Hadiah utama RM10,000 menanti juara pemancing yang berjaya menaikkan ikan paling besar, paling berat pada ‘Pertandingan Memancing Cabaran Parit Sungai Batang’, Bagan Datuk, Perak 2026.


Pintu gerbang Kampung Sungai Batang, Bagan Datuk, Perak.


Hadiah yang ditawarkan ini dianggap tinggi dalam cabaran memancing yang diadakan di parit sebuah kampung. Ia menyerlahkan komitmen Kampung Sungai Batang untuk menarik lebih ramai peserta. Sebagai ganjaran, hadiah lumayan ditawar kepada pemancing bertuah.

Cabaran memancing yang akan diadakan pada Ahad, 2 Ogos 2026 dari pukul 2.30 petang hingga 5.30 petang ini menawarkan pelbagai hadiah menarik. Tempat kedua menerima RM3,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Bagi tempat keempat hingga ke-14 masing-masing akan menerima hadiah RM100 seorang. Selain itu terdapat satu hadiah istimewa, hadiah ke-15, bernilai RM1,500. Hadiah ini adalah pilihan pengerusi pertandingan.

Bagi tempat ke-16 hingga ke-20 juga menerima hadiah RM100 setiap satu. Semua hadiah tajaan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), peniaga di Kampung Sungai Batang serta orang persendirian. 

Tidak ketinggalan, cabutan bertuah juga diadakan. Pelbagai hadiah menarik disediakan. Antaranya motosikal, TV, peti sejuk, periuk nasi, seterika, pengisar makanan (blender) dan kipas. 

Hanya perserta yang mendaftar layak menyertai cabutan bertuah.


Pertandingan Memancing Cabaran Parit Sungai Batang pada 2 Ogos 2026 menawarkan hadiah lumayan serta pelbagai hadiah cabutan bertuah.


Cabaran memancing Kampung Sungai Batang terbuka kepada semua yang berminat. Mereka perlu mendaftar diri pada tarikh ditetapkan, iaitu 31 Julai 2026, 1 dan 2 Ogos 2026 mulai pukul 10 pagi hingga 5.30 petang.

Namun pada hari cabaran iaitu 2 Ogos, peserta dinasihat mendaftar lebih awal kerana pertandingan akan bermula pukul 2.30 petang.

Pendaftaran bertempat di Restoran Aziz Maju, Sungai Batang, di tepi jalan besar Teluk Intan-Bagan Datuk. Kampung Sungai Batang terletak kira-kira 36km dari bandar Teluk Intan dan 11km dari pekan Bagan Datuk.

Setiap perserta dikenakan bayaran RM50 bagi setiap joran. Mereka dibenar mendaftar lebih daripada satu joran, dengan setiap tambahan dikenakan bayaran sama, RM50. Bayaran hanya secara tunai.

Semua peserta tertakluk kepada terma dan syarat penganjur. Penyertaan terbuka tanpa penetapan had umur. Tetapi setiap perserta wajib menampal sticker yang diberi oleh penganjur pada joran masing-masing.

Hanya satu mata kail dibenar pada setiap joran. Joran yang digunakan boleh termasuk joran buluh dan telescopic. Selain itu, semua jenis gewang, reels atau mesin tidak dibenarkan.

Umpan bebas, tetapi umpan tiruan tidak dibenarkan. Penggunaan pelampung, mata bom dan ‘marshmallow’ dilarang. Sistem pemancingan ialah dasar atau bottom.


Restoran Aziz Maju, tempat peserta cabaran memancing Sungai Batang mendaftar diri.


Kemenangan ditentukan berdasar seekor ikan yang paling berat. Hanya ikan yang memakan umpan (mulut) sahaja diterima. Ikan yang terkena pada mata kail, insang, atau ekor tidak dikira. Semua ikan mesti disahkan oleh urusetia sebelum ditimbang.

Jika berlaku keadaan di mana ada dua ekor ikan yang sama timbangan, pemenang  ditentukan melalui masa trawal ikan ditimbang. Jika dua atau lebih peserta beroleh ikan yang sama berat dalam masa sama, hadiah bagi kedudukan berkenaan akan dikongsi.

Peserta yang didapati menipu akan dibatalkan penyertaan serta merta. 

Sebarang bantahan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 10 minit selepas acara memancing tamat, disertakan dengan deposit RM1,000.

Jika bantahan gagal, wang deposit akan jadi hak milik penganjur. Keputusan juri/penganjur adalah mukatamad. Sebagai ingatan, peserta bertanggung jawab atas keselamatan diri dan perlatan masing-masing.


Pemandangan Restoran Aziz Maju, Sungai Batang yang sering jadi tumpuan ramai.


Kepada peminat memancing, ayuh jangan ketinggalan sertai Pertandingan Memancing Cabaran Parit Sungai Batang. Mana tahu rezeki menanti dan memperoleh hadiah utama yang lumayan, serta pelbagai hadiah lain yang menarik.

Untuk keterangan lanjut atau sebarang pertanyaan boleh hubungi Abu Naim (011-15651665); Jilo (011-20822117); Shamsul Anuar (016-5189179) dan Norhisham (011-33764600). Selamat memancing! - KitaReporters

 

 

8
12
0
9
0

Copy Link: