Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kunjungan hormat daripada Atase Pendidikan Kedutaan Libya ke Malaysia yang diketuai Dr. Aiman El-Mahmoodi baru-baru ini.

Kehadiran wakil kedutaan tersebut telah disambut oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Sharifudin Md Shaarani; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Radhi Ibrahim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff; serta barisan ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti. 

Dalam pertemuan tersebut beberapa perancangan kerjasama dalam bidang akademik dan masa depan jaringan akademik bagi calon pelajar dari negara Asia Tengah tersebut telah dibincangkan. 

Antaranya termasuklah peluang penawaran biasiswa pendidikan untuk warga Libya menyambung pengajian pada peringkat tinggi di Malaysia, peluang penawaran latihan/kursus jangka pendek serta beberapa aktiviti akademik lain seperti program pertukaran pelajar di antara kedua-dua negara. 



Tertarik dengan pencapaian USIM yang aktif dalam aktiviti penyelidikan menerusi kegiatan penyelidikan Ibnu Ummi Maktum Research Centre (UMMI), iaitu pusat penyelidikan golongan kelainan upaya (OKU) berteraskan pendekatan ilmu Naqli dan Aqli, pihak Kedutaan Libya turut memberikan reaksi positif terutama dalam usaha untuk menempatkan calon pelajar yang berstatus OKU untuk menyambung pengajian di USIM.

Kerjasama ini sekiranya direalisasikan dengan baik, berupaya untuk menyemarakkan semula kehadiran pelajar antarabangsa terutama dari Libya ke USIM dan hubungan dua hala antara institusi pendidikan berkaitan. 

Hal ini selaras dengan usaha kedua-dua buah negara dalam merancakkan semula aktiviti pengantarabangsaan dalam bidang akademik yang terhalang selama hampir dua tahun disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Mengikut rekod, USIM mempunyai lebih 300 orang alumni dari Libya sehingga kini.

Hadir sama dalam sesi kunjungan hormat ini ialah Penasihat Atase Pendidikan Libya, Norhawaty Mansor; Pengarah Pusat Pengurusan Akademik USIM, Prof Dr. Amir Shaharuddin; Pengarah USIM A’lamiyyah, Dr. Fauziah Hassan; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM, Prof. Madya Dr. Nurlida Basir; serta pegawai kanan universiti. - KitaReporters/USIM


16
9
0
10
0

Copy Link: