CANTIK DAN BERANI!! ZURAWATI WANITA LASAK

Published by
KitaReporters
TIDAK ramai golongan wanita terutama yang sudah berusia menceburi aktiviti lasak kerana ia memerlukan keyakinan dan ketabahan diri ketika menjalankan aktiviti di tempat berisiko tinggi dan berbahaya kepada keselamatan diri. Namun berbeza ceritanya dengan Zurawati Zulkifli. : KitaReporters.com

 Zurawati Zulkifli bersama sijil-sijil pengiktirafannya. 


Jika ada wanita yang terbabit dalam aktiviti lasak ia sememangnya bersifat berani, cekal dan mempunyai ketahanan diri yang membolehkan mereka berjaya meletakkan diri setaraf dengan golongan lelaki yang ramai membabikan diri dalam sukan berkenaan.

Zurawati Zulkifli, 43, dari Kampung Seberang Jertih, Terengganu, adalah antara wanita yang berani tampil dengan gaya hidup berlainan apabila dia memilih aktiviti lasak dalam memenuhi warna kehidupan seharian.

Biarpun baru tiga tahun menceburi bidang berkenaan, tetapi sudah banyak melakukan aktiviti lasak sama ada anjuran pihak luar mahupun dia sendiri yang turut menganjurkan aktiviti berkenaan terutama kepada remaja.

Katanya, dia memilih untuk menyertai aktiviti lasak kerana bidang berkenaan jarang diterokai wanita terutama bagi mereka yang sudah melepasi alam remaja kerana masalah kesihatan atau ketahanan diri dan mental.

Bagaimanapun, Zurawati atau lebih dikenali dengan Watie yang sudah berusia empat puluhan dan mempunyai enam anak, tetap bangga kerana memilih aktiviti terbabit yang sudah menjadi sebahagian daripada asam garam hidup.

Beliau berkata, bermula dengan menyertai kelas aerobik, dia kini melangkah lebih jauh apabila menyertai aktiviti lasak termasuk mendaki gunung dan bukit, snorkeling, meredah hutan, berkayak, serta menyusuri sungai dan jeram demi kerana minat dan ingin mencari sesuatu yang mencabar.

Zurawati (tengah) mengapungkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Perhentian


Zurawati berkata, bermula sebagai peserta kursus, beliau kini mendapat pengiktirafan sebagai jurulatih sukan lasak selepas berjaya menamatkan pelbagai kursus anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak 2016. 

“Ketika mula-mula menyertai sukan lasak memang ada perasaan takut dan seram terutama dalam aktiviti berbahaya tetapi selepas membiasakan diri ia bertukar seronok," katanya.

Terbaharu, katanya beliau menyertai aktiviti mendaki Gunung Stong, Kelantan, dan memanjat bukit batu menggunakan tali.

Ia satu cabaran paling berharga kerana berjaya menyelesaikan misi pendakian, katanya lagi.

Menurutnya, paling membanggakan ialah beliau adalah antara enam peserta wanita bersama 20 lelaki lain yang berjaya melepasi rintangan memanjat bukit batu setinggi 200 meter menggunakan tali.

Zurawati menghadapi cabaran mendaki bukit berbatu menggunakan tali. 


Pengalaman menyertai aktiviti lasak mendorong Zurawati menubuhkan kelab sendiri yang dikenali dengan nama Obest Event Management yang bertujuan melatih golongan belia dan remaja mendampingi aktiviti lasak.

Katanya, selepas menyertai banyak sukan lasak, dia kini sedang berjinak-jinak untuk untuk menyertai latihan sukan paragliding yang jarang disertai wanita.

“Saya berharap akan menjadi wanita pertama di Terengganu yang mampu mengendalikan paragliding yang kini semakin digemari oleh penduduk negeri ini,” katanya. - KitaReporters.com

 

 

 

1
0
0
0
0

Copy Link: