Masjid Al-Falihin Kampung Alai, Melaka mencipta momen sejarah tersendiri apabila menjadi lokasi pilihan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang bertemakan “Madani Dihayati, Ummah Diberkati” pada 16 Jun 2026.


Masjid Al-Falihin kini dilengkapi pelbagai kemudahan asas yang mampu menjadi lokasi program keagamaan berskala besar.


Masjid yang sudah berusia 101 tahun itu kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas serta utiliti selepas melalui proses naik taraf dan pengubahsuaian selama satu tahun setengah dan telah siap sepenuhnya pada Disember 2025, kini mampu menampung lebih 600 jemaah bagi satu-satu masa termasuk untuk solat Jumaat. 

Pengerusi masjid berkenaan, Mohamad Isa Nordin, berkata dia dan ahli jawatankuasa masjid menzahirkan rasa gembira serta terharu apabila kerajaan negeri memilih masjid itu sebagai lokasi Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448H peringkat negeri.

Menurutnya, pemilihan itu ibarat satu penghormatan yang amat membanggakan kepada semua penduduk di kampung berkenaan kerana mampu menjadi tempat penganjuran majlis berskala besar dan penting malah turut membukti usaha menaik taraf yang dilakukan bukanlah suatu yang sia-sia.

Tambahnya, membabitkan kos pengubahsuaian sekitar RM1.5 juta itu turut memberi keyakinan masjid berkenaan selamat untuk digunakan termasuk sebagai lokasi penganjuran majlis keagamaan, malah turut menarik perhatian Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Diraja Dr Ahmad Zahid Hamidi yang hadir bagi melihat sendiri kerja pengubahsuaian dilakukan pada 24 Januari 2026.

Jelasnya, kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah itu suatu yang mencatat momen sejarah tersendiri apabila beliau turut melihat hasil pengubahsuaian dilakukan dengan begitu baik serta sempurna.  

“Kami sebagai ahli jawatankuasa masjid yang dilantik akan memikul tugas dengan sebaik mungkin malah bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak yang ingin menjadi lokasi penganjuran program keagamaan atau kemasyarakatan asalkan ia mematuhi syarat dan prosedur ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri,” ujarnya. 


Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz (tiga dari kanan) menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1448H/2026M  yang disampaikan Dr Mohd Ali Mohd Rustam.


Pada majlis itu, bekas pendidik, Datuk Abdul Rahim Abdul Chalik Al-Hafiz dipilih antara penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Melaka 1448H/2026M bagi kategori Anugerah Abu Bakar As-Siddiq.

Pemilihan beliau itu dibuat berdasarkan sumbangan besar dalam bidang dakwah, pendidikan Islam dan pembangunan masyarakat sepanjang empat dekad di Melaka.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Ahli Exco Kerajaan Negeri Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Ahli Exco Hal Ehwal Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Agama Melaka, Datuk Rahman Mariman; dan ketua-ketua jabatan, agensi serta pemimpin masyarakat. 

Berucap pada majlis itu, Ab Rauf mengumumkan peruntukan RM68,000 kepada 13 Tokoh Maal Hijrah terpilih sebagai mengiktiraf jasa dan peranan mereka dalam memperkukuh syiar Islam di Melaka.

Di samping itu katanya, sebanyak RM6.87 juta diluluskan oleh kerajaan pusat bagi kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan 134 institusi pendidikan Islam di Melaka.


Dr Mohd Ali Mohd Rustam (empat dari kanan) bersama-sama penerima anugerah dalam kejayaan bidang masing-masing pada Majlis Sambutan Maal 1448H Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Falihin Kampung Alai.


Sementara itu, Penasihat 2 Surau Bukit Punggur Alai, Azadi Mat Diah, menganggap pemilihan masjid itu juga secara tidak langsung akan memasyhurkan lagi Masjid Al-Falihin yang sudah tersenarai dalam United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO).

Tambahnya, penganjuran majlis itu juga mengeratkan lagi ukhuwah serta kerjasama ahli kariah dan penduduk kampung dalam memastikan ia berjalan lancar bukan setakat pada hari berkenaan tetapi pada masa akan datang jika ada pihak hadir bagi mengadakan program keagamaan dan sebagainya.

“Saya sebagai penduduk amat berasa terharu dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Ketua Menteri, Ahli Exco dan barisan kepemimpinan negeri, jabatan serta agensi dalam majlis ini kerana secara tidak langsung memberi peluang mereka melihat sendiri proses naik taraf sudah dibuat termasuk yang terbaharu bilik pengurusan jenazah,” ujarnya. - KitaReporters

5
9
0
4
0

Copy Link: