Dari Palm Jumeirah ke perang ekonomi! Mampukan UAE bangkit semula? Visi tidak mudah dimusnahkan?
Published bySebagai seorang ekspatriat yang hampir dua dekad menetap di United Arab Emirates, perjalanan hidup saya bukan sekadar menjadi pemerhati kepada perubahan Timur Tengah -- saya sendiri menjadi sebahagian daripada pembinaannya.
Dari padang pasir yang berdebu hingga kepada skyline futuristik yang hari ini menjadi lambang kemodenan dunia Arab, saya pernah berada di tengah-tengah detik transformasi itu.

Saya pernah terlibat secara langsung dalam pembangunan Dubai Internet City, Dubai Media City, Dubai Knowledge City, serta Dubai Satellite City, empat ekosistem yang menjadi asas kepada ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi) di Dubai.
Di bawah Nakheel pula, saya terlibat dalam lebih 15 projek mega, termasuk permata yang mengubah peta dunia, Palm Jumeirah.
Apabila saya melihat konflik hari ini khususnya ketegangan yang melibatkan Iran, saya tidak melihatnya dari jauh. Saya melihatnya dengan kesedaran bahawa setiap peluru berpandu yang dilancarkan ke arah UAE bukan sahaja mengancam sebuah negara, tetapi juga mengancam sebuah visi yang pernah saya bantu bina dengan tangan dan keringat sendiri.
Dari Padang Pasir ke Pusat Dunia
Saya masih ingat ketika mula menjejakkan kaki di Dubai, ia belum lagi menjadi pusat global seperti hari ini.
Namun visi kepimpinan ketika itu sangat jelas, Dubai tidak mahu bergantung kepada minyak semata-mata. Ia mahu menjadi jambatan antara Timur dan Barat.
Di Dubai Internet City, kami menarik syarikat teknologi global untuk membuka operasi serantau mereka. Tidak lama kemudian, Dubai Media City menjadi rumah kepada organisasi media antarabangsa. Sementara itu, Dubai Knowledge City membuka ruang kepada universiti dan institusi pendidikan global.
Semua ini bukan berlaku secara kebetulan. Ia adalah strategi membina ekonomi yang tidak boleh digugat hanya dengan turun naik harga minyak.
Kemuncaknya, projek seperti Palm Jumeirah di bawah Nakheel mengubah cara dunia melihat keupayaan kejuruteraan manusia.
Saya masih ingat bagaimana ramai yang meragui, membina pulau berbentuk pokok palma di tengah laut? Mustahil, kata mereka. Namun hari ini, ia berdiri sebagai simbol keberanian sebuah negara kecil yang berfikir besar.

Persahabatan Tanpa Sempadan
Dalam perjalanan itu, saya tidak bersendirian. Saya bekerja bersama rakan-rakan dari seluruh Timur Tengah termasuk dari Iran. Ada yang Syiah, ada yang Sunni, ada juga yang sekular.
Tetapi di tapak projek, kami tidak bertanya tentang mazhab. Kami bertanya tentang pelan, struktur, dan tarikh siap.
Seorang rakan wanita Iran sekular yang bekerja sebagai jurutera pernah berkata kepada saya, “Kita mungkin datang dari negara yang berbeza, tetapi kita membina masa depan yang sama.”
Itulah realiti di UAE sebuah negara yang menggabungkan pelbagai identiti dalam satu visi bersama.
Apabila Konflik Menyentuh Realiti
Namun apabila konflik meletus dan muncul naratif bahawa Iran menyerang UAE lebih keras daripada Israel, saya tidak dapat menafikannya sebagai sekadar propaganda semata-mata.
Saya mula melihat sasaran yang disebut kilang penapisan, pelabuhan, lapangan terbang, pusat data dan saya memahami satu perkara: Ini bukan perang konvensional.
Jebel Ali Port bukan sekadar pelabuhan. Ia adalah nadi perdagangan global yang saya sendiri pernah lihat berkembang dari kawasan sederhana menjadi antara yang terbesar di dunia.
Dubai International Airport pula adalah simbol keterhubungan dunia -- tempat di mana Timur dan Barat bertemu setiap hari.
Apabila sasaran seperti ini disentuh, ia memberi mesej yang sangat jelas: yang diserang bukan tentera, tetapi ekonomi.
Ekonomi Sebagai Medan Perang
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, UAE telah bergerak jauh melangkaui model lama. Ia kini menjadi pusat kepada teknologi masa hadapan. Syarikat seperti Microsoft, Amazon, Google dan Nvidia telah membina kehadiran yang kukuh di sini.
Saya sendiri menyaksikan bagaimana perbincangan tentang kecerdasan buatan (AI), pusat data dan semikonduktor menjadi agenda utama dalam mesyuarat-mesyuarat strategik.
Ini bukan lagi Dubai yang saya kenal 20 tahun lalu. Ini adalah Dubai yang bersaing di pentas global teknologi.
Maka apabila ada serangan terhadap infrastruktur ini, saya melihatnya sebagai satu bentuk “perang ekonomi”.
Ia mengingatkan saya kepada 1973 oil embargo (sekatan minyak) di mana kuasa ekonomi digunakan untuk menggoncang sistem global tanpa perlu pertempuran besar-besaran.

Perspektif Seorang Pembina
Sebagai seseorang yang pernah terlibat dalam membangunkan asas kepada ekonomi ini, saya melihat strategi ini dengan lebih mendalam.
Jika anda mahu melemahkan sebuah negara seperti UAE, anda tidak perlu menawannya secara ketenteraan. Anda hanya perlu menjadikannya tidak stabil untuk pelaburan.
Bayangkan seorang pelabur antarabangsa yang telah merancang untuk melabur berbilion-bilion dolar tiba-tiba berfikir dua kali kerana risiko keselamatan meningkat.
Bayangkan syarikat teknologi global mempertimbangkan semula pembinaan pusat data kerana bimbang gangguan operasi.
Itulah titik lemah yang cuba disentuh.
Namun, Tidak Semudah Itu
Walaupun analisis ini kelihatan logik, realiti di lapangan tidak semudah itu.
UAE dibina atas asas kestabilan jangka panjang. Ia telah melalui krisis kewangan global, turun naik harga minyak, dan ketegangan serantau namun tetap berdiri.
Kepercayaan pelabur tidak runtuh hanya kerana satu atau dua serangan. Ia dibina melalui berdekad-dekad konsistensi.
Saya masih melihat aktiviti ekonomi berjalan seperti biasa. Projek-projek baharu masih diumumkan. Pelabur masih datang. Lapangan terbang masih sibuk dengan jutaan penumpang.
Seorang rakan saya dalam sektor hartanah pernah berkata, “Dubai bukan dibina untuk satu generasi. Ia dibina untuk bertahan.”
Iran dan Realiti Kuasa
Dalam perbualan saya dengan rakan-rakan Iran pula, saya juga memahami perspektif mereka.
Mereka sedar bahawa berhadapan secara langsung dengan Amerika Syarikat dari segi ketenteraan adalah sesuatu yang hampir mustahil.
Namun mereka percaya bahawa tekanan ekonomi boleh memberi kesan yang lebih luas.
Di sinilah muncul strategi yang mungkin kelihatan tidak konvensional menyerang kepentingan ekonomi dan simbol kemajuan.
Antara Naratif dan Pengalaman
Sebagai seseorang yang telah lama hidup di rantau ini, saya belajar satu perkara penting -- tidak semua yang dilaporkan mencerminkan realiti sepenuhnya.
Angka-angka besar tentang peluru berpandu dan dron mungkin benar, mungkin juga sebahagian daripada perang psikologi.
Apa yang saya lihat di lapangan adalah masyarakat yang masih berfungsi, ekonomi yang masih bergerak, dan hubungan antara manusia yang masih utuh.
Rakan-rakan Iran saya masih datang bekerja. Kami masih minum kopi bersama. Kami masih bercakap tentang masa depan anak-anak, bukan tentang peperangan.

Kesimpulan: Membina Lebih Sukar Daripada Memusnahkan
Sebagai seorang yang pernah membina dari Dubai Internet City sehingga Palm Jumeirah -- saya memahami betapa sukarnya untuk mencipta sesuatu daripada tiada.
Ia mengambil masa bertahun-tahun, pelaburan berbilion-bilion dolar, dan kepercayaan yang tidak ternilai. Namun untuk memusnahkan, kadang-kadang hanya memerlukan beberapa saat.
Walaupun begitu, saya tetap percaya bahawa apa yang dibina di UAE bukan sekadar struktur fizikal. Ia adalah idea bahawa sebuah negara kecil boleh menjadi besar melalui visi, keberanian dan keterbukaan.
Dan idea seperti itu tidak mudah dimusnahkan.
Di sebalik segala konflik, peluru berpandu dan strategi geopolitik, saya masih melihat harapan dalam wajah-wajah manusia yang memilih untuk terus bekerja, terus membina, dan terus percaya bahawa masa depan boleh menjadi lebih baik daripada hari ini. - KitaReporters
