Semangat juang yang tidak pernah luntur menjadi pemangkin kepada kebangkitan luar biasa pasukan ragbi Politeknik Ungku Omar (PUO) Panther apabila berjaya merangkul kejuaraan Kategori Bowl dalam Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Jemputan UiTM Cawangan Perak 2026, yang berlangsung di Padang Ragbi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah.

Pasukan PUO Panther beraksi di padang pada Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Jemputan UiTM Cawangan Perak 2026 di Padang Ragbi UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah pada 1 Julai 2026.

Lebih manis, kejayaan PUO Panther hadir selepas pasukan itu bangkit daripada permulaan yang kurang memberangsangkan pada peringkat Kumpulan apabila ketinggalan 0-12 kepada Ipoh Bulls RC pada peringkat separuh akhir tersebut.

Namun, semangat juang tinggi yang menjadi identiti pasukan berjaya mencetuskan kebangkitan dramatik apabila PUO Panther menyumbat 17 mata tanpa balas untuk mencatat kemenangan 17-12, sekali gus mengesahkan slot ke perlawanan akhir.

Momentum kemenangan itu diteruskan pada aksi final apabila PUO Panther mendominasi permainan sejak wisel permulaan sebelum membelasah UiTM Pahang Panthers 21-0, sekali gus membuktikan bahawa apabila dua pasukan bergelar "Panthers" bertembung, hanya satu yang layak bergelar 'Alpha'.

Pasukan PUO Panther diketuai Akmal Danish Saharudin, Pelajar Kejuruteraan Perkapalan PUO bersama 14 pemain di bawah pengurusan Musa Abu Samah.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Penolong Rektor UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah, Dr. Ahmad Zoolhelmi Alias.


Pemain pasukan PUO Panther membuat persiapan di padang.

Keputusan lain menyaksikan Kejuaraan Cup dimenangi pasukan UPSI Eagles dan UiTM Dengkil Acid Pumas muncul juara kategori Plate.

Kejohanan anjuran UiTM Cawangan Perak Kampus Tapah itu menghimpunkan 12 pasukan terdiri daripada institusi pengajian tinggi (IPT) dan kolej vokasional dari seluruh negara termasuk UiTM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Kolej Vokasional, sekali gus menjadi antara platform pembangunan ragbi IPT yang kompetitif dan medan persediaan atlet menghadapi kejohanan yang lebih mencabar pada masa hadapan.

Sementara itu, Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh berkata, kejayaan yang dicapai membuktikan bahawa semangat juang, disiplin dan kerja berpasukan merupakan asas kepada kecemerlangan yang mampu membawa nama institusi ke tahap lebih tinggi.

"Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga PUO Panther, pengurus pasukan, barisan jurulatih serta Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) atas komitmen dan dedikasi yang dipamerkan sepanjang kejohanan,” katanya dalam kenyataan media pada 1 Julai 2026.

Salmi menegaskan, kemenangan ini membuktikan bahawa mahasiswa TVET bukan sahaja cemerlang dalam akademik dan kemahiran, malah mampu bersaing serta mengungguli arena sukan di peringkat yang lebih tinggi.

“Teruskan melakar kejayaan, kekalkan disiplin dan jadikan kemenangan ini sebagai pemangkin untuk mengharumkan nama Politeknik Ungku Omar selaras dengan aspirasi kita ke arah Politeknik Apex," katanya.


Barisan pemain pasukan PUO Panther bersama pegawai bergambar dengan medal masing-masing.

Beliau berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan keberkesanan usaha berterusan Politeknik Ungku Omar melalui Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) dalam memperkukuh pembangunan sukan institusi melalui pembentukan atlet yang berkualiti, berdaya tahan serta memiliki nilai kepimpinan dan sahsiah yang tinggi.

Kejayaan ini sekali gus memperkukuh reputasi Politeknik Ungku Omar sebagai institusi TVET yang terus menyerlah bukan sahaja dalam kecemerlangan akademik dan inovasi, malah dalam pembangunan bakat sukan yang holistik, selaras dengan aspirasi institusi ke arah Politeknik Apex. - KitaReporters

16
10
0
9
0

Copy Link: