Diari Mama Masscom| Dari dewan kuliah ke dunia caregiver! 2 dunia berbeza tapi 1 keikhlasan sama!
Published byMasa muda adalah masa yang sangat indah untuk kita kenang. Bila kita menjadi tua, perjalanan hidup kita berubah. Itulah takdir yang tertulis dalam hidup kita.

Suatu ketika dahulu, hidup saya banyak dihabiskan di dalam dewan kuliah sebagai seorang pensyarah kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Tugas saya bukan sekadar mengajar, tetapi mendidik, berkongsi ilmu, membimbing dan membentuk masa depan pelajar-pelajar yang saya sayangi.
Setiap semester, saya bertemu ratusan pelajar dengan pelbagai latar belakang dan impian. Ada yang datang dengan penuh keyakinan, ada yang masih mencari arah kehidupan.
Sebagai seorang pendidik, kebahagiaan terbesar saya bukanlah apabila pelajar mendapat gred yang cemerlang, tetapi apabila mereka berjaya menjadi insan yang berguna kepada masyarakat.
Namun kehidupan mempunyai jalan cerita yang tidak selalu dapat kita rancang. Rencana Allah sentiasa mengatasi rencana manusia.
Hari ini, dunia saya sangat berbeza. Jika dahulu saya berdiri di hadapan kelas memberi ilmu dengan penuh bersemangat , kini saya lebih banyak berada di sisi insan-insan yang memerlukan penjagaan dengan penuh kasih sayang dan keprihatinan.
Jika dahulu saya menyediakan nota kuliah, kini saya menyediakan ubat, makanan dan keperluan harian untuk orang yang saya sayangi.
Saya kini memikul tanggungjawab sebagai penjaga (caregiver) kepada dua ahli keluarga yang sedang berjuang dengan penyakit masing-masing. Seorang suami yang diuji dengan strok dan seorang anak yang berdepan cabaran kesihatan mental.

Menjaga ahli keluarga dengan penuh kasih sayang.
Ramai yang melihat tugas seorang caregiver sebagai sesuatu yang berat.
Memang benar, ia bukan perjalanan yang mudah. Ada hari yang meletihkan. Ada malam yang panjang tanpa tidur yang cukup. Ada saat hati terasa penat dan jiwa terasa sunyi dan sayu.
Tetapi di sebalik semua itu, saya menyedari satu perkara. Walaupun dunia saya telah berubah, sebenarnya matlamat saya masih tetap sama.
Sebagai pensyarah dahulu, saya membantu manusia membina kehidupan mereka. Sebagai caregiver pula, hari ini, saya membantu manusia meneruskan kehidupan mereka.
Dahulu saya mengajar pelajar supaya tidak berputus asa mengejar cita-cita. Hari ini saya menyuntik semangat ketabahan dan kesabaran kepada mereka yang sakit. Selain itu, saya juga belajar untuk tidak berputus asa menghadapi ujian kehidupan.
Dahulu saya memberi semangat kepada pelajar yang gagal dalam peperiksaan. Hari ini saya memberi semangat kepada ahli keluarga yang sedang berjuang melawan penyakit.
Rupa-rupanya, tugas mendidik dan tugas menjaga mempunyai satu persamaan yang sangat besar iaitu kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan. Kedua-duanya memerlukan hati yang sanggup memberi tanpa mengharapkan balasan.
Saya bersyukur kerana Allah memberi peluang kepada saya merasai dua dunia yang berbeza ini.
Dunia pendidikan mengajar saya tentang ilmu dan kebijaksanaan. Dunia penjagaan pula mengajar saya tentang keikhlasan, kesabaran, empati dan makna sebenar sebuah pengorbanan dan kesetiaan.
Mungkin nama saya tidak lagi terpampang di jadual kuliah atau di kertas penyelidikan. Saya juga tidak lagi berdiri di hadapan dewan yang penuh dengan pelajar atau menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama pelajar pelajar saya.
Namun saya percaya, setiap fasa kehidupan mempunyai tugas dan amanahnya yang tersendiri.
Hari ini, bilik hospital, pusat rehabilitasi dan rumah menjadi "kelas" baharu saya. Dan setiap hari, kehidupan mengajar saya pelajaran yang jauh lebih mendalam daripada apa yang pernah saya ajarkan di universiti lebih 20 tahun lalu.

Saya percaya, nilai seseorang bukan terletak pada jawatan yang pernah disandang, tetapi pada sejauh mana dirinya terus memberi manfaat kepada orang lain.
Dari seorang pensyarah kepada seorang caregiver, saya mungkin berada dalam dua dunia yang berbeza. Namun keikhlasan yang menjadi asas perjalanan hidup saya tetap sama.
Kerana, hidup ini bukan tentang siapa yang kita pimpin, tetapi siapa yang kita sanggup temani ketika mereka memerlukan kita.
Saya juga belajar bahawa kehidupan bukanlah sentiasa berada di pentas hadapan dengan kecemerlangan. Tetapi ada masanya kita dipanggil untuk berdiri di belakang tabir, menjaga, menemani dan menguatkan orang lain.
Kadangkala,tanpa kita sedari peranan itulah yang paling mulia. Kerana pada akhirnya, bukan jawatan yang akan dikenang, tetapi kasih sayang dan kebaikan yang pernah kita tinggalkan dalam kehidupan seseorang.
Itulah makna sebenar sebuah keikhlasan, pengorbanan, kesetiaan dan kasih sayang.
Semoga kita semua menerima takdir hidup yang Allah telah tulis untuk kita dengan keredaan dan penuh kesyukuran. - KitaReporters
