BAYANGKAN selepas 30 tahun penduduk di Utara India akhirnya dapat melihat pergunungan Himalaya, di mana terletaknya juga Gunung Everest, yang diselaputi salji dari jarak sejauh 200 kilometer. Ekoran itu ramai yang berkongsi perasaan teruja masing-masing. : KitaReporters

Banjaran Himalaya yang nampak jelas dari Utara India. - Kredit foto: Travel-Bisnis.com


Laporan yang disiarkan menyebut, keadaan yang menakjubkan itu berlaku ekoran pelaksanaan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di India sejak 22 Mac 2020 mengakibatkan pergerakan bagi hampir 1.4 bilion rakyatnya terhenti.

“Kami dapat melihat pergunungan Himalaya yang dilitupi salji dengan jelas dari rumah malah bintang-bintang pun jelas nampak pada waktu malam. 

"Ini kali pertama saya menyaksikan pemandangan seumpama,” ujar seorang aktivis alam sekitar, Balbir Singh Seechewal.

Menurutnya, dengan pelaksanaan perintah berkurung bagi menghalang penyebaran wabak COVID-19, bukan hanya memperlihatkan kurangnya kenderaan di atas jalan raya tetapi kebanyakan perindustrian juga ditutup.

“Ini membantu menurunkan tahap pencemaran ke paras yang rendah,” tambah Seechewal.

Lembaga Pencemaran Pusat India memaklumkan, peningkatan kualiti udara di India bermula selepas 22 Mac 2020 malah menurut Unit Perisikan Data India (DIU) secara purata, indeks kualiti udara meningkat sebanyak 33 peratus dari 16 hingga 27 Mac 2020.

“Saya tidak pernah bayangkan dapat melihat alam sekitar sebersih ini. 

"Ia membuktikan impian kita untuk melihat alam sekitar yang bebas pencemaran tidak mustahil untuk dicapai. Kita mesti bekerjasama untuk mengekalkan keadaan ini,” ujar Seechewal penuh harapan.

Kelihatan dua gunung di wilayah Kembangan, Jakarta Barat. - Kredit foto: IG @jktinfo.


Keadaan sedemikian nampak gayanya turut dialami penduduk dari wilayah Kembangan, Jakarta Barat di mana kompas.com memetik tulisan seorang akaun dari Instagram @jktinfo yang memuat naik gambar pemandangan sebahagian gunung yang terletak di persekitaran Jakarta yang biasanya tidak nampak.

Dari foto yang diambilnya daripada sebuah bangunan tinggi, memperlihatkan pemandangan dua gunung dengan jelas yang dilapisi kabut dibahagian bawahnya. 

Pada hal, sebelumnya, Jakarta pernah tercatat sebagai kota yang memiliki kualiti udara buruk akibat pencemaran yang terjadi di persekitarannya.


Sungei Melaka sebelum PKP (bawah) dan selepas PKP (atas). -Kredit foto:  Awani/Bernama.


Dalam pada itu, rakyat Malaysia juga harus merasa bangga apabila laporan daripada tinjauan Bernama mendapati Sungai Melaka yang sebelum ini berkeladak dan berwarna coklat bagaikan teh tarik kini bertukar jernih dan berwarna kehijauan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Malah rata-rata netizen yang melihat perubahan itu menjadikan gambar Sungai Melaka tular di media sosial sehingga menimbulkan keterujaan ramai, namun ada pula yang mengatakan gambar itu tidak benar dan disunting.

Namun ini pandangan seorang  pekerja pembersihan Sungei Melaka, Salim Bachik:

“Saya dan pekerja pembersihan lain keluarkan banyak sampah dari Sungai Melaka, tetapi ketika PKP ini, jumlahnya berkurangan daripada biasa. 

"Tetapi orang ramai jangan pula mandi atau celup kaki kerana air sungai masih lagi kotor, tidak bersih macam kolam renang.”

Turut bersuara, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang bertangungjawab memberikan imej baharu kepada Sungai Melaka yang digelarnya sebagai “Venice of the East’ itu, meluahkan perasaan gembiranya apabila sungai itu kembali bersih.

Beliau berharap selepas PKP orang ramai terus memelihara kebersihan Sungai Melaka terutama yang melingkari bahagian bandar sehingga air bersihnya memungkinkan kita nampak ikan berenang di dalamnya. - KitaReporters.com

1
2
0
0
0

Copy Link: