Video| Rakyat Malaysia juara makan? 7 kali sehari? Cef Wan tegur dakwaan pasangan pelancong asing!

Published by
KitaReporters

Malaysia sememangnya dikenali sebagai syurga makanan yang menawarkan pelbagai hidangan menarik dari pagi sehingga lewat malam. 

Kepelbagaian makanan yang mudah diperoleh menjadikan negara ini antara destinasi pilihan pelancong asing yang ingin menikmati pengalaman gastronomi yang unik.



Namun, keterujaan sepasang pencipta kandungan dari Australia dan Britain ketika menjelajah pelbagai lokasi makanan di Malaysia baru-baru ini telah menarik perhatian cef terkenal iaitu Cef Wan atau nama penuhnya Datuk Dr. Redzuawan Ismail.

Menerusi video yang dimuat naik dalam media sosial, pasangan tersebut berkongsi pengalaman mereka menikmati pelbagai juadah bermula dengan bufet hotel, makanan jalanan yang tular sehinggalah snek di festival pada lewat malam.

Lebih mencuri perhatian apabila mereka membuat kesimpulan bahawa rakyat Malaysia makan sebanyak tujuh kali sehari.  

"Nampaknya rakyat Malaysia makan tujuh kali sehari. Jadi kami pun turut menyertai mereka," tulis pasangan berkenaan dalam kapsyen video tersebut. 



Walaupun ramai yang menganggap kandungan itu sekadar perkongsian santai berdasarkan pengalaman mereka sepanjang berada di Malaysia, tidak kurang juga yang merasakan kenyataan tersebut terlalu umum dan boleh menimbulkan persepsi yang kurang tepat mengenai gaya hidup rakyat negara ini.

Jadi, tidak hairanlah kalau Cef Wan turut meninggalkan komen menyangkal dakwaan tersebut. Dia secara terbuka menyifatkan dakwaan tersebut sebagai sesuatu yang tidak tepat. 

"Karut! Itulah apa yang kamu fikirkan. Bukan semua orang mempunyai sifat tamak atau mampu untuk makan tanpa henti. 

"Hanya kerana kita dikurniakan makanan yang banyak dan mudah diperoleh, tidak bermakna kita makan sepanjang masa. Ramai orang mempunyai waktu kerja yang berbeza-beza dan mereka juga makan pada waktu yang berlainan," tulisnya.



Komen Cef Wan itu kemudian mendapat perhatian ramai dan menjadi antara komen yang paling dipersetujui netizen.

"Betul Cef. Dia fikir semua orang ada banyak masa untuk makan tujuh kali sehari," tulis seorang netizen.

Seorang lagi netizen turut bersetuju dengan pandangan Cef Wan sambil menjelaskan bahawa rutin hariannya hanya melibatkan dua atau tiga kali makan.  

"Saya sendiri kadang-kadang tidak bersarapan kerana sibuk bekerja. Makan tengah hari, mungkin minum petang jika sempat dan makan malam. 

"Ada masanya makan malam pun saya abaikan kerana terlalu penat," katanya. 



Dalam pada itu, seorang rakyat Malaysia lain menjelaskan bahawa tiada istilah sarapan kedua seperti yang dibayangkan oleh sesetengah orang.

"Sebungkus nasi lemak sudah cukup mengenyangkan seseorang selama empat jam. Selepas itu makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tiada lagi makan lewat malam," tegasnya.

Ada juga yang berpendapat kandungan tersebut mungkin dibuat semata-mata bagi menarik perhatian ramai.  

"Biasalah, mahu perhatian dan membuat kesimpulan sesuka hati demi publisiti," kata seorang netizen. 



Namun, sebahagian pengguna media sosial memilih untuk melihat perkara itu dari sudut yang lebih santai.

"Kalau begitu, rakyat Malaysia makan lebih banyak daripada kaum Hobbit," seloroh seorang netizen.

"Kami sebenarnya hanya makan sekali sehari. Bezanya, waktu makan itu bermula pada pagi dan berakhir sebelum tidur," gurau seorang lagi netizen.

Selain itu, ada juga yang bergurau bahawa sesiapa yang bercuti ke Malaysia berkemungkinan besar akan pulang dengan berat badan yang bertambah. 

"Datang ke Malaysia dengan berat 50 kilogram, pulang ke negara sendiri menjadi 70 kilogram," tulisnya berseloroh.


Pada masa sama, beberapa netizen turut mengambil kesempatan memperbetul sebutan perkataan canai dalam roti canai yang disebut oleh pasangan tersebut. 

Menurut mereka, huruf ‘C’ dalam bahasa Melayu disebut seperti ‘ch’ bukan "kh", menjadikan sebutan yang lebih tepat ialah ‘roti chanai’. 

Walaupun video berkenaan dipercayai dibuat berdasarkan pengalaman peribadi pasangan pelancong dari Australia dan Britain itu sepanjang berada di Malaysia, ramai berpendapat pengalaman segelintir individu tidak boleh dijadikan ukuran terhadap keseluruhan rakyat Malaysia.  



Hakikatnya, rakyat Malaysia sememangnya terkenal dengan budaya makanan yang pelbagai dan kaya dengan cita rasa. 

Namun seperti ditegaskan oleh Cef Wan, tidak semua orang mempunyai masa, kemampuan atau tabiat untuk makan sebanyak tujuh kali sehari.

Sebaliknya, waktu makan rakyat Malaysia banyak dipengaruhi rutin kerja, gaya hidup serta keadaan masing-masing, sekali gus menjadikan dakwaan tersebut kurang tepat jika digeneralisasikan kepada seluruh rakyat negara ini. - KitaReporters


6
3
0
6
0

Copy Link: