Fikir sejenak! Siren yang tak pernah reda! Dulu di Gaza kini di Teluk! Untuk apa semua pembunuhan ini?
Published byPada usia tujuh puluh tahun lebih, saya sering termenung: Apa yang dipanggil “perang” itu sebenarnya telah menukar jubahnya berkali-kali, namun intipatinya tetap sama dengan nyawa manusia dijadikan mata wang, harapan dihancurkan demi peta kuasa yang sentiasa dilukis semula.

Dahulu, perang itu bau tanah yang baru digali kubur, bau mesiu (bahan peledak) dan darah yang melekit di kasut tentera.
Kini, ia bau petrol yang melambung harga di pasaran sebelum dentuman pertama pun kedengaran, bau untung berbilion-bilion yang dikira di bilik-bilik berlampu neon, jauh dari jeritan yang sebenar.
Saya masih ingat malam itu di Gaza, malam yang enggan pergi daripada ingatan walaupun tahun-tahun telah bertimbun di atasnya.
Bukan sebagai saksi mata profesional, bukan sebagai pengembara yang mencari cerita dramatik hanya sebagai seorang yang datang dengan hati terbuka, ingin faham apa yang kata-kata berita tak pernah mampu sampaikan.
Sunyi malam itu palsu, seperti nafas yang ditahan terlalu lama. Bumi seolah berdoa dalam diam. Kemudian datang siren, suara yang bukan sekadar bunyi, tetapi pisau yang memotong jiwa.
Tajam, berlarutan, menusuk hingga ke tulang. Ia bukan bunyi yang boleh diarkibkan; ia bunyi yang datang menghantui mimpi bertahun-tahun kemudian, membangunkan dengan peluh dingin dan degup jantung yang tak reda.
Jet-jet pejuang merobek langit. Bom jatuh dengan rentak yang teratur, seperti degupan jantung monster yang sedang sekarat. Rumah-rumah kecil bergetar, dinding merintih seperti makhluk hidup yang terluka.
Di lorong sempit, ibu-ibu memeluk anak-anak mereka erat, berlari tanpa tujuan pasti kerana tiada tempat yang benar-benar selamat. Kanak-kanak itu menangis, tapi tangis mereka tenggelam dalam deru mesin perang.
Dan lelaki-lelaki tua? Mereka hanya berdiri. Diam. Bukan diam takut, tapi diam orang yang sudah terlalu biasa dengan kematian yang datang berkunjung berulang kali. Diam yang lebih dalam daripada kata “putus asa”.
Pagi
yang Mengubah Segalanya
Saya
menyangka usia telah membuatkan hati ini kebal. Ternyata salah. Pada pagi itu,
dunia sekali lagi menunjukkan bahawa sejarah tak pernah kehabisan kejutan yang
kejam.
Serangan udara besar-besaran dilancarkan ke atas Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel. Bukan sekadar sasaran tentera, laporan bertubi-tubi mengesahkan: Ayatollah Ali Khamenei, bersama keluarga dan pembantunya, terbunuh di kediamannya ketika subuh masih samar.
Satu pukulan yang bukan sahaja membunuh seorang manusia, tetapi meretakkan struktur kuasa yang telah dibina selama dekad.
Iran tak diam. Balasan datang pantas dengan gelombang peluru berpandu menghala ke Israel, dan lebih mengejutkan lagi, ke pangkalan-pangkalan Amerika di Teluk: Bahrain, Qatar, UAE, Kuwait.
Negara-negara yang selama ini merasakan diri selamat di belakang “perisai” asing, kini mendapati perisai itu telah menjadikan mereka sasaran.
Seorang pekerja migran di Abu Dhabi mati ditimpa serpihan peluru yang dipintas. Di Doha, siren memecah kesunyian menara kaca yang biasa bergema dengan suara peniaga dan kopi pagi. Di Manama, penduduk berlindung di bawah meja, menanti reda bunyi yang tak pernah mereka undang.

Ironi
Perlindungan yang Mematikan
Kerajaan-kerajaan
Teluk terperangkap dalam dilema yang pahit. Mereka terpaksa mengutuk Iran,
menegaskan solidariti dengan Washington, tetapi di rumah-rumah rakyat biasa,
hanya ada doa supaya anak-anak selamat melepasi malam itu.
Pangkalan
asing yang dulu dilihat sebagai jaminan keselamatan, kini menjadi alasan bom
jatuh di tanah mereka sendiri. Perlindungan yang diimport boleh menjadi racun
yang mematikan tuan rumahnya—itulah ironi terbesar dalam permainan geopolitik
hari ini.
Perang
sebagai Mesin Wang
Lebih
tujuh dekad saya memerhati, dan kesimpulan itu semakin jelas: Perang telah
menjadi perniagaan paling menguntungkan di muka bumi.
Harga
minyak melonjak saat ketegangan di Selat Hormuz meningkat sebelum peluru pun
sempat mendarat. Saham syarikat senjata melambung hijau di papan tanda. Kontrak
beratus-ratus bilion ditandatangani di pejabat berhawa dingin, sementara di Gaza, di
Tehran, di Teluk, keluarga menghitung anggota badan yang hilang.
Mereka yang duduk di meja rundingan tak pernah merasai getar bumi. Mereka yang membayar harga sebenar dan ibu yang kehilangan anak, ayah yang memungut serpihan keluarganya tak pernah dijemput ke meja itu.

Suara
daripada Ambang Senja
Saya
bukan pemimpin, bukan ahli politik, bukan penceramah di pentas dunia. Saya
hanya seorang yang pernah berdiri di bawah langit Gaza, merasai getaran tanah
setiap kali bom jatuh, dan masih mendengar siren itu bergema dalam diam malam.
Setiap
siren, di mana saja ia kedengaran di Gaza, Abu Dhabi, Tehran, atau
bandar-bandar lain yang sedang berdarah -- adalah panggilan yang sama: Berhentilah
sejenak. Tanyakan pada diri sendiri: Untuk apa semua pembunuhan ini?
Saya
telah melihat terlalu banyak: Ibu yang mengorek puing mencari nama anaknya,
kanak-kanak yang tidur dengan bunyi ledakan sebagai nina bobok, lelaki yang
kehilangan segalanya, namun masih berdiri tegak kerana tak ada pilihan lain.
Tiada
graf pasaran, tiada untung berbilion-bilion, yang mampu mengganti satu nyawa yang
hilang sia-sia.
Perang tak akan berhenti kerana satu suara. Tetapi jika suara-suara kecil terus berkata “kita boleh memilih lain”, sejarah mungkin suatu hari mencatat bahawa ada manusia yang enggan menerima kekalahan berwajah kemenangan.
Dan
siren itu, siren Gaza yang saya dengar puluhan tahun lalu masih hidup pada telinga saya. Ia tak pernah reda. Ia mengingatkan: Selagi nyawa diukur dengan
tong minyak dan kontrak senjata, kedamaian hanyalah mimpi yang ditangguhkan. - KitaReporters
