DUNIA perfileman Hindi (Bollywood) di Mumbai kehilangan permata berharga dengan kematian penyanyi latar filem, Suman Kalyanpur, 89, di Mumbai, India pada 31 Mei 2026.

Bollywood masih meratapi pemergian dua penyanyi latar sebelum ini, iaitu Lata Mangeshkar dan adiknya Asha Bhosle. Kini Suman pula pergi untuk selamanya.


Suman Kalyanpur meninggal dunia pada 31 Mei 2026 di Mumbai dalam usia 89 tahun kerana sakit tua.



Lata Mangeshkar meninggal pada 6 Februari 2022, diikuti adiknya, Asha Bhosle pada 12 April 2026. 

Lata dan Asha meninggal pada usia sama 92 tahun dan di hospital sama, Hospital Breach Candy, Mumbai. Lata meninggal akibat komplikasi jangkitan Covid-19. Asha meninggal akibat masalah pernafasan dan masalah jantung yang serius.

Suman Kalyanpur pula meninggal pada usia 89 tahun di kediamannya di Mumbai kerana faktor kesihatan berkaitan usia tua. Dia berkecimpung dan berjaya mencipta nama sebagai penyanyi latar antara tahun 50-an hingga 70-an.

Dengan pemergian Suman, hilang tiga penyanyi latar utama filem Hindustan yang menyajikan halwa telinga untuk penonton filem. Lagu mereka dinyanyikan oleh heroin dalam filem berkaitan. 


Suman Kalyanpur dan Mohammed Rafi pada satu sesi rakaman lagu. Gandingan duet mereka dianggap begitu serasi, menyanyikan banyak lagu hits filem Hindi.


Suman mungkin tidak menonjol seperti Lata atau Asha. Mendiang memang tidak terlalu mendedah diri kepada publisiti. Tetapi sumbangannya dalam industri filem Hindi besar. Mendiang mendendangkan banyak lagu yang enak didengar serta menjadi ingatan hingga kini.

Yang istimewa mengenai Suman ialah suaranya sangat mirip suara Lata sehingga menimbulkan kekeliruan. Pendengar menyangka suara Lata, tetapi sebenarnya suara Suman.

Misalnya lagu duet dengan Mohammed Rafi dalam lagu ‘Nana Karte Pyar Tumhin Se’  petikan filem ‘Jab Jab Phool Khile’ (1965). Rafi menyanyi untuk hero Shashi Kapoor dan Suman untuk heroin Nanda.

Juga lagu duet ‘Aajkal Tere Mere Pyar Charche’ petikan filem box-office ‘Brahmachari’ (1968). Rafi menyanyi untuk hero, Shammi Kapoor sementara Suman menyanyi untuk Mumtaz.

Juga lagu ‘Tumne Pukara Aur Hum Chale Aye’ petikan filem ‘Rajkumar’ (1964). Rafi menyanyi untuk hero Shammi Kapoor. Suman menyanyi untuk heroin Sadhana.

Ini sekadar contoh kekeliruan suara Suman dan Lata. Pernah anak Suman, Charu Hemmady, tampil membuat pembetulan apabila penerbit sebuah program hiburan TV menyebut lagu dendangan ibunya sebagai nyanyian Lata. Ini membuktikan betapa miripnya suara mereka.


Sulman Kalyanpur dan Mohammed Rafi (kanan) serta komposer Madan Mohan berbincang mengenai lagu duet yang akan mereka rakam. 


Gandingan Rafi dan Suman begitu serasi. Selepas Lata enggan menyanyi bersama Rafi kerana perselisihan isu royalti, Suman jadi pilihan pengarah muzik filem untuk berduet dengan Rafi. Paduan suara mereka menyerlahkan gandingan mantap pada era kegemilangan filem Hindi.

Kerana itu pemergian Suman yang dianggap klon Lata adalah satu kehilangan besar kepada dunia seni suara Bollywood, khususnya selepas kematian Lata.

Selain menyanyi lagu Hindi, Suman yang dilahirkan pada 28 Januari 1937 di Dhaka, Bangladesh (ketika itu sebahagian daripada Bengal, Biritish India), juga menyanyi dalam bahasa Marathi dan Gujarati serta beberapa bahasa lain pada era kegemilangan muzik filem dari 1950-an hingga 70-an.

Suman membuat kemunculan sebagai penyanyi latar filem pada pertengahan tahun 1950-an. Mendiang merakamkan ratusan lagu di bawah komposer lagu terkenal, baik secara solo atau berduet dengan penyanyi terkenal, terutama Mohammed Rafi.

Antara filem Suman menyumbang suara ialah ‘Rajkumar’ (1964), ‘Brahmachari’ (1968), ‘Jab Jab Phool Khile’ (1965), ‘Baat Ek Raat Ki’ (1962), ‘Dil Ek Mandir’ (1963), ‘Saanjh Aur Savera’ (1964), ‘Jahan Pyar Miley’ (1969), ‘Resham Ki Dori’ (1974), ‘Naseeb’ (1981), ‘Barsaat Ki Raat’ (1960), ‘Dil Hi To Hai’ (1963) dan banyak lagi.


Suman Kalyanpur (kiri) menerima anugerah Padma Bushan daripada Presiden India, Droupardi Murmu, sebagai pengiktirafan sumbangan Suman dalam bidang seni, khususnya nyanyian.


Sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam bidang muzik untuk beberapa dekad, Suman diberi anugerah Padma Bhusan oleh kerajaan India. Ia adalah anugerah ketiga tertinggi negara kepada orang awam. 

Anugerah disampaikan oleh Presiden Droupadi Murmu di istana presiden, Rashtrapati Bhavan, pada 2023. 

Penyokong kuat Suman dalam dunia seni ialah suamiya sendiri, Ramanand Kalyanpur. Sejak berkahwin pada 27 April 1958, Ramanand ialah tulang belakang yang menyokong kerjaya Suman pada setiap peringkat. Hubungan mereka sebagai suami isteri sangat erat dan penuh kasih sayang.

Ramanand mengiringi isterinya pada setiap kali sesi rakaman lagu. Suman memberi tumpuan khusus untuk nyanyian semata-mata. Suaminya yang mengendalikan hal ehwal kewangan, pilihan lagu dan kontrak. 

Ramanand bukan sahaja suami tetapi peminat setia Suman.


Suman Kalyanpur bersama suami, Ramanand, yang menjadi tulang belakang kejayaan Suman dalam dunia nyanyian


Begitu kasihnya Ramanand terhadap Suman dan kariernya sehingga apabila Suman sibuk di studio dia akan menguruskan keperluan rumah tangga. Dia tidak mahu ada halangan atau kekangan dalam kerjaya seni isterinya.

Kasih sayang dan persefahaman pasangan ini begitu terserlah. Mereka adalah pasangan bahagia sehingga Ramanand meninggal pada 2008.

Mayat mendiang Suman dibakar di tempat pembakaran Santacruz di Mumbai pada 1 Jun 2026. Sebagai penerima anugerah Padma Bushan, dia diberi penghormatan penuh negara, termasuk tabik hormat daripada polis negeri.

Pemergian Suman bukan sahaja kehilangan besar industri muzik Bollywood, tetapi juga penutup kepada perjalanan seni yang dibina penuh kasih sayang antara dia dan suaminya. Legasi ini akan terus diingati oleh peminat. - KitaReporters

 

 

12
15
0
6
0

Copy Link: