Ainul Husna Narizam dari SMK Agama (P) Alawiyah dan Nur Husnina Yusoff dipilih mewakili Perlis ke pertandingan deklamasi puisi peringkat kebangsaan selepas menjuarai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Sekolah Menengah Negeri Perlis dan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Negeri Perlis sempena Program Gema Puisi Perlis pada 3 Julai 2026 lalu.


Ainul Husna Narizam (tengah) bergambar bersama guru dan penyokong selepas diumumkan juara Sayembara Deklamasi Puisi Sekolah Menengah Negeri Perlis, sekali gus melayakkannya mewakili Perlis ke pertandingan peringkat kebangsaan.

Ainul Husna akan beraksi dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-Sekolah Malaysia (SDPKSM) di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 18 Julai 2026, manakala Nur Husnina akan mewakili negeri ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan di Sarawak pada 15 Ogos 2026.
Keputusan itu diumumkan selepas kedua-dua peserta mempamerkan deklamasi yang meyakinkan sehingga menewaskan peserta-peserta lain dalam pertandingan yang berlangsung pada 27 Jun 2026 lalu.
Bagi kategori sekolah menengah, Nur Zulaikha Saifol Zuhuri dari SMK Syed Alwi muncul naib johan, manakala Nur Asmawati Rizduan dari SMK Sanglang di tempat ketiga.
Dalam kategori Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Negeri Perlis, Mustaza Mustaffa meraih naib johan, diikuti Ainun Nasibah Johar di tempat ketiga.

Tahniah kepada semua pemenang khususnya Nur Husnina Yusoff (dua dari kanan).

Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P), Prof. Madya Dr. Nor Hasimah Ismail, berkata penganjuran program itu menjadi platform penting untuk mencungkil bakat baharu selain menyemarakkan minat terhadap puisi dan kesusasteraan Melayu.
Beliau berkata, penyertaan golongan muda membuktikan seni deklamasi puisi masih mendapat tempat dan berpotensi melahirkan lebih ramai wakil negeri yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Mohamad Hadi Roslan, berkata pertandingan berkenaan bukan sekadar menguji kemahiran mendeklamasi puisi, malah menjadi wadah memupuk jati diri, semangat patriotisme dan kecintaan terhadap bahasa Melayu. - KitaReporters


Ainul Husna Narizam (depan, tiga dari kanan) dan Nur Husnina Yusoff (tengah) bergambar bersama pemenang, penganjur dan tetamu selepas Program Gema Puisi Perlis 2026 di Kangar. 

7
8
0
3
0

Copy Link: