Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Kampung Sesapan Kelubi, Beranang, Selangor akan terus menggerakkan pembabitan secara aktif penduduk dan juga ahli untuk menyantuni mereka yang memerlukan pembelaan bagi meneruskan kelangsungan hidup.


Mohamad Safian Alias (tengah) dan Jamili Rojikin (kanan) menyaksikan gimit penyerahan barangan makanan keperluan asas kepada Mohiadin Bahado.


Langkah itu bertepatan dengan matlamat utama kewujudankan JPKK yang adalah antara lain bertindak sebagai perantaraan utama antara kerajaan dan komuniti setempat bagi merancang, memantau kebajikan serta keselamatan penduduk.

Justeru itu, Ketua Kampung Sesapan Kelubi, Mohamad Safian Alias, berkata JPKK kampung berkenaan akan sentiasa menyantuni mereka yang memerlukan sokongan dan bantuan termasuklah warga emas yang menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) di kampung itu lebih 20 tahun lalu.


Jamili menyerahkan sumbangan cek RM2,000 daripada Johan.


Menurut beliau, JPKK kampung itu sentiasa memberi perhatian dan mengikuti perkembangan PJNH sebagai tanda keprihatinan dan ingin turut serta membantu pengurusan pusat berkenaan menyantuni warga emas yang berlindung di situ.

Terangnya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pihak pengurusan tidak terlepas daripada menghadapi pelbagai masalah khususnya kewangan bagi menampung kos operasi, rawatan, pengangkutan, pembelian bahan makanan mentah, barangan keperluan warga emas dan sebagainya.

Tambahnya, kesulitan yang mereka hadapi itu akan sampai ke pengetahuan JPKK dan tindakan segera akan dilakukan bagi membantu, dengan sokongan dan kerjasama penduduk kampung semua masalah dapat diselesaikan dengan baik.  

“Ini jelas memberi gambaran bahawa kewujudan JPKK di satu-satu kampung akan memberi banyak manfaat malah menjadi mata dan telinga kepada kerajaan dan agensinya dalam menjaga kebajikan penduduk termasuklah warga emas di pusat jagaan,” ujarnya. 


Ahli JPKK mengagihkan cenderamata kepada warga emas PJNH.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jalinan Kasih Bersama Penghuni dan Petugas PJNH pada 21 Jun 2026. 

Turut hadir Jamili Rojikin, Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dusun Tua, Datuk Wira Johan Abd Aziz; Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; dan Pengurus PJNH, Kairul Ahmad.

Pada program itu, Mohamad Safian mewakili JPKK menyampaikan pelbagai barangan makanan keperluan asas seperti beras, susu, gula, tepung gandum, serbuk teh, kopi dan sebagainya, manakala Jamili menyerahkan cek RM2,000 sumbangan Johan. 

Sempena program itu juga JPKK menyediakan sarapan pagi, makanan tengah hari dan menyampaikan cenderamata kepada warga emas dan petugas PJNH.


Mohamad Safian menyerahkan cenderamata kepada Kairul Ahmad.


Mohamad Safian berkata, program itu bukan setakat untuk menziarahi warga emas di PJNH tetapi juga menyantuni petugas yang tidak mengenal penat lelah mengurus serta melayani penghuni termasuk mereka yang terlantar di atas katil dan sukar untuk bergerak.

Jelasnya, keikhlasan dan keprihatinan petugas PJNH menyantuni serta melayani pelbagai karenah warga emas terbabit sangat dihargai JPKK kerana tidak semua antara kita sanggup melakukan tugas sedemikian.

“Kerana itu jasa mereka wajar dihargai malah diharapkan menjadi pendorong kepada hubungan erat serta kesepakatan dengan penduduk kampung bagi membela nasib warga emas yang menghuni di PJNH,” ujarnya.


Sukarelawan PJNH, Mastura Abd Fatah menyantuni warga emas yang gembira menerima cenderamata daripada JPKK.


Sementara itu, Jamili yang mewakili Johan merasmikan program itu, berkata Adun Dusun Tua berkenaan menitipkan pesanan akan sentiasa membantu PJNH dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dan kebajikan membela nasib warga emas tersisih.

Menurutnya, Johan turut menghargai jasa dan pengorbanan petugas melaksanakan tanggungjawab tanpa mengira asal usul warga emas yang disantuni malah mereka menganggap penghuni sebagai bapa sendiri.

“Saya berharap JPKK akan terus mengadakan program seperti ini kerana ia mampu menjadi motivasi kepada warga emas bahawa mereka tidak berseorangan malah masih ada masyarakat khusus penduduk kampung yang mengambil berat terhadap nasib mereka,” katanya. - KitaReporters


Jamili dan Mohamad Safian (berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama warga emas dan pengurusan PJNH.

9
5
0
3
0

Copy Link: