Oleh ISHAM JALIL

Ahli MKT UMNO


Pada saya tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli UMNO, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain. 

Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi. Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu.

Sebaliknya kita perlu cari dan akui sebab dan punca mengapa penyokong-penyokong tegar kita yang selama ini menyokong UMNO kini protes dan menyokong parti lawan. Dan punca dan sebab ini perlu ditangani segera.
Jika dahulu penyokong-penyokong tegar kita menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, saya lihat kini perayu-perayu undi kita pun sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan. 

Kita perlu yakinkan mereka dengan kebenaran dan keikhlasan, bukannya retorik dan spin politik. Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai.

Daripada “memutihkan” atau membuang mereka, sebaliknya kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan hala tuju dan perjuangan kita. 

Saya lihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik. Jika kita kekal dalam sindrom penafian, kita tidak akan berubah. 

Jika kita tidak berubah pada saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudahpun rebah. Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke PRU-16, ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan sendiri.

Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini.

ISHAM JALIL ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Pandangan ini adalah pandangan peribadi penulis.


12
11
0
8
0

Copy Link: