Di bawah cahaya Stadium Merdeka yang pernah menjadi nadi bola sepak Asia Tenggara, nama Abdul Ghani Minhat kekal bergema sebagai antara figura paling penting dalam sejarah awal bola sepak Malaysia satu ketika dulu.


Selepas bersara Abdul Ghani Minhat  (kiri) masih terlibat dengan bola sepak, gambar kenangan beliau bersama bekas pemain bola sepak Malaysia Datuk Santokh Singh (dua dari kiri), Datuk M. Chandran dan Wong Choon Wah sebelum perlawanan bola sepak tempatan pada 2011. - Kredit foto: MStar.


Beliau dilahirkan pada 23 Disember 1935 di Rantau, Negeri Sembilan ketika bola sepak masih dimainkan dengan semangat lebih besar daripada kemudahan yang ada.

Mendapat pendidikan awal di Victoria Institution, di sinilah bakatnya mula terserlah. Padang sekolah menjadi ruang pertama di mana naluri menjaringkan golnya terbentuk secara semula jadi, tanpa sistem latihan moden.

Dari situ, beliau mula mengorak langkah mewakili Selangor, negeri yang menjadi pusat kuasa bola sepak Malaysia pada era awal kemerdekaan. 

Tidak lama kemudian, beliau dipanggil menyertai skuad Malaya untuk membawa nama negara pada era 1950-an hingga awal 1960-an ketika bola sepak Asia masih membina hierarki kekuatannya.


Keratan laporan akhbar mengenai minat pengurusan kelab liga utama Inggeris, Cardiff City terhadap Abdul Ghani Minhat menyertai  kelab mereka. - Kredit foto: ML Studios.  


Aksi Abdul Ghani Minhat (jersey belang) mewakili negara dalam salah satu pertandingan peringkat antarabangsa. - Kredit foto: ML Studios.

Pestabola Merdeka menjadi pentas awal yang mengangkatnya ke tahap legenda. Membantu Malaya menwaskan Hong Kong 4-0 dalam perlawanan akhir untuk muncul sebagai juara pada tahun 1958.

Tahun 1959 Ghani sekali lagi membantu Malaya muncul juara Pestabila Merdeka menumpaskan Indonesia dengan jaringan 2-1 dalam perlawanan akhir yang lebih getir sebelum muncul juara bersama pada tahuun 1960 selepas seri tanpa jaringan dengan Korea Selatan dalam perlawanan akhir.

Tiga tahun berturut-turut itu meletakkan Malaya sebagai kuasa dominan awal bola sepak Asia Tenggara dan dalam semua kejayaan itu, Ghani bermain dalam satu generasi bersama Abdul Rahman Ibrahim, Rahim Omar, G. Govindarajoo dan Shahrom Abdul Majid, serta disokong barisan Selangor seperti M. Chandran, Arthur Koh, Stanley Gabrielle dan Robert Choe.

Mereka membentuk asas kepada sebuah pasukan yang sedang belajar menjadi kuasa sebenar di rantau ini dengan di tengah struktur itu, Ghani menjadi penyudah utama. 

Beliau tidak memerlukan banyak peluang sebaliknya hanya memerukan satu sentuhan sudah cukup untuk mengubah arah perlawanan.

Gaya permainannya ringkas tetapi berkesan, berasaskan kepantasan, ketepatan dan naluri jaringan yang luar biasa. Rekodnya yang berjaya melepasi 100 gol dalam kurang 100 penampilan merupakan satu angka yang masih berdiri sebagai antara paling efisien dalam sejarah bola sepak negara.


Abdul Ghani Minhat penyerang kelahiran Rantau, Negeri Sembilan yang tidak pernah gentar menghadapi pertahanan pihak lawan biar pun bermain di bumi asing. - Kredit foto: ML Studios.


Kemuncak paling luar biasa tiba di Sukan Asia 1962 di Jakarta ketika Malaya menewaskan Filipina 15–1, dan dalam perlawanan itu, Abdul Ghani Minhat menjaringkan 11 gol yang kekal sebagai antara rekod pencapaian paling ekstrem dalam sejarah bola sepak antarabangsa. 

Pada peringkat antarabangsa juga, beliau turut membantu Malaya meraih emas Sukan SEAP 1961 di Rangoon (kini Sukan SEA) serta memenangi pingat  gangsa Sukan Asia 1962 di Jakarta.  

Pada peringkat negeri, bersama Selangor, beliau meledakkan lebih 300 gol sepanjang kariernya, menjadikan beliau simbol ketajaman yang sukar diulang. 

Atas dominasi itu, lahirlah gelaran “Raja Bola” yang bukan sekadar gelaran popular, tetapi gambaran sebenar pengaruh kehadirannya di padang sering mengubah keseimbangan perlawanan.

Kehebatan beliau turut membuka perhatian negara luar. Beliau pernah berada dalam radar Cardiff City serta beberapa kelab di Jerman, satu pengiktirafan jarang diperolehi pemain Asia pada era tersebut.

Namun ia tidak berakhir dengan perpindahan rasmi, sebaliknya beliau memilih untuk terus menabur bakti di tanah air sendiri. Era ketika itu belum menyediakan struktur profesional seperti hari ini, dan banyak tawaran tidak berkembang menjadi kontrak yang termeterai.

Pada usia 27 tahun, beliau pernah dinasihatkan untuk bersara awal akibat kecederaan serius, namun beliau memilih untuk terus bermain sehingga usia 33 tahun, menentang batas fizikal dengan disiplin dan ketahanan luar biasa.

Kariernya berakhir pada tahun 1968 dengan detik ikonik dan ketika bermain dalam perlawanan terakhirnya mewakili Selangor, beliau menjaringkan lapan gol kemenangan Selangor menewaskan Pahang dengan 8–1 ketika itu.  


Abdul Ghani Minhat bukan sahaja menjulang pelbagai piala sebagai pemain, malah sebagai jurulatih dan pegawai sepanjang kerjaya bolasepaknya. - Kredit foto: Din Marican.

Selepas bersara, beliau kembali sebagai jurulatih Selangor dan turut menyumbang kepada skuad kebangsaan, membawa bersama pengalaman dan pemahaman yang diperolehi dari Eropah.

Jasa beliau mendapat pengiktirafan apabila dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada 1967, Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk pada 2009 dan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) pada 2012 yang membawa gelaran Tan Sri.

Pada 28 September 2012 beliau menghembuskan nafas terakhir di Kuala Lumpur, menutup sebuah perjalanan yang bermula dari padang sekolah tanpa nama, hingga ke Stadium Merdeka yang pernah menjadi saksi kepada ribuan sorakan dan sejarah yang tidak mudah diulang.

Beliau meninggalkan seorang balu, Puan Sri Tengku Aishah Tengku Ibrahim, serta empat orang anak yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan, namun dalam dunia bola sepak Malaysia, pemergian beliau tidak pernah benar-benar membawa makna “hilang”.kerana Abdul Ghani Minhat tidak hanya meninggalkan rekod tetapi meninggalkan ukuran.

Sebelum namanya, tiada angka yang benar-benar dijadikan kayu ukur kepada kehebatan seorang penyerang di rantau ini. 

Selepas namanya, setiap generasi secara tidak sedar akan dibandingkan dengan bayang-bayang seorang lelaki yang pernah menjaringkan gol dengan kadar hampir tidak masuk akal.


Pertemuan dua lagenda bola sepak  negara Abdul Ghani Minhat (kanan) dan Mokhtar Dahari (dua dari kanan) satu ketika dahulu. - Kredit foto: Dunia Bolasepak.


Dari Rantau ke Victoria Institution, dari Selangor ke jersi Malaya, dari Pestabola Merdeka ke Sukan Asia, setiap langkahnya membentuk satu garis sejarah yang tidak pernah terputus.

Di hujung garis itu, tinggal satu gelaran yang tidak perlu diperkenalkan, iaitu “Raja Bola” yang bukan sebuah nostalgia, tetapi sebuah kenyataan dalam era di mana segala-galanya belum moden, beliau sudah bermain seperti seseorang yang lebih dahulu memahami masa depan permainan itu sendiri.

Beliau bukan sekadar penjaring gol, beliau adalah titik awal kepada satu standard tentang bagaimana kehebatan diukur, dan bagaimana satu nama boleh kekal lebih lama daripada generasi yang menyaksikannya. - KitaReporters


Abdul Ghani Minhat (depan, dua dari kiri) bersama rakan sepasukan ketika mewakili negara dalam salah satu pertandingan peringkat Asia. - Kredit foto: ML Studios.


13
11
0
12
0

Copy Link: