APAKAH peranan media dalam melaporkan krisis kemanusiaan? Dan bagaimana kewartawanan meluaskan pengaruhnya kepada isu kemanusiaan?

Sejajar dengan itu, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menjemput wartawan muda untuk menyertai Pertandingan Wartawan Muda Kemanusiaan 2021.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan kewartawanan


Penganjuran itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang isu kemanusiaan melalui penyertaan dan pada masa yang sama, memberi perhatian agar tidak menyebabkan bahaya tambahan kepada golongan sasaran yang mereka laporkan.

Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di UiTM, Profesor Madya Dr Massila Hamzah berkata, pertandingan ini merupakan lanjutan daripada Pertandingan Penulis Muda Kemanusiaan yang dianjurkan sejak 2015.

Menerusi pertandingan yang dianjurkan, Prof Massila berkata, terdapat dua kategori dalam penulisan dan penghasilan video ditawarkan selain dua tema luas untuk membimbing setiap penyertaan iaitu "Peranan media dalam melaporkan krisis kemanusiaan" dan "Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa (UUKA): Triti (Perjanjian) yang melarang senjata nuklear".

“Untuk tema pertama, peserta-peserta boleh memilih topik kemanusiaan seperti krisis COVID-19, xenofobia terhadap migran, dan lain-lain.

“Manakala tema kedua memfokuskan kepada Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW), satu topik yang menarik bagi Malaysia,” ujarnya.



“Pertandingan ini adalah satu panggilan untuk bertindak (call to action) kepada golongan muda, termasuk pelajar dan profesional media supaya mereka bertindak tepat pada masanya, untuk melaporkan isu-isu kemanusiaan yang mustahak dan mungkin telah diabaikan,” kata,

Kata beliau penganjuran ini merupakan kali pertama bekerjasama dengan ICRC yang disokong oleh Kelab Akhbar Kebangsaan  (NPC) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM). 



 “Melalui kerjasama unik ini, kami telah mengumpulkan pihak berkepentingan daripada pelbagai agensi dari sektor bantuan kemanusiaan kepada pemain industri serta ahli akademik.

“Saya berharap kami dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar dan profesional media muda untuk menjadi wartawan yang bertanggungjawab dan yang mampu memainkan peranan mereka dalam melaporkan krisis kemanusiaan dengan berkesan,” tambahnya.

Katanya, pertandingan itu terbuka kepada sesiapa sahaja yang berumur antara 18 dan 30 tahun di Malaysia, termasuk juga rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dengan tujuan untuk menggalakkan promosi isu-isu kemanusiaan, khususnya yang berkaitan dengan UUKA dan prinsip kemanusiaan, untuk melindungi nyawa dan mengurangkan penderitaan manusia.

Hari terakhir penyerahan untuk pertandingan ini adalah 30 November 2021 dan mereka yang berminat boleh dapatkan  maklumat lanjut, sila rujuk kepada poster pertandingan, atau layari mana-mana laman web penganjur bersama dan organisasi sokongan. - KitaReporters


16
12
0
16
0

Copy Link: