Ragbi Piala Agong| Terengganu lolos ke suku akhir! Menang tipis 26-25 ke atas juara bertahan PDRM!

Published by
KitaReporters


Oleh KARIM DAUD

Status sebagai pasukan bukan pilihan tidak menghalang Terengganu daripada mencipta kejutan apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan Kejuaraan Ragbi Piala Agong edisi ke-42 musim ini dengan rekod tanpa kalah, sekali gus mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir yang dijadual bermula 13 Jun 2026 ini.


Aksi pemain import Terengganu, Josevata Cava Uluinaceva (tengah, jersi bernombor 12) sewaktu bertemu PDRM bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan kejuaraan ragbi Piala Agong edisi ke-42 yang telah berlangsung di PULAPOL, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026. - Kredit foto: Faiz Azizan.


Pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, skuad Pantai Timur itu yang turun selaku pelawat mempamerkan semangat juang tinggi apabila menundukkan juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), 26-25 dalam aksi dramatik di padang PULAPOL, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026.

Terengganu terpaksa bangkit daripada ketinggalan 13-15 pada separuh masa pertama yang memihak kepada tuan rumah, sekali gus memaksa ketua jurulatih, Hafiizh Zainal melakukan rombakan taktikal termasuk beberapa pertukaran pemain bagi mengubah momentum permainan.

Percaturan itu mula membuahkan hasil seawal babak kedua apabila Terengganu merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-43. 

Namun, PDRM kembali di hadapan 20-16 lima minit kemudian hasil jatuhan try.

Kesilapan yang dilakukan pasukan tuan rumah kemudiannya dimanfaatkan sepenuhnya oleh Terengganu untuk bangkit menguasai permainan sebelum mendahului 26-20, sekali gus meletakkan tekanan kepada penyandang juara itu.

PDRM cuba bangkit pada penghujung permainan dan berjaya menambah lima mata menerusi try pada minit ke-73 untuk merapatkan jurang kepada 26-25, namun kekentalan pertahanan Terengganu memastikan keputusan kekal hingga wisel penamat.


Hafiizh Zainal yang juga merupakan bekas pemain kebangsaan galas tanggungjawab selaku ketua jurulatih Terengganu. - Kredit foto: Faiz Azizan. 


Kemenangan tipis itu menyaksikan Terengganu menutup kempen kumpulan dengan rekod sempurna, selain mengekalkan status tanpa kalah walaupun diasak hebat pada saat-saat akhir perlawanan.

“Secara realistik, laluan musim ini lebih mencabar berbanding tahun lalu (2025) dengan setiap perlawanan menyaksikan perbezaan mata yang sangat kecil, lebih-lebih lagi apabila berdepan juara bertahan (PDRM). 

"Namun keputusan ini amat penting sebagai bekalan ke suku akhir,” kata Hafiizh.

Beliau berkata, aksi suku akhir bakal membuka lembaran baharu buat pasukannya dan mereka perlu menilai semula strategi selepas semua perlawanan kumpulan selesai.

“Kami datang sebagai pasukan bukan pilihan, jadi agak sukar untuk meletakkan sasaran awal. Fokus utama adalah memberi saingan terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.


Pemain scrumhalf Terengganu, Mohamad Nasharuddin Ismail (memegang bola) antara watak penting untuk Terengganu melakar rekod tanpa kalah setelah menafikan PDRM berkeputusan 26-25 di padang Pulapol, Kuala Lumpur pada 30 Mei 2026. - Kredit foto: Faiz Azizan. 


Dalam perkembangan lain, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan tipis 27-24 ke atas Kedah pada aksi yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok. 

Sementara itu, perlawanan antara Johor dan Negeri Sembilan di Stadium Pasir Gudang dijadual berlangsung pada Ahad, 7 Jun 2026 jam 3.30 petang. - KitaReporters

15
12
0
19
0

Copy Link: