Kredit foto: palestinepnc.org


Kami menyeru umat Islam di seluruh dunia agar mengingati hari ini, 21 Ogos 1969, sebagai Hari Hitam apabila seorang pelampau Kristian Australia, Dennis Michael Rohan, cuba membakar Masjid Al-Aqsa.

Tindakan itu ternyata mendapat restu pasukan pendudukan Israel. Sejak itu, tempat suci Al-Aqsa itu kekal terancam sehingga hari ini.

Umat ​​Islam telah menyaksikan 54 tahun terakhir Masjid Al-Aqsa diserang. Ia adalah masjid ketiga paling suci dalam Islam dan kiblat pertama umat Islam.

Umat ​​Islam harus sentiasa menghidupkan ingatan mereka mengenai bagaimana Yahudi Zionis telah menaruh perasaan permusuhan yang mendalam terhadap umat Islam dan Masjid Al-Aqsa.


Kredit foto: ABC Australia


Sejak tahun 1969 masjid Al Aqsa menjadi sasaran Yahudi Zionis yang mahu merobohkannya untuk wujudkan semula Gunung Yahudi (Kuil Sulaiman) yang ketiga.  

Pencerobohan ganas berterusan oleh tentera aparteid Israel dan peneroka haram Yahudi telah mengakibatkan rakyat Palestin ditangkap, diculik, dibunuh, dicederakan, dipenjarakan dan diseksa.

Kecintaan umat Islam terhadap Al-Aqsa seharusnya menyatukan mereka untuk meneruskan perjuangan membebaskannya daripada rejim kuku besi Israel.

Kami menyatakan kecaman terhadap tentera pendudukan Israel yang sewenang-wenangnya menyerang pengunjung Islam Palestin di dalam Masjid Al-Aqsa.

Masjid itu telah menjadi pusat untuk perjuangan  penentangan oleh rakyat Palestin untuk membebaskan Al-Quds.

Kami kesal kerana OIC gagal melindungi masjid itu walhal insiden pembakaran masjid itulah yang telah mencetuskan penubuhan OIC.


Kredit foto: ABC Australia


Kami menggesa umat Islam untuk bersolidariti dengan pejuang Palestin untuk membebaskan Al-Aqsa.

Kami kesal walaupun ahli Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyuarakan kebimbangan dan menekankan keperluan untuk mengekalkan status quo di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, tetapi tidak melakukan sebarang tindakan beberapa hari selepas menteri keselamatan berhaluan kanan baru Israel, Itamar Ben-Gvir,  membuat lawatan kontroversi ke tapak tersebut, yang digelar oleh pemimpin Palestin sebagai "provokasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini".

Kami menuntut PBB untuk menguatkuasakan resolusi yang diluluskan dalam UNSC dan UNGA untuk memastikan rejim Zionis Israel bertanggungjawab sepenuhnya atas serangan berterusan ke atas masjid itu.


1. Mohd Azmi Abdul Hamid, Presiden MAPIM

2. Dato Seri Syeikh Ahmad Awang, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al-Aqsa 

3. Dato Wira Syeikh Abdul Ghani Samsudin, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia.

4. Syed Syeikh Al Attas, Setiausaha Agung Sekretariat Palestin Malaysia


13
10
0
21
0

Copy Link: