Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diarahkan untuk melakukan siri operasi bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap isu-isu pelanggaran syarat lesen di sekitar Kuala Lumpur.

Ini bertujuan untuk memastikan para pemegang lesen khususnya premis hiburan akan mematuhi syarat-syarat ketat yang telah digariskan oleh DBKL selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Pada masa yang sama, pemegang lesen premis hiburan telah diberi amaran supaya tidak mengambil mudah isu pelanggaran syarat lesen kerana ia boleh dikenakan tindakan tanpa prejudis.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pihak berkuasa DBKL

Kredit foto: FB Jalaluddin Alias


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Penguatkuasaan DBKL untuk membuat proses pemantauan dan tindakan terhadap setiap premis hiburan di ibu kota secara konsisten.

Katanya, sekiranya terdapat sebarang pelanggaran syarat oleh pemegang lesen, tindakan berlandaskan undang-undang sedia ada secara tegas, telus dan konsisten akan diambil.

Hasil daripada arahan dan gerak kerja jabatan berkenaan, sepanjang tahun 2021 sehingga Mac 2022, DBKL telah berjaya menutup 271 premis kerana melakukan pelbagai kesalahan.

"Perkara ini menarik perhatian saya secara serius untuk terus memastikan proses penguatkuasaan lebih menyeluruh dan bersepadu wajar digerakkan tanpa mengira musim atau situasi," kata Jalaluddin dalam satu kenyataan baru-baru ini.


Kredit : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)


Premis yang diarahkan tutup tersebut telah dikenal pasti melanggar undang-undang dari salah satu daripada 

  • Seksyen 17 – Akta Hiburan (WPKL) 1992 : Kuasa Menutup Premis, 
  • Seksyen 18 – Akta Hiburan (WPKL) 1992 :Kuasa Meminta Nama dan alamat, 
  • Seksyen 19 – Akta Hiburan (WPKL) 1992 : Kuasa Menangkap, 
  • Seksyen 20 – Akta Hiburan (WPKL) 1992 : Kuasa Menggeledah Premis, dan 
  • Seksyen 21 – Akta Hiburan (WPKL) 1992 : Kuasa Menyita, Seksyen 101 – Akta Kerajaan Tempatan 1976 : Kuasa Tambahan Pihak Berkuasa Tempatan. 

Bukan itu sahaja, Jalaluddin turut akan memastikan setiap aduan dan pandangan awam disantuni dengan baik, justeru beliau sendiri telah dan akan turut serta dalam operasi-operasi bersepadu yang diselaraskan oleh Jabatan Penguatkuasaan, DBKL bersama agensi sahabat.

Antara agensi sahabat yang turut bekerjasama dengan pihak DBKL adalah seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). - KitaReporters


8
8
0
12
0

Copy Link: