dan penat lelah cikgu mendidik anak-anak kami.
“Semoga cikgu murah rezeki dan sihat-sihat selalu ye, aamiin,” tulis seorang pengguna TikTok.
Ramai turut menyifatkan Cikgu Firdaus sebagai inspirasi kepada masyarakat kerana berjaya membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukan penghalang untuk terus menabur bakti dan memberi manfaat kepada orang lain.
Semangat luar biasa yang ditunjukkan olehnya turut menjadi peringatan bahawa tugas seorang guru bukan sekadar mengajar di dalam kelas, tetapi juga mendidik dengan penuh keikhlasan dan pengorbanan.
