KALI kedua saya hadir membuat liputan persembahan amal yang dijayakan oleh barisan penyanyi era 90-an anjuran Nizam Laksamana Production. Tahun ini, Showcase Amal Artis Legenda 90-an 2.0 diadakan di Hotel Mandarin Court, Kuala Lumpur, dan dijayakan oleh Ali XPDC, G-Mie Screen, Amir Ukays, Zarul Umbrella, Ameng Spring, Nizam Laksamana, Sham Visa dan Khai Bahar. : KitaReporters.com

ANTARA artis yang terlibat dalam showcase amal artis legenda 90-an 2.0 di Mandarin Court, Kuala Lumpur pada 31 Januari 2020.


Bagi saya, dalam ramai penyanyi yang terlibat, Khai paling bertuah kerana beliau berpeluang menjayakan persembahan bersama barisan otai.

Meskipun ruang tingkat enam hotel tersebut hanya mampu memuatkan 51 buah meja makan dan kira-kira 510 tetamu tetapi suasananya umpama di dalam sebuah stadium.

Penonton yang hadir tidak dipaksa menyanyi untuk memeriahkan persembahan artis yang hanya menggunakan minus one itu. 

Sebaliknya lontaran suara penonton yang sebelum itu telah menjamu selera dengan makanan yang enak adalah lahir daripada keterujaan masing-masing.

Siapa yang tak suka, bayar RM150 (satu bangku) atau RM1,500 (satu meja – 10 orang), berpeluang menonton persembahan lapan penyanyi popular. Malah dapat bergambar dengan mereka juga.

Menariknya barisan penyanyi yang bersetuju menjayakan persembahan amal itu terdiri daripada mereka yang jenis tak berkira atau berlagak diva.

SHAM Visa mendapat tawaran menjayakan persembahan ini sebelum menyertai Gegar Vaganza.


Sepanjang persembahan pada Jumaat, 31 Januari 2020 berlangsung, para artis duduk di meja hadapan menunggu giliran untuk naik ke pentas. Malah ada ketikanya mereka turut menyanyi bersama.

Persembahan yang diadakan bagi membantu rakan artis seperti Shima, Mak Jah, balu gitaris Kelly (Zeti Nezlin Zulkifli), Bob Lokman dan Joha Ahmad, wartawan hiburan itu berlangsung dalam suasana meriah.

Setiap penyanyi yang menyanyi pasti ada penyanyi latar dalam kalangan penonton. Ini kerana lagu-lagu era 90-an masih diminati dan dihafal oleh mereka yang membesar dengan lagu-lagu tersebut.

Adakah anda akan mendiamkan diri bila Ali menyanyikan lagu Bunga Angkasa dan Gering di hadapan mata? Sudah pastilah anda pun akan turut menyanyi bersamanya walaupun nafas pendek.

Bukan setakat lagu-lagu yang didendangkan menduduki carta teratas pilihan kaki karaoke, penyanyi asal lagu-lagu berkenaan juga masih ‘power’ menyanyi secara langsung.

AMENG mendendangkan lagu-lagu popularnya sewaktu bersama kumpulan Spring.


Penyanyi-penyanyi berkenaan menyanyi lagu Rhythm Si Jantung Hati, Bila Diri Disayangi, Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Romantis, Bourgenvilla, Tak Suka Tak Apa, Bila Cinta Didustai, Bukalah Hatimu dan Ramalanku Benar Belaka, sama seperti dalam kaset.

Lagu-lagu lain yang menjadi pilihan penonton sehingga kini adalah Dalam Gerimis, Untuk Selamanya, Keunggulan Cinta, Tiara, Gugurnya Bunga Cinta dan Tika Begini.

Dengar intro muzik pun penonton, termasuk dari Singapura sudah tahu lagu apa dan bersedia untuk menyanyi bersama penyanyi berkenaan.

ZARUL mengembalikan populariti zaman bersama kumpulan Umbrella dulu.


Begitu hebatnya irama 90-an kerana setiap kali barisan penyanyi ini mengadakan persembahan, itulah antara lagu yang dipinta oleh penonton. 

Andai kata mereka ada single baharu, lagu lama tetap menjadi pilihan.

Walaupun Khai hadir dalam industri ini menerusi Smule, namun lagu 90-an tetap menjadi pilihannya. 

Selain lagu Luluh, beliau turut mendendangkan lagu Andai Dapat Ku Undurkan Masa, dendangan asal kumpulan AXL.

Pasti ada bertanya, kenapa penyanyi 90-an masih diminati biarpun ramai penyanyi baharu muncul. 

Selain lagu itu malar segar, penyanyi-penyanyi era itu boleh menyanyi secara langsung dengan baik sekali.

Antara artis yang hadir sebagai penonton adalah Datuk Jamal Abdillah, Rahmat Mega, Keena Mentor dan Adi Fashla.

Melihatkan kepada sambutan penonton, rasanya penganjur Nizam Laksamana sudah boleh fikir untuk mengadakan persembahan sebegini di luar Kuala Lumpur selepas ini. - KitaReporter.com.






3
0
0
0
0

Copy Link: