Kena tegas, pantas, berkesan! Lindungi anak-anak kita! Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok!
Published byPertubuhan Ibu Bapa Mencegah Rokok dan Vape Kuala Lumpur (PAVAC) mengingatkan, perlindungan anak-anak dan generasi muda terhadap ketagihan nikotin melalui medium vape tidak boleh ditangguhkan.

Pengerusinya, Dr. Nurul Muiz Murad berkata, dari perspektif ibu bapa dan perlindungan kanak kanak, perkara yang lebih mustahak sekarang ini ialah memastikan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) hendaklah dilaksanakan dan dikuatkuasakan secara tegas, menyeluruh dan berkesan.
“Dari perspektif ibu bapa, tiada ruang untuk berkompromi apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan anak-anak. Perlindungan anak-anak dan generasi muda tidak boleh ditangguhkan.
"Sudah tiba masanya usaha penguatkuasaan diperkasakan dengan memberi tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh vape yang semakin meluas,” tegasnya.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952.

Dr. Nurul Muiz Murad
r. Nurul Muiz berkata, apa yang lebih membimbangkan ibu bapa hari ini ialah hakikat bahawa vape semakin mudah diperoleh oleh anak-anak dan remaja melalui media sosial, platform e-dagang, aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Telegram serta pelbagai bentuk pemasaran digital yang sukar dikawal.
Menurutnya, statistik semasa menunjukkan keadaan yang membimbangkan. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) penggunaan vape dalam kalangan rakyat Malaysia berumur 15 tahun ke atas telah meningkat daripada 0.8 peratus pada tahun 2011 kepada 5.8 peratus pada tahun 2023. Lebih membimbangkan, hampir 14.9 peratus remaja lelaki berumur 13 hingga 17 tahun dilaporkan menggunakan vape.
Katanya, trend ini memberi isyarat jelas bahawa golongan muda semakin terdedah kepada ketagihan nikotin pada usia yang lebih awal.
“PAVAC percaya bahawa sudah tiba masanya usaha penguatkuasaan diperkasakan dengan memberi tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dan remaja daripada pengaruh vape yang semakin meluas.
“Ini termasuk penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap larangan penjualan vape kepada golongan bawah umur, tindakan lebih agresif terhadap pengiklanan dan promosi vape dalam talian, pemantauan berterusan terhadap penjualan melalui platform digital serta tindakan segera terhadap pihak yang melanggar Akta 852,” ujarnya.

Dr. Nurul Muiz berkata, PAVAC juga percaya bahawa kerjasama yang lebih erat antara KKM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), ibu bapa, sekolah dan masyarakat amat penting bagi memastikan ruang digital tidak terus menjadi medium yang mendedahkan anak-anak kepada ketagihan nikotin.
Beliau mengulangi, apa yang diperlukan sekarang ialah penguatkuasaan Akta 852 yang lebih tegas, lebih pantas dan lebih berkesan demi masa depan generasi akan datang. - KitaReporters

