Pasar awam perlu bersih! Kebersihan beri imej sesebuah bandar! Budayakan amalan jaga kebersihan!
Published by
Kita perlu sedar bahawa pasar awam bukan sekadar tempat menjalankan urus niaga. Ini kerana pasar awam merupakan nadi ekonomi masyarakat setempat yang menyediakan peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan, membekalkan keperluan harian kepada masyarakat serta menjadi pusat interaksi komuniti.

Oleh itu,
kebersihan dan keselamatan pasar awam perlu sentiasa diberi perhatian kerana ia
mencerminkan imej bandar, meningkatkan keyakinan pengguna serta menjamin
keselesaan dan kesejahteraan semua.
Justeru itu,
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT) Mohamed Akmal Dahalan berkata, Kempen
Pembersihan Pasar Awam merupakan kesinambungan kepada Kempen Pasar Awam Bersih, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang telah diperkenalkan
pada tahun 2021.
Menurutnya,
inisiatif ini diwujudkan bagi meningkatkan tahap kebersihan pasar awam supaya
mencapai sekurang-kurangnya Gred B dan ke atas, di samping membudayakan amalan
menjaga kebersihan melalui penglibatan aktif Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pemimpin
masyarakat, para peniaga dan orang awam.
Objektif utama Kempen Pembersihan Pasar Awam 2026 adalah untuk meningkatkan tahap kebersihan pasar awam dengan sasaran mencapai Gred A, memperkukuh kerjasama antara pihak Majlis, persatuan peniaga, para peniaga dan masyarakat dalam menjaga kebersihan serta keselamatan pasar, di samping meningkatkan penglibatan pemimpin setempat dalam membudayakan amalan kebersihan bagi memastikan pasar awam sentiasa berada dalam keadaan bersih, selamat dan selesa.
“Sebagai
salah satu inisiatif bagi memperkukuhkan budaya kebersihan, Pertandingan Gerai Tapak Pasar Awam Terbersih 2026
diadakan dalam kalangan peniaga Pasar Awam Simpang.
“Pertandingan
ini bukan sekadar bertujuan memilih pemenang, malah menjadi platform untuk
membudayakan amalan kebersihan secara berterusan serta mewujudkan persaingan
yang sihat antara peniaga dalam meningkatkan standard kebersihan,” katanya pada
Kempen Pasar Awam Bersih di Pasar Aam Simpang, dekat Taiping pada 3 Julai 2026.

Mohamed Akmal berkata, kejayaan kempen ini tidak hanya bergantung kepada pihak MPT semata-mata, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak.
“Saya
menyeru kepada para peniaga agar sentiasa menjaga kebersihan premis
masing-masing, mengurus sisa pepejal dengan baik serta mematuhi peraturan yang
ditetapkan. Kepada para pengunjung pula, marilah kita bersama-sama memelihara
kebersihan dengan mengamalkan sikap bertanggungjawab dan menghargai kemudahan
awam yang telah disediakan,” katanya.
Beliau
berkata, bagi menjayakan pelaksanaan kempen ini, Majlis Perbandaran Taiping
telah menerima peruntukan khas berjumlah RM10,000 daripada Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menurut
Mohamed Akmal, peruntukan ini dimanfaatkan bagi melaksanakan pelbagai aktiviti
di bawah Kempen Pasar Awam Bersih, termasuk program gotong-royong, aktiviti
pendidikan dan kesedaran, penyediaan bahan promosi serta inisiatif yang dapat
memperkukuh budaya kebersihan dalam kalangan peniaga dan pengunjung pasar.
“Bagi tahun 2026, usaha ini diteruskan dengan komitmen yang lebih kukuh. Sasaran kita bukan sahaja untuk mengekalkan tahap kebersihan yang baik, malah berusaha mencapai Gred A melalui pengurusan pasar yang lebih sistematik, bersih, selamat dan berkualiti," tambahnya.

Sementara
itu, Mohamed Akmal berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan
peruntukan berjumlah RM500,000 bagi melaksanakan projek menaik taraf Pasar Awam
Simpang, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim memberikan
peruntukan tambahan sebanyak RM191,000 bagi melengkapkan lagi kemudahan di
pasar ini.
“Hasil
kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Majlis
Perbandaran Taiping, projek menaik taraf ini telah berjaya disiapkan lebih awal
daripada jadual asal, iaitu sebelum Julai 2026.
“Projek ini bukan sahaja berjaya meningkatkan kemudahan fizikal pasar, malah memberikan suasana yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada para peniaga serta pengunjung,” katanya. - KitaReporters
