Kenyataan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam akaun Facebooknya pada 13 September 2023


Hari ini (13 September 2023) saya berkesempatan memenuhi undangan bagi sesi perbualan tengah hari anjuran badan pemikir Milken Institute yang turut menganjurkan Asia Summit 2023 di Singapura. Persidangan 3 hari ini menghimpunkan peneraju industri dan pembuat dasar daripada rantau Asia.

Ketika sesi Fireside Conversation tersebut, saya ditanya pelbagai soalan mencakupi isu kestabilan politik dalam negara hingga ke kebijakan dan pengarahan baharu Kerajaan Perpaduan dalam soal memacu pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh jangka panjang. 

Saya jelaskan kepada lebih 400 hadirin yang kebanyakannya adalah pelabur bahawa tidak berbangkit isu kestabilan politik. 

Sekarang adalah masa yang sesuai untuk melabur di Malaysia yang dibuktikan dengan petunjuk-petunjuk ekonomi dan dasar-dasar jangka panjang yang telah saya luncurkan. 

Ini termasuklah melalui Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.



Seterusnya, saya mengambil kesempatan melalui sesi berasingan untuk berbicara lanjut dengan 22 orang usahawan, ketua organisasi pelaburan dan perbankan di Asia. 

Saya turut diapit oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Luar Negeri Zambry Abd Kadir. 

Saya memberi pemahaman kepada mereka terutama dalam perkara terkait dengan dasar fiskal negara dan makna kelestarian daripada perspektif Malaysia Madani yang mencakupi pelbagai sudut. 

Mereka juga mendapatkan pandangan saya berkaitan isu dan arah tuju ASEAN terutam dalam bidang integrasi ekonomi dan teknologi. 

Saya simpulkan bahawa Malaysia memberi fokus kepada melengkapi serta memberi nilai tambah pertumbuhan ekonomi dan sosial bersama negara-negara jiran.


17
14
0
8
0

Copy Link: