Syukuri nikmat Allah! Sakit atau susah bukan musibah semata-mata! Satu bentuk kasih sayang Allah!
Published by“Tiada seorang pun di dunia ini yang terlepas daripada ujian, ada yang diuji dengan kemiskinan, ada yang diuji dengan kehilangan orang tersayang, ada yang diuji dengan penyakit dan ada juga yang diuji dengan ditolak atau dibuang oleh keluarga sendiri.

Ustaz Munhameer Yusuf sedang menyampaikan ceramah bertajuk 'Indahnya Hijrah Hati di Usia Senja’ pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 28 Jun 2026.
“Walaupun ujian itu amat berat, Allah tidak pernah menguji seseorang melainkan sesuai dengan kemampuan hamba-Nya.
"Begitulah juga apabila ramai orang melihat sakit sebagai musibah semata-mata, hakikatnya, bagi orang yang beriman, sakit adalah satu bentuk kasih sayang Allah,” jelas Imam Rawatib, Surau As-Siddiq (SAS) Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), Cheras, Selangor, Ustaz Munhameer Yusuf,
Beliau berkata,
Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim ditimpa keletihan, penyakit,
kesedihan, kesusahan, gangguan, bahkan duri yang menusuknya sekalipun,
melainkan Allah menghapuskan sebahagian dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari dan
Muslim)
Terangnya, apabila
kita sakit, dosa digugurkan, darjat diangkat, hati seseorang itu menjadi lebih
dekat kepada Allah, justeru mengingatkan kita semua bahawa dunia hanyalah
sementara.
Tambahnya, dibuang keluarga adalah ujian emosi yang sangat berat, maka ada orang mempunyai keluarga yang lengkap tetapi tidak disayangi, ada ibu bapa yang tidak dipedulikan, ada anak yang dipulaukan tidak kurang pula memiliki saudara tetapi yang memutuskan hubungan.

Penceramah bebas, Ustaz Alias Ahmad mengetuai bacaan yasin dan tahlil pada majlis sambutan maal hijrah itu.
“Semua ini sangat menyakitkan hati namun ingatlah jika manusia meninggalkan kita, Allah tidak pernah meninggalkan kita.
"Nabi SAW juga pernah disakiti oleh keluarga dan manusia kerana itu janganlah kita menyangka hanya kita sahaja yang diuji.
“Nabi
Muhammad SAW sendiri pernah dihina, dicaci, dibaling batu, diusir dari kampung
halaman, kehilangan ibu, ayah, datuk dan isteri tercinta, namun baginda tidak
pernah berhenti berdoa malah baginda tetap bersabar akhirnya Allah mengangkat
darjat baginda setinggi-tingginya,” katanya ketika menyampaikan ceramah
bertajuk ‘Indahnya Hijrah Hati di Usia Senja’ pada Majlis Sambutan Maal Hijrah
1448H/2026M Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 28
Jun 2026.
Turut hadir pada majlis itu beberapa aktivis masyarakat antaranya Datuk Hairil Yahri; Datin Normala Mohd Yusoff; Datin Noraini Selamat; bekas imam Masjid Kariah Batu 3, Jalan Bangi, Semenyih, Husrin Amat; dan 200 tetamu termasuk warga emas dari Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor.

Ustaz Munhameer menerima cenderamata yang disampaikan Datuk Hairil Yahri.
Ustaz
Munhameer yang turut dikenali sebagai Ustaz Abang Tamanna menerusi media sosial
dalam ceramahnya turut menzahirkan rasa kagum dengan pihak pengurusan dan
petugas PJMM dan PJNH yang begitu amanah, jujur serta bertanggungjawab menjaga disamping
menyantuni warga emas yang berlindung di pusat berkenaan sekian lama.
Terangnya, tidak semua orang sanggup memikul tanggungjawab sedemikian untuk mengurus dan menjaga warga emas yang pelbagai karenah, di samping ada juga yang uzur serta terlantar di atas katil bagi meneruskan kehidupan dengan hanya mengharapkan belas ihsan dalam kalangan petugas mahupun sukarelawan.
“Kita hendaklah bersyukur kepada Allah kerana masih ada lagi mereka yang berhati mulia dan ambil peduli untuk membela nasib kita kerana sepatutnya menjadi tanggungjawab anak atau waris bagi memikul amanah menjaga ibu bapa,” ujarnya.
Sebahagian aktivis masyarakat, sukarelawan dan warga emas pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 28 Jun 2026.
Sementara
itu, Husrin menyifatkan majlis sambutan maal hijrah berkenaan sebagai motivasi
kepada warga emas untuk mensyukuri nikmat anugerah Allah apabila dapat
berlindung di pusat jagaan yang mengambil berat membela nasib mereka dalam
semua segi termasuk kesihatan.
Menurutnya,
walaupun diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi pihak pengurusan
pusat berkenaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab melayani warga emas itu
sebaik mungkin, malah menyantuni mereka sehingga kepada mengurus jenazah dan
mengebumikan di tanah perkuburan.
“Walaupun
mereka begitu terkilan apabila ada anak atau waris dimaklumkan mengenai
keuzuran dan terlantar di wad hospital serta kematian seseorang warga emas
terbabit, namun tiada seorang pun yang datang menjenguk atau bertanya khabar.
“Ia amat menyedihkan terutama membabitkan kematian warga emas berkenaan kerana anak atau waris akan dimaklumkan berdasarkan rekod yang tersimpan tetapi biasanya berakhir dengan pihak pengurusan dengan dibantu NGO serta penduduk kampung menguruskan pengebumian,” ujarnya. - KitaReporters
