Bila ABAH Bersuara| Video| Ingatan kepada P. Ramlee makin pudar? 29 Mei berlalu tanpa apa-apa majlis?
Published byTANGGAL 29 Mei 2026 berlalu seperti hari-hari lain.
Berapa ramai yang ingat signifikan tarikh 29 Mei, hari perginya seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ke alam abadi? Tahun 2026 bererti sudah 53 tahun beliau pergi.

Seniman agung P. Ramlee meninggal pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun di kediamannya di Jalan Dedap, Taman Forlong, Setapak, Kuala Lumpur.
Beliau meninggal dunia pukul 5.30 pagi 29 Mei 1973 (Selasa) pada usia 44 tahun, akibat serangan jantung di kediamannya di Jalan Bunga Dedap, Taman Forlong, Setapak, Kuala Lumpur. (Kemudian dinamakan Taman P. Ramlee). Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pemimpin politik, karyawan seni, peminat dan orang ramai menyifatkan pemergian beliau satu kehilangan besar, ibarat padamnya sinaran sebutir bintang seni yang bergemerlapan.
Tetapi biasalah
sifat manusia. Hanya pada peringkat permulaan sahaja bersedih. Setelah masa
berlalu, apatah lagi selepas 53 tahun, ingatan makin lama makin terhakis.
Berapa ramai yang ingat tarikh 29 Mei? Ia dianggap tarikh biasa.
Baik orang politik, karyawan seni dan orang ramai kian lupa kepada P. Ramlee, kecuali peminat tegar atau generasi lama. Penulis ketika itu dalam Tingkatan Lima, High School, Setapak.
Generasi
baharu hanya kenal P. Ramlee melalui filem-filem lakonanya di kaca TV atau
lagu-lagunya di corong radio. Atau membaca tulisan mengenai diri Allahyarham
selama penglibatannya dalam seni.
Namun yang pasti khazanah seni yang beliau tinggalkan tetap diingat dan dikenang sekali pun lebih lima dekad beliau tiada. Filem-filem lakonan dan arahannya, serta lagu-lagu nyanyiannya terus segar sehingga sekarang.

Gambar terakhir P. Ramlee yang dirakam oleh Ramli Ismail pada 21 Mei 1973, lapan hari sebelum kematian seniman agung itu.

Saloma (duduk) di samping jenazah P. Ramlee pada pagi kematian Allahyarham. Turut menziarahi Jins Shamsuddin (berdiri kiri) dan di sebelahnya Mahmud Jun.
Penulis tidak berhasrat mengupas atau mengimbau sejarah hidup, perjalanan seni atau kejayaan P. Ramlee sebagai seniman serba boleh; pengarah, pelakon, penggubah lagu dan penyanyi. Ini sudah kerap ditulis berulang kali.
Jika ingin
menghayati liku perjalanan seninya, bukalah catatan lengkap mengenai dirinya
yang pernah ditulis sebelum ini.
Selusuri
jatuh bangunnya dari detik kelahirannya pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang
sehingga mencipta nama di Studio Malay Films Productions (MFP) di Singapura dan
kemudian Studio Merdeka di Kuala Lumpur.
Penulis ingin menjurus kepada aspek betapa insan seni agung ini bagai sudah semakin samar dalam ingatan sehingga tarikh kematiannya pun jarang diingat, walau pun hanya satu hari dalam bulan Mei.

Akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita kematian P Ramlee pada muka hadapannya.

Dari kiri P. Ramlee, S. Shamsuddin dan Aziz Sattar, tonggak utama filem 'Seniman Bujang Lapok' arahan P. Ramlee keluaran tahun 1961.
Jasa P. Ramlee mengangkat seni budaya khususnya melalui filem dan lagu malap daripada ingatan bukan semata-mata kerana perederan masa. Sebaliknya kerana kurang usaha konsisten memastikan Allahyarham tetap segar dalam ingatan.
Benar, beberapa langkah telah diambil bagi mengenang beliau. Pertama dilakukan menukar nama Taman
Forlong, Setapak, kepada Taman P. Ramlee sebagai ingatan abadi tempat di mana
beliau tinggal dan menghembuskan nafas terakhir.
Di rumah di
Jalan Dedap ini beliau tinggal bersama isteri Saloma, dan anak-anak. Di rumah inilah
beliau menggubah lagu atau menulis skrip filem. Dari rumah inilah beliau
berulang alik ke tempat kerja di Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor.
Rumah itu kini dikenali sebagai Pustaka Peringatan P. Ramlee, yang telah dibuka dengan rasminya pada 22 Mac 1986.
Radio TV Malaysia (RTM) juga mengabadikan nama P. Ramlee pada auditoriumnya, dikenali Auditorium P. Ramlee di Angkasapuri, Kuala Lumpur.
Auditorium ini berfungsi sebagai panggung konsert sekunder (vokal/muzik) serta ruang rakaman program.

Auditorium P. Ramlee dalam kompleks Angkasapuri diabadikan sebagai mengenang jasa Allahyarham dalam seni, terutama perfileman dan lagu.
Juga terdapat Auditorium P. Ramlee di Kompleks Penyiaran RTM Sarawak. Ia terletak di Jalan P. Ramlee, Sarawak, sebuah studio ikonik yang sering digunakan untuk penerbitan program TV, pertandingan nyanyian dan acara rasmi kerajaan Sarawak.
Auditorium
dan Jalan P. Ramlee diabadikan oleh kerajaan Sarawak sebagai mengenang jasa P.
Ramlee. Bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun
Taib Mahmud ialah peminat tegar P. Ramlee.
Auditorium
P. Ramlee juga terdapat dalam Kompleks Pustaka Warisan Negeri, Jabatan
Kebudayaan dan Kesenian (KNN) Pulau Pinang di Jalan Lintang P. Ramlee, George
Town. Ia berdekatan dengan tapak rumah kelahiran P. Ramlee. Di auditorium ini kerap
dianjur pementasan teater, konsert dan
acara kebudayaan.
Di ibu
pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), nama P. Ramlee diabadi pada
Mini Teater P. Ramlee. Ia diguna secara eksklusif untuk tayangan
dokumentari, pratonton (preview)
filem tempatan, apresiasi filem serta acara industri
kreatif.
Akademi
Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) turut mengabadikan nama P. Ramlee
melalui Fakulti Filem P. Ramlee. Selain itu, karya beliau juga sering dikaji dandibedah dalam kurikulum pengajian.
Di Kuala Lumpur, selain nama Taman Forlong ditukar kepada Taman P. Ramlee, sebatang jalan di kawasan Segi Tiga Emas (Golden Triangle) dibadikan dengan naman Jalan P. Ramlee, asalnya Jalan Parry. Jalan sepanjang 1.1 km ini menghubungkan persimpangan Raja Chulan di selatan hingga persimpangan Jalan Ampang di utara.

Pustaka Peringatan P. Ramlee di bekas rumah kediaman Allahyarham di Jalan Dedap, Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur.
Untuk memastikan sejarah perjuangan seni serta koleksi barangan peninggalannya terus tersimpan sebagai khazanah seni untuk tatapan ramai, Pustaka Peringatan P. Ramlee diwujud dan dibuka secara rasmi pada 22 Mac 1986 sempena tarikh kelahiran Allahyarham.
Rumah
kediaman beliau di Setapak diubah suai menjadi pustaka peringatan atau
memorial. Pelbagai khazanah seni beliau ada di sini seperti peralatan muzik,
pakaian, tropi, skrip filem, kereta terakhir digunakan (Datsun 120Y) dan
lain-lain.
Tetapi berapa ramai yang datang melawat pustaka tersebut dalam seminggu, sebulan atau setahun?
Kelihatannya seperti sunyi. Mungkin kerajaan boleh meminta syarikat pelancongan memasukkan pustaka tersebut dalam itenari pelancong yang mereka kendalikan.
Penghargaan
tertinggi negara kepada P. Ramlee ialah anugerah darjah kebesaran Panglima
Setia Mahkota (P.S.M.) pada 1990. Augerah secara posthumous (selepas
pemergian) yang membawa gelaran Tan Sri ini dikurniakan oleh Yang di-Pertuan
Agong, Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sempena hari keputeraan rasmi
baginda pada Jun 1990.
Anugerah
ini sebagai mengenang jasa, sumbangan besar dan bakat luar biasa beliau
memertabatkan industri seni, muzik dan perfileman tanah air. Anugerah diterima
oleh anaknya, Allahyarham Nasir P. Ramlee.
Sayang sekali anugerah ini diberi selepas P. Ramlee tiada. Semasa hayatnya, Allahyarham hanya pernah dianugerah pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N.) oleh Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra Jamalullail, pada 1962.
Pada 2009, Allahyarham dianugerah gelaran Datuk Amar, (Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak) oleh kerajaan negeri Sarawak.

Sebahagian daripada koleksi barang milik P. Ramlee yang dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee. Antaranya piano, mesin taip di samping gambar Allahyarham dalam pelbagai gaya.
Namun di sebaliknya bintang dan pengabadian nama pada jalan dan auditorium, seperti ada nokhtah dalam mengingati P. Ramlee.
Dulu ada
juga tahlil setiap tahun pada tarikh pemergian beliau di Pustaka Peringatan P.
Ramlee, anjuran Arkib Negara dan persatuan artis. Masih adakah acara ini? Tiada
publisiti mengenainya.
Selain itu
ada pertandingan menulis esei mengenai P. Ramlee, mengundang penyertaan
daripada pelbagai kategori termasuk pelajar sekolah, kolej dan orang ramai. Ini
juga cara mengingati beliau secara berterusan, tetapi nampaknya sudah tiada.
Justeru
wajar sekali bagi kerajaan, persatuan artis atau badan seni dan kebudayaan
sentiasa mencari cara menyegar dan menyemarakkan nama P. Ramlee agar terus
dikenang zaman berzaman.
Usah
dilupakan insan seni yang besar jasanya kepada negara. Harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. - KitaReporters
