Petik, Timbang, Bayar! Program Petik Buah Melosel Segar dari kebun komuniti KRT Kasturisari berhasil!
Published byKonsep ‘Petik, Timbang, Bayar’ mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti pada Program Petik Buah Melosel Segar dari kebun komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kasturisari, Presint 14, Bandar Sungai Buaya (BSB), Hulu Selangor, pada 26 Jun 2026.

Melosel yang berbuah lebat menarik perhatian penduduk yang hadir pada program berkenaan.
Program selama
dua jam bermula pukul 9.00 pagi itu memberi peluang kepada penduduk untuk
memilih sendiri melon Selangor (melosel) yang boleh dipetik terus daripada pokok kemudian dibawa ke
meja urus setia untuk ditimbang serta membuat pembayaran.
Program
berkenaan bertambah meriah dengan kehadiran Pegawai Pertanian Daerah Hulu
Selangor, Laynil Hakih Sulhan untuk melakukan perasmian yang menghimpunkan
ramai penduduk bagi menyaksi aktiviti program itu.
Dalam ucapan perasmian, Laynil Hakih menzahirkan ucapan tahniah kepada KRT Kasturisari atas kejayaan menghasilkan melosel yang berkualiti dan berjaya dipasarkan kepada komuniti.
Menurut beliau, penghasilan melosel yang bermutu memerlukan kesungguhan, disiplin serta pematuhan tatacara pengendalian piawa (SOP) yang tinggi oleh pengusaha projek kerana hasil yang diperoleh membuktikan bahawa komitmen dan usaha berterusan mampu membuahkan kejayaan.
“Melonsel yang dipasarkan ini memang bermutu tinggi, sekali gus memberi gambaran usaha mereka yang terbabit dalam projek itu bukanlah suatu yang sia-sia malah mampu mendatangkan sumber pendapatan sampingan,” katanya.

Laynil Hakih Sulhan diiringi Mahmod Mat Ali meninjau kawasan tanaman melosel.
Sementara itu, Pengerusi KRT Kasturisari, Mahmod Mat Ali merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan projek berkenaan dengan mengambil masa hampir 65 hari bermula pada peringkat penanaman sehingga penuaian.
Tambahnya, dia turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian Selangor dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Hulu Selangor serta Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana memilih Kebun Komuniti Bandar KRT Kasturisari itu sebagai lokasi pelaksanaan Projek Green House Tanaman Melosel.
Jelasnya, walaupun bermula tanpa pengalaman, mereka yang terbabit belajar daripada kosong sehingga berjaya menuai hasil pertama.

Melosel masak ranum dan besar menarik perhatian penduduk di sekitar BSB.
"Alhamdulillah kami berjaya menjual lebih 60 biji melonsel dengan anggaran berat keseluruhan 110 kilogram pada harga RM10 sekilogram.
“Lebih membanggakan, sokongan padu daripada komuniti BSB amat luar biasa apabila mereka hadir sendiri untuk memetik, menimbang dan membuat pembayaran, sehingga semua buah berjaya dijual dalam tempoh hanya dua jam.
“Kami bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan ini, semoga usaha pertanian komuniti seperti itu dapat diteruskan dan diperluaskan demi manfaat bersama, program berkenaan juga secara tidak langsung menyatukan penduduk dalam aktiviti bermanfaat,” ujarnya. - KitaReporters

Mahmod (kanan) dan Laynil Hakih menyantuni peserta projek yang menjual melosel.
