Rakyat Malaysia yang berada di Bahrain merayu agar kerajaan Malaysia mempertimbang usaha membawa pulang mereka dengan segera susulan situasi serangan peluru berpandu dan dron yang semakin membimbangkan di negara Teluk itu.


Laporan Al-Jazeera yang disiarkan.


Menurut seorang rakyat Malaysia yang menetap di Bahrain, ratusan peluru berpandu dan dron dilaporkan telah dilancarkan ke negara kecil itu sejak hari pertama konflik tercetus pada 28 Februari 2026.

Walaupun keadaan keselamatan secara keseluruhan masih dilihat terkawal, bunyi letupan kuat serta siren kecemasan yang kedengaran hampir setiap hari menimbulkan tekanan emosi kepada penduduk, termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan.

“Bunyi letupan yang kuat dan siren kecemasan setiap hari sangat mengganggu emosi kami. Lebih merisaukan apabila anak-anak kecil turut melalui pengalaman yang menakutkan ini,” katanya kepada wartawan KitaReporters melalui WhatsApp.


Suasana cemas sebuah keluarga yang berlindung ketika bunyi letupan dan siren kecemasan kedengaran berterusan di kawasan konflik. 


Beliau berkata, ada letupan yang begitu kuat sehingga gegarannya dapat dirasai di dalam rumah walaupun serangan berlaku di kawasan tengah negara.

Menurutnya, pada peringkat awal, sasaran serangan dilaporkan tertumpu kepada pangkalan tentera Amerika Syarikat sahaja, namun kini ancaman dikatakan semakin meluas melibatkan kawasan hotel, bangunan pejabat, kediaman penduduk, tangki simpanan air negara dan fasiliti minyak milik kerajaan.

Malah, beberapa bank di kawasan Manama yang mempunyai kaitan dengan Amerika Syarikat turut dimaklumkan berpotensi menjadi sasaran, dengan sebahagiannya telah menutup operasi buat sementara waktu.

Keadaan itu menyebabkan rakyat Malaysia di Bahrain hidup dalam kebimbangan, selain pergerakan harian mereka menjadi amat terhad.

“Kami tidak digalakkan keluar rumah kecuali untuk urusan penting kerana bimbang serpihan letupan jatuh,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa anak-anak masih mengikuti pembelajaran secara dalam talian, namun sesi kelas sering terganggu setiap kali siren kecemasan dibunyikan.

“Apabila siren berbunyi, kami terpaksa menghentikan kelas dan segera mencari tempat selamat. Wajah anak-anak yang ketakutan sangat menyentuh hati kami sebagai ibu bapa,” katanya lagi.

Tambah beliau, situasi semasa bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan fizikal, malah turut memberi kesan kepada kesihatan mental keluarga yang berada di negara itu.



Pada masa sama, ruang udara Bahrain dilaporkan masih ditutup, menyebabkan sebarang penerbangan keluar perlu melalui Arab Saudi terlebih dahulu sebelum rakyat Malaysia dapat meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, katanya, kos perjalanan dan tiket penerbangan ketika ini terlalu tinggi dan di luar kemampuan kebanyakan rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Kami juga bimbang untuk bergerak ke lapangan terbang tanpa pengawasan pihak berkuasa dalam keadaan sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia di Bahrain berharap agar kerajaan Malaysia dapat mempertimbang langkah evakuasi secepat mungkin bagi menjamin keselamatan mereka sekiranya konflik terus berlarutan. - KitaReporters


Sebahagian keluarga rakyat Malaysia yang menetap di Bahrain merakam kenangan bersama dalam suasana penuh kemesraan sebelum keadaan keselamatan di negara itu menjadi semakin tegang.

2
1
1
0
0

Copy Link: