Tambah nilai pelajar tahfiz! Kuasai kemahiran menerusi kursus Micro Credential! Sebahagian TVET!
Published byPelajar tahfiz bukan sahaja mahir menghafaz al-Quran, malah kini semakin aktif menguasai kemahiran TVET dengan mengikuti kursus Micro Credential Stand Alone (MCSA) anjuran anjuran Langkawi Tourism Academy (LTA) @ Kolej Komuniti Langkawi.

Siapa sangka pelajar tahfiz bukan sahaja mahir menghafaz al-Quran, malah kini semakin aktif menguasai kemahiran dalam bidang kulinari sebagai persediaan membina masa depan yang lebih cerah.
Itulah yang dapat dilihat apabila pelajar Maahad Tahfiz An-Nabawi Langkawi mengikuti Kursus Micro Credential Stand Alone (MCSA) – Basic Pastry anjuran Langkawi Tourism Academy (LTA) @ Kolej Komuniti Langkawi.

Sepanjang kursus itu, peserta didedahkan kepada teknik asas menghasilkan pelbagai produk pastri seperti tart dan pai, bermula daripada penyediaan doh, penyediaan inti, proses pembakaran sehingga kepada kaedah menghias dan mempersembahkan produk mengikut amalan industri bakeri.
Suasana pembelajaran yang lebih banyak berasaskan amali menjadikan peserta begitu teruja apabila berpeluang menghasilkan sendiri produk pastri di bawah bimbingan dua pensyarah utama LTA, Nor Asfarul Lail Azwan Haris dan Hafizol Abu Hassan.
Pendedahan itu membuka dimensi baharu kepada pelajar bahawa kemahiran TVET mampu menjadi nilai tambah yang boleh dimanfaatkan sama ada untuk melanjutkan kerjaya dalam industri makanan mahupun menceburi bidang keusahawanan.


Program berasaskan Micro Credential itu turut mencerminkan komitmen Langkawi Tourism Academy @ Kolej Komuniti Langkawi dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) melalui latihan yang fleksibel, praktikal dan menepati keperluan industri.
Usaha berkenaan membuktikan institusi pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah turut melahirkan generasi yang memiliki pelbagai kemahiran, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta keusahawanan. - KitaReporters

