Diari Mama Masscom| Boleh ke? Mulut jahat tapi hati baik? Kata-kata dalam medsos jadi cerminan diri?
Published byDalam pergaulan dan interaksi kita setiap hari, baik secara bersemuka atau secara maya, kita akan jumpa dengan orang yang suka "lepas cakap", yang tak jaga hati orang lain. Bak kata orang lama, ikut sedap mulut dia je bila bercakap.

Begitu juga dalam dunia media sosial, mereka menulis ikut perasaan. Perkataan mencarut, menghina, mencaci adalah ayat ayat biasa yang mereka gunakan.
Namun ada yang beri pendapat cara seseorang berkomunikasi dengan kasar dan guna bahasa kurang manis tidak melambangkan seseorang itu tidak bersopan.
Dalam hal ini saya kurang setuju apabila ada yang berkata, “Dia tu memang mulut jahat, tapi hati dia baik.” Kita jangan nilai orang dari cara dia bercakap.
Bagi penulis, kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang sebenarnya mencerminkan apa yang ada dalam fikiran, emosi dan cara dia melihat orang lain.
Jika seseorang selalu bercakap kasar, menghina, mengherdik atau memperlekeh orang lain, itu tetap meninggalkan luka di hati walaupun dia menganggap dirinya baik.
Hakikatnya, luka kerana kata-kata kadangkala lebih dalam daripada luka fizikal. Lidah lebih tajam dari mata pedang.
Dalam Islam juga kita diajar supaya menjaga tutur kata. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 83: “Dan berkatalah kepada manusia dengan kata-kata yang baik.”
Rasulullah SAW juga bersabda: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau diam.”
Ini menunjukkan akhlak bukan hanya soal niat di hati, tetapi juga bagaimana kita bercakap dan melayan orang lain.

Memang ada individu yang sebenarnya suka menolong, pemurah dan baik hati, tetapi cara percakapannya kasar kerana faktor didikan, tekanan hidup atau tidak pandai mengawal emosi.
Namun itu bukan alasan untuk menyakiti hati orang lain berulang kali.
Orang yang benar-benar baik akan cuba belajar menjaga lidahnya apabila sedar kata-katanya melukakan orang lain. Di situlah letaknya kematangan dan empati.
Dalam kaitan yang sama cara, kita bercakap dan menulis dalam media sosial mencerminkan peribadi kita.
Kehidupan zaman ini tidak dapat lari dari interaksi dengan media sosial. Justeru media sosial (medsos) hari ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
Ada yang guna untuk berkongsi ilmu, berniaga, berhibur dan berhubung dengan keluarga serta rakan-rakan.
Namun tanpa kita sedar, setiap perkataan yang ditulis dan cara kita bercakap dalam media sosial sebenarnya menggambarkan siapa diri kita yang sebenarnya.
Orang mungkin tidak pernah bertemu kita secara berdepan, tetapi melalui status, komen dan cara kita memberi pendapat, mereka sudah boleh menilai keperibadian kita.
Jika kita menulis dengan sopan, berhemah dan menghormati orang lain, masyarakat akan melihat kita sebagai individu yang matang dan berakhlak baik.
Sebaliknya jika media sosial dipenuhi dengan kata-kata kasar, sindiran melampau, hinaan dan kemarahan, ia juga memperlihatkan keadaan hati dan pemikiran kita.
Kadang-kadang ada orang berani bercakap kasar dalam media sosial kerana merasakan dirinya “terlindung” di sebalik skrin telefon. Sedangkan setiap tulisan itu meninggalkan kesan kepada orang lain.
Satu komen negatif boleh membuat seseorang terluka, hilang keyakinan diri malah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Lebih membimbangkan apabila budaya memalukan orang, mengejek dan menghukum tanpa usul periksa semakin dianggap normal.
Kita lupa bahawa adab tidak hanya penting ketika bersemuka, tetapi juga ketika menaip pada telefon dan pada skrin komputer.

Orang yang bijak bukanlah orang yang menang dalam setiap pertengkaran dalam media sosial. Orang yang bijak ialah mereka yang tahu menjaga kata-kata walaupun sedang marah.
Kadang-kadang diam itu lebih mulia daripada menulis sesuatu yang akhirnya memalukan diri sendiri.
Media sosial juga menjadi “cermin hati”. Jika hati penuh kasih sayang, kita akan mudah menulis perkara yang baik. Jika hati tenang, kita tidak mudah melenting.
Sebab itu sebelum menulis sesuatu, tanyalah diri sendiri: “Kalau orang baca tulisan ini, adakah ia membawa kebaikan atau menyakitkan hati orang lain?”
Dunia mungkin lupa wajah kita, tetapi orang akan ingat cara kita bercakap dan bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai atau disakiti.
Jagalah lidah walaupun dalam bentuk tulisan kerana setiap perkataan itu mencerminkan peribadi dan nilai diri kita sendiri. Ia juga menunjukkan tahap akhlak, emosi, pemikiran dan rasa hormat kita terhadap manusia lain.
Kadangkala, kelembutan kata-kata lebih memberi makna daripada seribu kebaikan yang lain. - KitaReporters

