Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat merujuk kepada kempen-kempen politik yang semakin hangat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung pada 13 Ogos 2023.

ABIM Pusat melahirkan rasa dukacita bila mana terdapat sesetengah pemimpin politik yang ghairah berkempen tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat apa lagi menyentuh isu 3R - Agama, Kaum & Raja (Religion, Race & Rulers).

ABIM Pusat berpendirian, mana-mana pemimpin politik harus menjaga adab, tatasusila, sensitiviti masyarakat serta bertanggungjawab mempertahan nilai perpaduan dan keharmonian negara.

ABIM Pusat ingin merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di mana tindakan tegas lagi segera wajib diambil untuk menghentikan aktiviti mana-mana pihak sama ada secara ucapan atau perbuatan yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu-isu agama dan kaum.

Titah itu disampaikan ketika Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Disember 2022 lalu.

Atas peringatan itu, ABIM Pusat berpandangan bahawa tindakan serta merta harus dilakukan terhadap mana-mana pemimpin yang cuba memanipulasi isu 3R. 

Kesan terhadap manipulasi 3R sangat besar, kerana ia mudah untuk mencetuskan keretakan dalam masyarakat.

Sudah sampai masa ahli politik serta penggeraknya didisplinkan untuk fokus berkempen atas dasar dan perancangan yang meningkatkan kualiti hidup rakyat kini dan generasi mendatang.

Dalam konteks sebagai seorang Muslim, Islam tidak boleh sama sekali digunakan untuk menjustifikasikan fitnah, politik kebencian serta pembunuhan dan perlecehan karakter.



Sementara itu, ABIM Selangor mengikuti dengan rapat perkembangan politik tanah air khususnya berkenaan isu pemimpin parti politik yang berkempen sempena PRN tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat khususnya menyentuh isu 3R.

ABIM Selangor juga menyeru semua pihak agar memberi ruang untuk pihak berkuasa menangani isu ini dengan penuh teliti dan bijaksana.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM Selangor menggesa semua pihak untuk segera menghentikan permainan politik jijik, pembunuhan karakter dan fitnah yang merugikan rakyat, sebaliknya kembali fokus untuk memelihara kebajikan serta membangunkan rakyat, Negeri Selangor dan tanah air tercinta.

Selanjutnya, ABIM Selangor menjunjung titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang memberi peringatan sebelum ini agar masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan menyebarkan fahaman politik kepartian yang akhirnya memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Buat ahli politik, berkempenlah dengan menunjukkan akhlak dan adab yang baik seperti pesanan Allah dalam al-Quran iaitu Surah An-Nahl:125, "...berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."


Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pusat

dan 

Mohamed Azlan Dhajul Amin

Yang Dipertua ABIM Selangor



12
15
0
6
0

Copy Link: