Jejak jejak Rohingya! Tangani isu pelarian dan PATI! Lebih 40 NGO sepakat pertahan kedaulatan negara!

Published by
KitaReporters

ISU pelarian Rohingya di Malaysia didakwa kini berada pada tahap membimbangkan sehingga memerlukan pendekatan lebih tegas dan tersusun bagi mengelak ia berkembang menjadi krisis keselamatan serta sosial yang lebih sukar dikawal.


Malaysia menampung lebih 128,000 pelarian Rohingya berdaftar dengan UNHCR dan jumlahnya akan meningkat jika tiada kawalan.


Dalam perkembangan mutakhir, Malaysia menampung lebih 128,000 pelarian yang berdaftar dengan UNHCR. Jika unjuran tidak rasmi (termasuk tidak berdaftar) ia dipercayai melebihi 300,000 orang. 

Jumlah berskala besar itu pasti memberi implikasi mendalam sosioekonomi Malaysia.

Justeru, pertambahan komuniti pelarian yang semakin ketara di beberapa kawasan bandar bukan sahaja memberi kesan kepada aspek sosioekonomi penduduk tempatan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Aktivis Kemanusiaan dan Kemasyarakatan, Kelana Putra Muhamad, berkata keadaan itu berlaku kerana peningkatan jumlah pelarian sejak sekian lama tidak disertai dengan sistem pengurusan domestik yang menyeluruh memandangkan Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Pelarian 1951.


JEJAK diwujudkan sebagai platform bagi membantu kerajaan mengurus isu pelarian serta PATI secara lebih sistematik dan mampan.


"Isu ini bermula sebagai krisis kemanusiaan pada peringkat antarabangsa, namun apabila berada dalam sempadan Malaysia, ia bertukar menjadi isu keselamatan negara yang memerlukan tindakan segera.

"Jika keadaan ini terus dibiarkan tanpa dasar yang jelas, Malaysia berdepan risiko kehilangan kawalan di beberapa lokaliti kritikal dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Pembentukan Jawatankuasa Sekretariat NGO (JEJAK) Peringkat Kebangsaan bagi Menangani Isu Pelarian dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Dewan Utama Tunku Abdul Rahman Business Centre (TARBIZ), Kuala Lumpur.

Menurutnya, walaupun tidak semua pelarian terbabit dengan jenayah berat, terdapat pelbagai isu lain yang semakin membimbangkan termasuk pelanggaran undang-undang tempatan, masalah kebersihan, pembukaan perniagaan tanpa lesen, perkahwinan bawah umur yang tidak didaftarkan serta keciciran pendidikan kanak-kanak.


Kelana Putra Muhamad


"Malah kewujudan sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan dokumen turut memburukkan keadaan apabila ia membuka ruang kepada eksploitasi selain meningkatkan beban terhadap kemudahan awam serta persaingan dalam sektor pekerjaan berkemahiran rendah.

"Justeru, lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung menubuhkan Jawatankuasa Sekretariat NGO (JEJAK) Peringkat Kebangsaan bagi Menangani Isu Pelarian dan PATI sebagai platform menyelaras usaha pelbagai pihak dalam membantu kerajaan mencari penyelesaian yang lebih komprehensif.

"Sekretariat itu akan bertindak sebagai badan pemikir (think tank) dan jambatan dasar antara NGO, masyarakat serta agensi penguat kuasa bagi merangka pelan tindakan nasional berkaitan pengurusan pelarian," katanya.

Beliau mengakui, selama ini banyak NGO bergerak secara berasingan. Tapi, melalui JEJAK, semua pandangan dan cadangan dapat disatukan supaya penyelesaian yang dikemukakan lebih menyeluruh, strategik dan berpaksikan kepentingan kedaulatan negara," katanya lagi.


JEJAK memainkan peranan sebagai ejen penerangan kepada komuniti pelarian supaya mereka memahami budaya tempatan serta mematuhi undang-undang negara.


"Antara fokus utama sekretariat ialah menggesa kerajaan mewujudkan dasar khas atau akta khusus yang membezakan secara jelas status pelarian, pencari suaka dan PATI bagi menamatkan kekosongan dari sudut perundangan.

"Malaysia juga perlu mempunyai sistem pangkalan data biometrik sendiri bagi semua warga asing termasuk pemegang kad UNHCR tanpa bergantung sepenuhnya kepada rekod pihak luar.

"Pendekatan itu penting bagi memastikan aspek keselamatan negara terus menjadi keutamaan, namun dalam masa sama bantuan kemanusiaan asas masih dapat disalurkan secara terkawal kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Kelana Putra berkata, sekretariat turut mengemukakan lima cadangan segera kepada kerajaan iaitu memperketat kawalan sempadan darat dan maritim, mewajibkan pendaftaran biometrik domestik kepada semua pemegang kad UNHCR, melarang pelarian menjalankan aktiviti perniagaan atau memiliki aset komersial, mewujudkan zon penempatan khas serta mempercepat proses penghantaran pulang apabila keadaan di negara asal kembali stabil.


Antara fokus utama sekretariat ialah mewujudkan dasar khas bagi membezakan secara jelas status pelarian, pencari suaka dan PATI bagi menamatkan kekosongan dari sudut perundangan.


"Sekretariat itu juga akan memainkan peranan sebagai ejen penerangan kepada komuniti pelarian supaya mereka memahami budaya tempatan serta mematuhi undang-undang negara termasuk Akta Imigresen 1959/63.

"Namun, dalam masa sama, kami mengingatkan masyarakat supaya menangani isu berkenaan secara berhemah dengan menyalurkan sebarang maklumat mengenai pelanggaran undang-undang kepada pihak berkuasa dan mengelakkan penyebaran naratif berunsur perkauman atau xenofobia.

"Rasa simpati terhadap isu kemanusiaan tidak boleh mengatasi keluhuran undang-undang negara. Apa yang kita perlukan ialah penyelesaian yang seimbang antara aspek kemanusiaan dan keselamatan negara," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau memberi jaminan JEJAK bukan diwujudkan untuk reformasi bermusim, sebaliknya sebagai platform yang membina pelan tindakan bertulis, berasaskan fakta dan perundangan bagi membantu kerajaan mengurus isu pelarian serta PATI secara lebih sistematik dan mampan. - KitaReporters

2
3
0
4
0

Copy Link: