BULAN Ramadan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Syawal mengambil alih. Dalam bulan mulia ini, pelbagai aktiviti diadakan untuk mengaut keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Dua tahun aktiviti bersemuka sebegini tertangguh gara-gara pandemik COVID-19 yang melanda, kini Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Perhubungan Alumni kembali menyambung tradisi menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dalam Program Tautan Mahabbah 2022.

Program Tautan Mahabbah ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni dan pada tahun ini merupakan kali keenam program ini dijalankan.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan menyantuni anak yatim


Program Tautan Mahabbah ini merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni. 


Penganjuran program ini adalah untuk menunjukkan kebersamaan dan kecaknaan UPM dengan masyarakat di luar sana yang memerlukan bantuan, terutama anak-anak yatim dan asnaf. 

Rumah Amal Raudhatul Jannah yang terletak di Banting, Selangor ini mempunyai 28 orang penghuni iaitu 16 penghuni lelaki dan 12 penghuni perempuan yang berusia lapan hingga 17 tahun. Mereka ini merupakan anak-anak yatim dan asnaf dari seluruh Malaysia yang datang menumpang kasih di Rumah Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah.

Turut hadir pada program itu adalah, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud; Pengasas Rumah Amal Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah, Zawalajam Mashod; dan pegawai serta staf, Pusat Perhubungan Alumni UPM. 


Pengasas Rumah Amal Anak-anak Yatim dan Asnaf Raudhatul Jannah, Tuan Haji Zawalajam Haji Mashod. 


Menurut Dr. Arba’ie, program ini adalah program yang berterusan. Pada tahun sebelumnya, program ini telah dijalankan di salah sebuah rumah amal yang terletak di Bangi dan kali ini memilih Rumah Amal Raudhatul Jannah, Banting, Selangor.

“Jika sebelum negara dilanda pandemik covid-19, kita akan menjemput anak-anak ini ke UPM dan Insya-Allah pada masa akan datang, kebiasaan itu dapat dihidupkan kembali.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada para penyumbang terutama kepada Prof. Madya Dr. Hamisah Hassan, Alumni Kelas 1998 yang merupakan penyumbang individu terbesar dengan jumlah sumbangan sehingga RM10,000

“Selain itu, terima kasih juga dizahirkan kepada syarikat beras Faiza, MyFundAction, para alumni lain dan juga staf UPM. Sumbangan anda telah pun kami sampaikan kepada anak-anak di Rumah Amal Raudhatul Jannah,” ujarnya lagi. 


Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud bersama (kiri) bersama Tuan Haji Zawalajam Haji Mashod. 


Antara barangan sumbangan yang disampaikan ialah kit kebersihan diri, kit ujian kendiri Covid-19, barangan keperluan harian dan juga sumbangan duit raya. Dengan adanya sumbangan ini sedikit sebanyak memberikan kegembiraan kepada mereka ketika menjalani ibadah puasa dan seterusnya menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. 

“Lebih istimewa, kali ini kami juga menyediakan kit kesihatan yang mana ini sebagai tanda solidariti UPM ke arah negara menghadapi fasa endemik. Ini sebagai tanda sokongan kepada komuniti untuk menjalani gaya hidup sihat dan selamat.

“Menerusi program ini juga ia sebagai satu usaha dan sokongan moral UPM dalam membantu masyarakat terutamanya individu yang mengambil cakna dengan komuniti setempat.

“Sumbangan-sumbangan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban pengusaha rumah amal menjalankan operasi setiap hari.

“Penglibatan UPM selaku institusi pengajian tinggi ini adalah sebagai satu khidmat masyarakat dan seterusnya dapat merapatkan jaringan antara institusi pengajian tinggi dan juga masyarakat,” katanya. 


Barangan sumbangan daripada para penyumbang.


Program ini akan disusuli dengan Program Mawaddah Ramadan, yang lebih berfokus kepada pelajar-pelajar UPM. Edaran makanan berbuka puasa dan bantuan Aidilfitri akan disalurkan kepada pelajar-pelajar terutama pelajar B40 dan juga asnaf

Kesinambungan kedua-dua program ini adalah untuk menyeimbangkan keprihatinan UPM terhadap komuniti setempat dan juga pelajar UPM. 

Menerusi Program Tautan Mahabbah dan Mawaddah Ramadan, apa yang dihasratkan oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Roslan Sulaiman menerusi Naratif Naib Canselor 2022 iaitu menjuarai misi universiti untuk masyarakat dan juga melibatkan sama alumni untuk kelangsungan universiti akan dicapai menerusi program-program yang telah dilaksanakan.

Namun objektif yang lebih penting adalah untuk bersama-sama menyantuni anak-anak yatim dan asnaf ini kerana Rasullullah SAW pernah bersabda bahawa; “Orang-orang yang memelihara anak yatim di antara umat muslimin, memberikan mereka makan dan minum, pasti Allah memasukkannya ke dalam syurga, kecuali ia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni,” – (HR Tirmidzi dari Ibnu Abbas). - KitaReporters


Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM (ARCUPM), Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud sedang memberi ucapan. 

7
12
0
11
0

Copy Link: